Aktiviti Dakwah

Israk Mikraj Lahirkan Muslim Bertakwa

ISRAK MIKRAJ LAHIRKAN MUSLIM BERTAKWA

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Pada pandangan orang yang berfikiran logik akal dan tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa agung tersebut tidak mungkin akan berlaku dan tidak mempercayainya tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya mereka mempercayai dengan penuh ketakwaan kepada peristiwa tersebut,” kata Dr. Ann selaku panelis di Forum Perdana Isra’ Mi’raj 1439H Bersama Saudara Muslim.

Israk Mikraj: Signifikan dan Impak di dalam Kehidupan Muslim Secara Menyeluruh’ merupakan tajuk dibentangkan oleh barisan panelis terdiri dari kalangan mualaf.

Program anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan itu menghimpunkan lebih 350 orang terdiri daripada saudara Muslim berbangsa Cina, India, Iban, Bidayuh, Kadazan, Orang Asli dan warga dari negara Indonesia, Thailand dan Filipina diadakan di Surau PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 15 April 2018 lalu.

Forum tersebut dipengerusikan oleh Presiden Angkatan Skuad Mubaligh Malaysia, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu manakala ahli panel terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Dr. Ann Wan Seng; Pengerusi Hidayah Centre Foundation, Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Agama Islam di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEINS), Jasni Ajom.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dipimpin oleh Yus Ondri.

Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa; Pengarah Unit Pembangunan dan Aset, Datuk Ahmad Mustafa; Pengarah Unit Perancangan Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPPP), Mamat Che Chik dan Timbalan Pengarah UPPP, Datuk Abdul Hanif Harun.


Kata Dr. Ann, 27 Rejab merupakan tarikh yang penting bagi setiap umat Islam dalam memperingati Israk Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian yang penuh dengan pengajaran dan keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT.

“Bulan Rejab merupakan bulan menyucikan badan manakala Syaaban menyucikan hati dan Ramadan menyucikan roh serta kita akan kembali kepada fitrah yang bersih pada Syawal.

“Bulan Rejab juga dikenali sebagai bulan taubat dengan mendapatkan syafaat di bulan Syaaban dan melipat gandakan amal kebajikan pada Ramadan.

Jelasnya, Rejab merupakan bulan pengampunan bersama bermuhasabah diri di bulan Syaaban dan bermujahadah di bulan Ramdan.

“Kalau Allah tidak memberikan kita hidayah, kita pasti akan hidup dalam keadaan jahil, sesat dan kafir,” ulas Dr. Ann yang juga selaku Naib Yang DiPertua 2 Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan (JAM’IYAH).

Beliau menyarankan peserta supaya tidak bersikap sombong atau kufur nikmat dengan kurniaan dan nikmat yang telah Allah SWT berikan kerana tanpa sedari kita tergolong daripada hamba yang tidak bersyukur.

Terdapat golongan yang ingkar, mereka akan memecahkan kepala mereka sehingga hancur dan diulang semula berkali-kali yang disaksikan oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa luar biasa itu.

Ia turut mewujudkan hubungan pertautan antara hamba bersama Yang Maha Pencipta supaya ikatan itu terbentuk dalam akidah yang mantap.

Peristiwa luarbiasa yang terjadi tidak boleh dilogikkan atau dihuraikan dan kebenarannya tidak boleh ditolak.

Keimanan ada kaitannya dengan hati kerana iman itu adalah tasdiq iaitu bukan sahaja membenarkan dengan hati tetapi dengan perkataan dan perbuatan.

Kesempurnaan iman itu masih tidak lengkap jika sekadar meyakini dengan hati tetapi tidak diterjemahkan dalam bentuk perkataan dan tidak lakukan dalam bentuk perbuatan.

“Kita  perlu memastikan bahawa iman sentiasa berada dalam keadaan kuat, mantap, kukuh iaitu salah satu cara dengan meningkatkan ibadat-ibadat kerana iman mudah turun dan naik,” ulas Dr. Ann.

