Aktiviti Dakwah

Hayati Dalami Makna Kalimah Alhamdulillah – SUA PERKIM

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 3 FEBRUARI 2023 – “Kita perlulah menerapkan ke dalam diri kita kalimah Alhamdulillah dengan penuh penghayatan,” kata Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Dr Yusof Noor berkata ketika menyampaikan amanatnya di Majlis Perhimpunan Bulan Februari 2023 Warga PERKIM bertempat di perkarangan lobi Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah di sini, Jumaat.

Majlis menghimpunkan lebih 50 warga PERKIM itu terdiri daripada kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan dipimpin oleh Pasukan Nasyid PERKIM Kebangsaan.

Majlis bacaan doa pula dipimpin oleh Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Dr Yusof Noor dalam amanatnya merafakkan rasa setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT dengan mengucapkan lafaz kalimah Alhamdulilah kerana dapat bertemu dengan warga PERKIM di perhimpunan itu.

Katanya, bagi orang Islam, kalimah pertama disebut ialah Alhamdulilah selepas bangkit daripada tidur dan kalimah tersebut jugalah yang akan mengurangkan egoisme kerana pengiktirafan kita sebagai makhluk bergantung semata-mata kepada Sang Pencipta iaitu Allah SWT.

Kalimah Alhamdulillah atau Assalamualaikum juga tidak asing di bibir-bibir rakan-rakan bukan Islam tetapi ia hanya sekadar ucapan tetapi mereka tidak menghayatinya dengan penuh makna.

Jelas Dr Yusof Noor, kita perlu menghayati maksud Alhamdulillah dengan lebih mendalam lagi kerana nikmat pemberian yang dikurniakan oleh Allah SWT tidak dapat dihitung.

“Untuk menjadi orang beriman yang lebih bersyukur, ucapan atau zikir Alhamdulillah pada hari ini mestilah lebih bererti berbanding semalam.

“Diharap kerja dan usaha kita di PERKIM melalui kebajikan mendapat keredaan dan ganjaran pahala oleh Allah SWT dan mereka yang membantu PERKIM juga beroleh balasan kebaikan bersama,” ujar beliau.

Dr Yusof Noor turut memetik Hadis Riwayat Muslim yang bermaksud: Dari Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”

“Kita teruskan amal yang baik, mudah-mudahan PERKIM akan dibantu oleh Allah untuk meneruskan kerja dakwah, kebajikan dan pendidikan di samping jenteranya dibantu, diberikan kemudahan dan kesihatan oleh Allah SWT.

“Kini, ruang legar PERKIM diceriakan kembali dengan Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) iaitu medan memberi ilmu dan pengetahuan agama Islam kepada saudara baru.

Tambah beliau, mudah-mudahan segala nikmat yang diterima akan sentiasa disyukuri dengan mengucapkan Alhamdulillah.

Di akhir majlis, Dr Yusof Noor diiringi Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun menyampaikan Bantuan Khas Kewangan kepada 50 pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan, IDIP-KL dan SCORE.

Pegawai dan kakitangan PERKIM Bahagian Negeri-negeri pula akan disalurkan ke akaun bank masing-masing.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerja (Pentadbiran dan Program), YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja (Bahagian dan Cawangan) PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah IDIP-KL, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad dan Penyelaras Unit Penerbitan dan Media Baru, Firdaus Lokman Tah.

 


Ketibaan Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat PERKIM ke Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM.


Pasukan Nasyid PERKIM Kebangsaan memimpin lagu Negaraku, PERKIM Pacu Kemajuan dan selawat.


Jais Mariappan mengetuai bacaan doa pembuka majlis.


Warga PERKIM mengaminkan doa yang dibacakan.


Dato Abdul Hanif (kiri) dan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor (kanan) menadah tangan ketika doa dibacakan.


Dr Yusof Noor menyampaikan amanatnya di majlis perhimpunan bulanan bersama warga PERKIM.


Dr Yusof Noor mengajak warga PERKIM menghayati makna Alhamdulillah dengan lebih mendalam lagi kerana nikmat Allah SWT tidak dapat dihitung.


“Terputusnya amalan kecuali tiga perkara,” kata Dr Yusof Noor dengan memetik hadis Nabi SAW.


Warga PERKIM akan meneruskan kerja dakwah di samping jenteranya diberikan kemudahan dan kesihatan oleh Allah SWT.


Dr Yusof Noor (tengah) menyampaikan Bantuan Khas Kewangan kepada YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik (kiri).


YBhg Tuan Haji Ishak Othman (kiri) menerima Bantuan Khas Kewangan daripada Tan Sri SUA PERKIM.


Tan Sri SUA PERKIM menyerahkan Bantuan Khas Kewangan kepada Nur Syahirah Musa.

Related Articles

Back to top button