Aktiviti Dakwah

Majlis Jasamu Dikenang PERKIM

oleh: SRZ

Bagi memberikan penghargaan serta terima kasih di atas segala sumbangan, pengorbanan dan curahan bakti kepada bekas pemimpin terdahulu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah menganjurkan Majlis Jasamu Dikenang khusus kepada bekas Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim dan bekas Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa.

Dr Muhammad Rais telah memulakan khidmatnya sebagai Bendahari Kehormat PERKIM pada September 2008 hingga 18 Jun 2022 lalu manakala Hasbullah pula telah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM sejak tahun 2007 hingga 18 Jun 2022.

Majlis tersebut dihadiri seramai lebih 50 orang terdiri daripada kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM – Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Setiausaha Kerja Pentadbiran dan Program PERKIM Kebangsaan, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Pengarah IDIP-KL, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Penyelaras Unit Penerbitan dan Media Baru, Firdaus Lokman Tah serta Penyelia SCORE, YBhg Dr Fatimah Abdullah.


Dr Muhammad Rais dalam ucapannya berkata beliau memohon maaf di sepanjang perkenalannya bersama kakitangan PERKIM dan sewaktu menyandang jawatan Bendahari Kehormat PERKIM yang lalu.

Katanya, PERKIM sudah diibaratkan seperti sebuah satu keluarga yang rapat terutamanya di Unit Kewangan walaupun kini tidak lagi bersama mereka.

Dr Muhammad Rais dikenali sebagai seorang yang tegas dan amat prihatin dengan kebajikan staf PERKIM.

Walaupun tidak berurusan dalam pengurusan kewangan di PERKIM Kebangsaan, beliau masih lagi meneruskan sumbangan dakwah dan kebajikannya di PERKIM Bahagian Negeri Sembilan sebagai pengerusi yang dipilih.

Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim juga pernah menyandang jawatan sebagai bekas Ketua Pengarah Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).


“14 tahun bukan satu masa yang singkat di dalam PERKIM ini kerana kita bergaul, bermesyuarat, berukhuwah, berprogram dan berdakwah bersama-sama,” kata Hasbullah.

Banyak kenangan pahit, manis, suka dan duka dikongsi bersama dengan kakitangan PERKIM yang sukar dilupakan.

“Saya menganggap saya tidak berpisah dengan PERKIM kerana PERKIM tetap dihati dan dijiwa saya malah saya akan menyertai PERKIM di mana sahaja sama ada di pusat, bahagian atau cawangan bagi mengeratkan lagi tali persaudaraan,” ujar Hasbullah yang juga selaku Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM bagi sesi 2022 hingga 2025.

Menurutnya lagi, uniknya PERKIM ialah satu pertubuhan dakwah yang kerja dan usahanya sepanjang hayat bukan terbatas serta terikat kepada waktu.

Badan dakwah PERKIM berbeza dengan jabatan kerajaan apabila sudah berpencen kita tidak ada hubungan lagi dengan jabatan tersebut kecuali hubungan dengan kakitangan mereka tetapi kita di dalam PERKIM bersama-sama mengangkat satu wadah perjuangan bagi memartabatkan agama kita dengan dakwah yakni menyampaikan risalah Islam kepada Muslim dan non-Muslim semata-mata kerana Allah SWT.

Datuk Haji Hasbullah L. Isa juga pernah menyandang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri negara kelima, YABhg Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi.

Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor turut menyampaikan ucapan di dalam majlis tersebut.


Dr Yusof Noor dalam ucapannya merakamkan setinggi-tingi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim kerana jasa dan bakti beliau dalam memikul amanah Bendahari Kehormat PERKIM pada penggal lalu manakala Dato’ Haji Hasbullah L. Isa sebagai bekas Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM telah banyak mencurahkan bakti dalam pengurusan PERKIM.

Katanya, hubungan kita di PERKIM walau kini kita berasingan tetapi hendaklah meneruskan jalinan ukhuwah di atas dasar kemesraan agar dirasai kemanisannya dan kasih sayang terubat.

Tambah Dr Yusof Noor, beliau berharap persahabatan tersebut berkekalan di atas asas perhubungan menerusi PERKIM.