Terdapat pelbagai cara untuk membersihkan hati iaitu berzikir, bermunajat, membaca al-Quran, berwirid dan sebagainya termasuk menjaga makanan daripada sumber yang halal.

Peristiwa aneh itu juga dipertontonkan kepada Rasulullah SAW di mana terdapat golongan-golongan yang mengambil daging yang busuk dan mereka memakannya yang merujuk kepada golongan yang makan makanan yang haram.

Beliau menegaskan kepada peserta bahawa supaya tidak memakan makanan yang kotor kerana ia akan mengotorkan hati, tidak memakan makanan rosak kerana hati akan rosak, tidak memakan makanan busuk kerana hati akan busuk.

Peristiwa ajaib itu perlu jadikan pengajaran dan diterapkan dalam kehidupan supaya menjadi seorang Muslim yang lebih baik sekaligus menjadi Muslim yang mukmin.

Bukan sekadar menjadi Muslim yang beriman tetapi menjadi Muslim yang muhsin iaitu Muslim yang telah mempunyai ehsan.

Dr. Ann mengajak peserta menjadi Muslim yang muraqabah, musyahadah, muhadarah muhasyafah yang senantiasa memperbaiki dirinya serta mengamalkan agama sambil mengajak orang lain untuk turut bersama melaksanakan ketakwaan kepada Allah SWT.

Muslim juga perlu menjadi Muslim yang mukhlis iaitu Muslim yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT seperti ikhlas dalam melakukan solat, kerja, ibadah, sedekah, dakwah dan berjuang.

Muslim yang muttaqin iaitu Muslim yang bertakwa. Takwa juga terletak di hati dan ia juga bermaksud rasa bertuhan yang bertapak di hati kita.

Muslim juga wajib beriman kepada Rasulullah dengan mengikuti sunnahnya kerana terdapat banyak sunnah yang dilupakan dan diabaikan serta tidak laksanakan.

Antara sunnah yang dilupakan ialah musyabarah bermaksud menahan dan sabar ketika bertemu dengan dengan orang belum Islam, orang menentang Islam serta musuh Islam,

Rasulullah tidak tidak pernah meninggalkan musyabarah ketika baginda menyampaikan Islam untuk berjuang, berdakwah dan sebagainya kerana matlamatnya meyakinkan umat tentang kebenaran agama Islam.

Majlis sebelum itu dirasmikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.


Dr. Yusof Noor dalam ucapannya berkata, masyarakat Islam di negara lain kadang-kadang tidak sedar peristiwa penting bagi Muslim iaitu Israk Mikraj seperti mana disambut di Malaysia.

Cara umat Islam di Malaysia menghargai agama ialah dengan meraikan peristiwa besar Islam tanpa jemu tanda bersyukur kepada Allah SWT.

Sebagaimana membaca Al-Quran, ianya merupakan mukjizat kalam Allah yang dibaca tanpa rasa jemu dan memberi taufik dan hidayah kepada pembacanya. Al-Quran bukan sahaja mengajar kita sembahyang tetapi ia mengandungi asas-asas ilmu sains yang menjadi bahan rujukan oleh pakar dan orang barat pada hari ini.

Beliau turut menceritakan peristiwa Nabi Nuh AS atas usaha gigihnya beberapa tahun dalam membina bahtera­ besar kerana baginda telah diwahyukan oleh Allah bahawa akan berlaku banjir besar menenggelamkan seluruh muka bumi meskipun semasa menyiapkan kapalnya, baginda menjadi bahan ejekan dan persendaan daripada kaumnya.

Katanya, terdapat satu kalimah di dalam al-Quran menyatakan banjir berlaku seperti mana terdapat di dalam surah Hud, ayat 40 ‘far atannur’ bermaksud ‘api yang dibakar oleh generator’  yang diterjemahkan, maka terpancarlah air daripada bumi. Ianya turut dikaji oleh saintis barat dan ahli arkeologi yang merupakan petunjuk di dalam al-Quran.

