Kenyataan Media – Setiausaha Agung Kehormat PERKIM

KENYATAAN MEDIA
Bermula 1 Jun yang lalu, rakyat Malaysia sekali lagi menjalani sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ selama dua minggu sebagai usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.
PERKIM sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga telah turut serta turun padang bersama NGO yang lain membantu masyarakat yang dihimpit kesusahan sepanjang tempoh yang mencabar ini.
Walaubagaimanapun, masih terdapat segelintir individu yang mengambil kesempatan atas kesempitan hidup masyarakat demi kepentingan agenda politik mereka semata-mata.
PERKIM ingin menyatakan pendirian kami bahawa pemberian bantuan yang bermotifkan politik adalah perbuatan yang keji. Sejak penubuhannya pada tahun 1960, PERKIM terus komited memberikan bantuan sehingga sekarang tanpa mengira kaum dan agama dan tidak berselindung di balik agenda politik murahan.
Bantuan dari PERKIM adalah semata-mata di atas dasar kebajikan dan kemanusiaan, sesuai dengan ajaran Islam. Kami berharap agar organisasi politik dalam negara ini mestilah mengamalkan nilai-nilai etika dengan menjauhkan dari melakukan sebarang kegiatan yang boleh ditafsirkan sebagai menangguk di air keruh dan berlakon mempamerkan sifat penyayang palsu untuk membeli maruah orang Islam dengan wang ringgit.
Badan-badan NGO di Malaysia sentiasa bersedia untuk menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Jumlah bantuan oleh NGO Islam dan Agensi Rasmi Islam dalam negara ini telah banyak memberikan sumbangan secara berterusan tanpa dibesar-besarkan kerana niat kami hanyalah ingin meringankan beban rakyat dan bukannya ingin menyampaikan agenda politik yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang tidak beretika.
PERKIM berpendapat bahawa, ia langkah terbaik bagi meletakkan kepentingan politik di tepi demi memberikan penumpuan dalam membantu rakyat yang dihimpit kesusahan dalam mendepani pandemik COVID-19 ini.
“Islam Itu Persaudaraan”
 Setiausaha Agung Kehormat PERKIM
TAN SRI DR. MOHD YUSOF NOOR
Â