Aktiviti Dakwah

Kunjungan Hormat Pendakwah Ethiopia Ke Ibu Pejabat PERKIM Kukuhkan Jalinan Dakwah Antarabangsa

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟐𝟐 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan pagi ini menerima kunjungan hormat daripada 𝐩𝐞𝐧𝐝𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐚𝐧𝐭𝐚𝐫𝐚𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚, 𝐃𝐫 𝐔𝐦𝐚𝐫 𝐑𝐨𝐛𝐞 atau nama asalnya Teahite Robe.

Dr Umar Robe merupakan seorang ilmuwan Islam dari Ethiopia yang merupakan seorang ijazah kedoktoran tertinggi (PhD) secara dalam talian dalam bidang Perbandingan Agama di The Islamic University of Minnesota, Amerika Syarikat. Beliau juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana (MA) dalam bidang Dakwah Islamiah.

Kunjungan tersebut berlangsung pada jam 11 pagi dengan diiringi oleh Felo Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), YBhg. Dr Ruslan Said bersama Pengerusi Pertubuhan Pencinta Muslim Sedunia (MCG), Zakaria Abd Latif.

Kehadiran Dr Umar Robe telah disambut mesra oleh 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐊𝐚𝐧𝐚𝐧 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐑𝐚𝐳𝐚𝐥𝐢 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐒𝐡𝐚𝐡𝐚𝐛𝐮𝐝𝐢𝐧 yang menzahirkan rasa penghargaan terhadap lawatan tersebut.

Dato’ Razali yang juga mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Dr Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar turut menyampaikan salam hormatnya kepada Dr Umar Robe.


Menurut Dato’ Razali, kunjungan itu merupakan satu lagi ruang kerjasama dalam memperkukuh jaringan dakwah antarabangsa, khususnya dalam usaha memperluas metodologi penyampaian Islam ke seluruh dunia.

Lawatan Dr Umar Robe dianggap signifikan kerana beliau aktif menjalankan kerja-kerja dakwah di Ethiopia dengan menumpukan perhatian kepada dialog bersama masyarakat bukan Islam serta membimbing saudara baharu di negaranya.

𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐅𝐚𝐫𝐡𝐚𝐧 𝐓𝐞𝐞 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 turut memperkenalkan sejarah dan latar belakang PERKIM yang telah diasaskan oleh Perdana Menteri Malaysia pertama, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam usaha-usaha menyampaikan dakwah, kebajikan dan pendidikan khususnya kepada mualaf dan umat Islam.

Beliau menjelaskan, PERKIM menerusi Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) telah menganjurkan pelbagai program berbentuk pertukaran dakwah bersama pendakwah dari luar negara.

Katanya, pada tahun lalu sahaja, PERKIM telah menerima pendakwah dari Hong Kong, China, Taiwan serta Rusia untuk menyertai program intensif yang berlangsung selama satu hingga dua minggu di Malaysia.

“Dalam program tersebut, mereka bukan sahaja diberi pendedahan tentang budaya Malaysia, tetapi juga terlibat dalam sesi soal jawab dan perkongsian pengalaman dakwah. Pendakwah tempatan pula turut dijemput bagi membicarakan metodologi dakwah kepada bukan Islam serta cabaran-cabaran semasa,” jelas beliau.

Tambahnya, matlamat utama program antarabangsa ini bukan untuk mengajar para peserta dari luar negara, kerana kebanyakannya sudah berperanan sebagai imam atau pendakwah berpengalaman, tetapi lebih kepada ruang perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik antara Malaysia dengan negara lain.

PERKIM turut menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama bersama Dr Umar Robe dalam penganjuran program dakwah antarabangsa pada masa hadapan.

Ustaz Farhan Tee percaya pengalaman luas Dr Umar di Ethiopia mampu memperkayakan lagi strategi dakwah PERKIM di peringkat global.


Sementara itu, Dr Umar Robe berkongsi realiti dakwah di Ethiopia yang menurutnya penuh cabaran kerana majoriti penduduknya beragama Kristian.

Beliau menegaskan bahawa dakwah di negaranya lebih menumpukan kepada dialog dengan masyarakat bukan Islam, khususnya penganut Kristian, bagi menjelaskan ajaran Islam secara berhikmah.