Jelas Dr. Yusof Noor, pentingnya peristiwa ini, Allah SWT sudah menyediakan Nabi Muhammad SAW kepada sesuatu yang terpenting iaitu perjalanan baginda dari Mekah ke Baitulmaqdis kemudian diangkat ke langit dengan menaiki buraq.

Membezakan haiwan dengan manusia ialah Allah memberikan akal dan ibadah solat serta memfardukan kewajipan-kewajipan yang lain seperti puasa dan zakat.


Nicholas Sylvester pula memesan peserta supaya membawa perjuangan Rasulullah SAW iaitu berdakwah kerana cara baginda berdakwah ialah kepada kaum keluarga yang hampir dan sampaikan dan hindarkanlah dari orang-orang yang musyrik

“Tahun tersebut merupakan tahun kesedihan buat Rasulullah SAW kerana wafatnya isteri tercinta, Siti Khadijah Khuwalid sehingga habis hartanya dikorbankan ke jalan Allah SWT di mana sebelumnya beliau seorang bangsawan yang kaya di kota Mekah,” katanya.

“Kesedihan Rasulullah SAW makin bertambah apabila bapa saudaranya pula, Abu Talib meninggal dunia. Beliau sering menjadi tulang belakang bagi menyokong perjuangan dakwah baginda walaupun beliau bukan seorang Muslim.

“Terdengar penduduk Taif hendak menerima Islam, perasaan baginda berbesar hati dan gembira lalu mengajak Zaid bin Harithah ke kota tersebut, tetapi malangnya baginda diperangkap dan direjam oleh penduduk Taif.

“Melihat kesedihan yang dialami oleh Nabi Muhammad, Allah SWT mengurniakan penghargaan dengan memperjalankan ke Israk Mikraj bagi memuliakan, menghiburkan serta memberikan pengiktirafan tertinggi kepada baginda,” katanya.

Menurut Nicholas, Rasulullah solat merupakan hadiah paling istimewa yang dikurniakan Allah kepada baginda kerana solat itu merupakan ibadat asas yang sangat penting bagi seorang Muslim khususnya bagi pendakwah.

Jelasnya, walaupun kita solat lima waktu tetapi ganjaran Allah berikan bersamaan melaksanakan solat 50 waktu sehari semalam.

Solat ialah satu bekalan dan persediaan yang sangat penting kepada seorang daie yang menghadapi cabaran-cabaran yang pelbagai di dalam perjuangannya.

Solat itu membezakan Islam dan kufur serta ia merupakan menifestasi ubudiah kehambaan kepada Allah SWT sepertimana firman-Nya dalam surah Fussilat, ayat 33 bermaksud : “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?”

Apabila memeluk agama Islam dengan mengamalkan ajaran Islam dengan baik, mereka akan terpesona melihat perbezaannya kelakuan dahulu dengan akhlak Islam yang diamalkan kini.

Keyakinan yang tidak berbelah bahagi Saidina Abu Bakar As-Siddiq dalam mempercayai Rasulullah SAW ketika diisrakkan bahkan sekiranya baginda diperjalankan lebih jauh daripada itu tetap akan beliau percaya kerana baginda seorang al-Amin.

Menurut Nicholas Sylvester, pelbagai metodologi dan teknik digunakan bagi memudahkan perlaksanaan kerja dakwah supaya lebih efektif dan berkesan.

Atas usaha pendakwah, kadar pengislaman berlaku begitu cepat di United Kingdom yang dahulunya dibimbangi kerana ia dikuasai oleh golongan aties dan agnostik.

Teknik dakwah berkesan ialah memperkenalkan Tuhan dengan memberi keyakinan bahawa segala penciptaan bumi dan alam semesta diciptakan oleh Allah Yang Maha Berkuasa serta mendalaminya dengan surah al-Ikhlas.

