Aktiviti Kebajikan

PERKIM Pusat Bergerak Aktif Dalam Misi Bantuan Mangsa Banjir Di Beberapa Kawasan Yang Terjejas

oleh : SAFIYYA NUR SAKEENA SALEHUDDIN

Bencana banjir yang melanda beberapa negeri sejak beberapa minggu yang lalu telah mendorong pelbagai pihak termasuk PERKIM bersatu di bawah semangat kemanusiaan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa yang terjejas.

PERKIM di seluruh peringkat termasuk Kebangsaan, Bahagian, Cawangan termasuk Kelab PERKIM Universiti (KPU) di beberapa universiti terlibat dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan termasuk di kawasan sukar diakses.

Bantuan yang dihulurkan daripada pihak PERKIM tidak terbatas kepada bantuan makanan dan keperluan asas sahaja, malahan bantuan tenaga juga disalurkan oleh kakitangan dan sukarelawan PERKIM.engan membersihkan beberapa kawasan yang terjejas teruk akibat banjir.

Beberapa KPU seperti KPU Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), KPU Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan KPU Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UNISHAMS) telah bergerak aktif dalam usaha membersihkan kawasan perumahan yang teruk dilanda banjir seperti di Kampung Aman Berkat, Puchong, Taman Sri Muda, Taman Sri Nanding dan Batu 19, Hulu Langat.

Sejak awal bencana banjir berlaku sehingga ke hari ini, PERKIM di seluruh peringkat terus komited menyantuni mangsa-mangsa banjir terutama golongan asnaf dan mualaf yang terpaksa hidup sehelai sepinggang akibat bencana alam tersebut.

Semoga penglibatan, kerjasama, serta sumbangan daripada PERKIM ini dapat sekurang-kurangnya meringankan sedikit beban kesan bencana ini. Semangat kemanusiaan ini patut dikekalkan kerana ianya merupakan lambang kekuatan dan kesepakatan masyarakat dalam menghulurkan bantuan tanpa mengira kaum, bangsa, dan agama.

Related Articles

Back to top button