“Alhamdulillah, hasil pendekatan dialog, ramai yang memilih untuk memeluk Islam. Namun cabaran besar kami ialah menjaga kebajikan saudara baharu. Dengan sumber dan kapasiti yang terbatas, usaha untuk memberi bimbingan berterusan masih sangat sukar,” katanya.

Beliau turut menyatakan kekagumannya terhadap Malaysia kerana mempunyai pusat-pusat Islam yang diiktiraf serta dibiayai oleh kerajaan. “Di Ethiopia, tiada pusat Islam rasmi yang berperanan mendekati bukan Islam atau mengurus saudara baharu. Usaha dakwah lebih banyak digerakkan secara individu atau berkumpulan kecil,” ujarnya.

Dalam perbincangan itu, beliau juga menekankan keperluan kerjasama antarabangsa dalam memperkukuh jaringan sokongan kepada mualaf. Menurutnya, pendekatan PERKIM dalam membimbing saudara baharu boleh dijadikan contoh terbaik untuk diaplikasikan di Ethiopia.

Dato’ Razali dalam responsnya menegaskan bahawa Malaysia amat bertuah kerana Islam menjadi agama Persekutuan dan kerajaan memberi sokongan padu terhadap institusi Islam.

Katanya, selain peruntukan kerajaan, PERKIM juga menerima sumbangan daripada syarikat korporat dan individu untuk membiayai aktiviti dakwah dan kebajikan saudara baharu.

“Pengalaman yang dibawa oleh Dr Umar amat berharga kerana walaupun menghadapi kekangan, usaha dakwah tetap dijalankan di Ethiopia. Kita berharap dengan jaringan kerjasama ini, PERKIM dapat membantu dari segi perkongsian pengalaman, latihan dan sokongan dakwah,” jelas beliau.

Beliau turut menzahirkan doa agar perjuangan dakwah di Ethiopia terus dipermudahkan serta diberi jalan keluar oleh Allah SWT untuk memperkukuh kedudukan umat Islam di sana.

Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra itu membuka ruang ke arah kerjasama strategik antara PERKIM dengan tokoh dakwah antarabangsa, khususnya dalam memperkukuh jaringan global bagi mendukung misi Islam rahmatan lil ‘alamin.

Dr Umar Robe menutup pertemuan dengan menyatakan penghargaan kepada PERKIM atas sambutan baik yang diberikan serta mengharapkan hubungan ini akan membuka jalan kepada projek bersama pada masa akan datang.

Lawatan hormat ini menandakan permulaan baharu bagi hubungan dakwah antara Malaysia dan Ethiopia serta mengukuhkan kedudukan PERKIM sebagai organisasi yang bukan sahaja aktif di dalam negara, malah berperanan di pentas antarabangsa dalam memperjuangkan risalah Islam.

Pada akhir pertemuan, Dato’ Razali menyampaikan plak cenderahati, buku meja kopi ‘Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM’ serta Al-Quran Edisi Khas PERKIM kepada Dr Umar Robe.

Turut hadir ialah Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan, Ustazah Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan, Ustazah Nur Syahirah Musa, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong serta Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pencinta Muslim Sedunia, Mohammad Zamanhuri Shahtir.

 


lmuwan Islam dari Ethiopia, Dr Umar Robe berkunjung ke Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan.

 


Dato’ Razali mengalu-alukan kehadiran tetamu Ethiopia di mana ianya merupakan satu lagi ruang kerjasama dalam memperkukuh jaringan dakwah antarabangsa.

 


Ustaz Farhan Tee turut memperkenalkan sejarah dan latar belakang PERKIM kepada ahli rombongan.


Menurut Dr Umar Robe, pendekatan PERKIM dalam membimbing mualaf boleh dijadikan contoh terbaik untuk diaplikasikan di Ethiopia.

 

 


Rombongan turut disertai oleh Felo ILIM, Dr Ruslan (kiri) dan Pengerusi MCG, Zakaria (kanan).

 


Dato’ Razali menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Dr Umar Robe.

 

 


Dr Umar Robe turut menghadiahkan buku berjudul “Great Advice For New Generation” kepada Dato’ Razali.

 

 


Warga PERKIM Kebangsaan berkesempatan bergambar kenangan bersama pendakwah Ethiopia dan ahli rombongan.

 

 

Related Articles

Back to top button