Sekiranya perkara yang asas dapat diperjelaskan bermakna dakwah akan menjadi lebih mudah dan mereka akan mengikutinya kerana mereka telah beriman.


Menurut Jasni pula, ketika Siti Khadijah berpesan: “Seandainya suatu hari aku tidak mampu untuk membantu dakwahmu dan sudah tiada lagi harta untuk agama, duhai Rasulullah, galilah kuburku serta ambillah tulang belulangku kemudian juallah dan gunakanlah duit itu untuk kau menegakkan kalimah La ila ha illallah.”

Solat itu ubat, solat itu tempat berkomunikasi kita dengan Allah dengan melaksanakan ibadah solat dan mendekatkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.

Sebagai saudara Muslim, kita mesti mempunyai indeks prestasi dalam hidup di mana selama 10 tahun memeluk Islam sekurang-kurangnya telah menyampaikan Islam kepada ahli keluarga, mengerjakan ibadah umrah kerana telah ditetapkan masa di dalam kehidupan.

Ia manjadi suatu disiplin dalam kehidupan ini dan sentiasa bersedia dalam pelbagai perkara dan apabila azan dikumandangkan bersegera menunaikan solat.

Begitu juga dengan ilmu, kalau setakat memeluk Islam tetapi tidak mendalami ilmu agama mereka tidak akan ke mana-mana dan akan berada di tahap yang sama.

Pada zaman Nabi, untuk pergi dari Mekah ke Baitulmaqdis dengan menunggang unta sejauh 1221 kilometer memakan masa perjalanan selama 30 hari dan apatah lagi untuk ke langit. Tetapi dengan kuasa Allah SWT, Rasulullah diperjalankan semalaman sahaja.

Nabi Muhammad bersama malaikat Jibrail naik dari langit pertama hingga ke tujuh dan bertemu dengan Allah SWT di Istawa’ di atas Arasy dengan menunggang seekor buraq.

Buraq adalah seekor haiwan daripada syurga dan ia lebih besar daripada baghal serta mempunyai empat kaki dan tidak bersayap.

Malaikat Jibrail mempunyai 600 sayap dan Nabi Muhammad meminta izin Allah untuk melihat rupa bentuk asal serta mendapati kaki malaikat tersebut di bumi kepala di langit. Sekiranya Jibrail membuka ke semua sayapnya seluruh sistem cakerawala akan tertutup.

Turut diadakan sesi soal dan jawab bersama peserta.

Forum berakhir dengan jamuan makan tengah hari dan solat zohor berjemaah.


Tetamu kehormat berdiri dan berselawat bersama-sama di awal permulaan majlis.


Majlis dimulakan dengan bacaan doa pembukaan oleh saudara Muslim.


Peserta menadah tangan ketika doa dibacakan.


Dr. Yusof Noor selaku Setiausaha Agung Kehormat PERKIM menyampaikan ucapan perasmian.


Israk Mikraj: Signifikan dan Impak di dalam Kehidupan Muslim Secara Menyeluruh’ merupakan tajuk yang dikupas oleh barisan panelis (dari kiri:) Zamri, Dr. Ann, Nicholas dan Jasni.


Antara peserta yang hadir di forum tersebut.


Forum Israk Mikraj disampaikan oleh barisan kalangan saudara Muslim.


Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu mempengerusikan forum dengan lebih bertenaga.


Dr. Ann Wan Seng menyarankan supaya peserta meneguhkan keimanan dan menjadi Muslim bertakwa.


Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah memberikan beberapa tips kepada peserta supaya melakukan dakwah dengan lebih efektif dan berkesan.


Jasni Ajom mengajak saudara Muslim mempertingkatkan diri dengan mempunyai indeks prestasi dalam hidup.


Peserta yang hadir turut menimba ilmu yang disampaikan oleh penceramah.


Dr. Ann (kanan) turut menerima cenderahati daripada Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor (kiri).


Petugas mengagihkan makanan kepada peserta program.


Peserta mengambil makanan tengah hari yang disajikan.

Related Articles

Back to top button