PERKIM juga akan menjemput Dr Muhammad Rais dan Hasbullah bagi rundingan atau pandangan sesuatu perkara yang akan diaturkan kelak.

Beliau berharap agar Dr Muhammad Rais dan Hasbullah mendapat keberkatan daripada Allah SWT di atas sumbangan mereka kepada PERKIM dan berdoa mendapat kesihatan yang baik.

“Jasa dan sumbangan mereka dalam memberikan perkhidmatan kepada PERKIM akan sentiasa dikenang dan dihargai,” demikian menurut Dr Yusof Noor.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian cenderahati Jasamu Dikenang kepada Dr Muhammad Rais dan Hasbullah disampaikan oleh Dr Yusof Noor.

Mereka masing-masing menerima plak Jasamu Dikenang PERKIM, wang tunai dan sebuah set bekas pen berukir nama Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim dan Datuk Haji Hasbullah L. Isa.

PERKIM turut menghargai kakitangan yang telah memperoleh anugerah dan kejayaan cemerlang di dalam pembelajaran mereka di universiti tempatan pada majlis graduasi baru-baru ini.

Dr Yusof Noor diiringi Dato’ Abdul Hanif dan Haji Mamat menyampaikan cenderahati sebuah set bekas pen berukir nama kepada empat kakitangan PERKIM Kebangsaan.

Pegawai Perhubungan Awam Dalam dan Luar Negara PERKIM Kebangsaan, Safiyya Nur Sakeena Sallehuddin telah menerima Anugerah Naib Canselor Kelas Pertama dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Manakala bekas Pegawai Kewangan PERKIM Kebangsaan, Riana Sukma Taslim telah mendapat Anugerah Dekan Kelas Pertama dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pegawai Dakwah IDIP-KL, Nur Shazleen R. Samsul Bahari pula dinobatkan Anugerah Dekan Kelas Pertama dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Dakwah dan Pembangunan Insan di Universiti Malaya (UM) serta Umi Musfirah Abdul Ghani selaku Pembantu Tadbir PERKIM Kebangsaan menerima Anugerah Dekan Kelas Pertama dalam Diploma Syariah di Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UNISIRAJ).

Majlis berakhir dengan jamuan makan tengah hari dan ramah mesra bersama kakitangan PERKIM Kebangsaan.


Ketibaan tetamu kehormat di Majlis Jasamu Dikenang PERKIM.


Tetamu kehormat menadah tangan ketika majlis bacaan doa dipimpin oleh Muhammad Jais Mariappan Abdullah.


Dr Muhammad Rais mengibaratkan bersama PERKIM seperti sebuah satu keluarga yang rapat,


Hasbullah pula menyifatkan PERKIM satu pertubuhan dakwah yang kerja dan usahanya sepanjang hayat.


Dr Yusof Noor merakamkan ucapan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Dr Muhammad Rais dan Hasbullah atas sumbangan mereka.


Dr Yusof Noor menyampaikan ucapannya di Majlis Jasamu Dikenang.


Dr Yusof Noor menyampaikan sebuah plak Jasamu Dikenang PERKIM kepada Dr Muhammad Rais.


Hasbullah menerima sebuah plak Jasamu Dikenang PERKIM daripada Dr Yusof Noor.


Safiyya menerima cenderahati PERKIM selepas dianugerahkan Naib Canselor Kelas Pertama dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam di UiTM.


Dr Yusof Noor menyampaikan cenderahati PERKIM kepada Riana selaku penerima Anugerah Dekan Kelas Pertama dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di UUM.


Shazleen menerima cenderahati PERKIM di atas kejayaannya di UM meraih Anugerah Dekan Kelas Pertama dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Dakwah dan Pembangunan Insan.


Cenderahati PERKIM diterima oleh Umi Musfirah di atas kecemerlangannya setelah dinobatkan Anugerah Dekan Kelas Pertama dalam Diploma Syariah di UNISIRAJ.


Kakitangan PERKIM mengambil juadah pelbagai jenis makanan di akhir majlis.


Tetamu kehormat PERKIM menjamu selera ketika jamuan makan tengah hari.

Related Articles

Back to top button