Aktiviti Dakwah

Forum PERKIM Tonjol Keteguhan Mualaf, Inspirasi Sempena Maulidur Rasul SAW

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟏𝟑 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Sempena sambutan Maulidur Rasul SAW, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganjurkan Forum Maulidur Rasul 1447H bertempat di Surau Jumaat PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini pada pagi Sabtu.

Lebih 200 hadirin terdiri daripada saudara baharu pelbagai latar belakang iaitu Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh, Murut, Sikh termasuk warganegara Indonesia, Kemboja, Filipina, Thailand dan Myanmar memeriahkan forum istimewa yang menyingkap pengalaman, cabaran serta pengajaran daripada dua tokoh saudara baharu yang kini berjaya dalam bidang masing-masing.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah sebelum disusuli doa pembuka majlis.

Forum seterusnya dipengerusikan oleh 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗤𝗮𝘄𝗶 𝗡𝗮𝘃𝗶𝗻𝗲 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵, 𝗣𝗲𝗻𝗼𝗹𝗼𝗻𝗴 𝗣𝗲𝗴𝗮𝘄𝗮𝗶 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗜𝗻𝘀𝘁𝗶𝘁𝘂𝘁 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺𝗶𝗮𝗵 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝘂𝗮𝗹𝗮 𝗟𝘂𝗺𝗽𝘂𝗿 (𝗜𝗗𝗜𝗣𝗞𝗟).

Dua ahli panel jemputan ialah 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗡𝗮𝗶𝗺 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵, 𝗣𝗲𝗴𝗮𝘄𝗮𝗶 𝗗𝗶𝘃𝗶𝘀𝘆𝗲𝗻 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗠𝘂𝗮𝗹𝗮𝗳 𝗱𝗮𝗻 𝗦𝗼𝘀𝗶𝗮𝗹 𝗟𝗲𝗺𝗯𝗮𝗴𝗮 𝗭𝗮𝗸𝗮𝘁 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗞𝗲𝗱𝗮𝗵 (𝗟𝗭𝗡𝗞) serta 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗵𝗺𝗮𝗱 𝗕𝘂𝗿𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵, 𝗣𝗲𝗴𝘂𝗮𝗺 𝗦𝘆𝗮𝗿𝗶𝗲 𝗱𝗮𝗻 𝗦𝗶𝘃𝗶𝗹 𝗱𝗶 𝗧𝗲𝘁𝘂𝗮𝗻 𝗕𝘂𝗿𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 & 𝗖𝗼.


Panel pertama, Ustaz Naim Islam yang dilahirkan dalam keluarga Hindu di Kuala Ketil, Kedah menceritakan bagaimana beliau pernah menyimpan tanggapan negatif terhadap Islam akibat pengalaman peribadi. Namun pencarian fitrah akhirnya menemukan beliau dengan al-Quran.

“Ketika membaca al-Quran, saya temui jawapan bahawa Tuhan yang sebenar ialah Allah, Pencipta alam yang tidak menyerupai makhluk ciptaan-Nya,” jelasnya.

Pada 27 Julai 1985, ketika berusia 19 tahun, Ustaz Naim Islam memeluk Islam meskipun berdepan tentangan keluarga. Berkat bimbingan di Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) dan pendidikan pondok, beliau kekal teguh. Menurutnya, ilmu tauhid menjadi benteng utama menghadapi cabaran.

“Kita kenal Allah melalui Allah, bukan melalui bayangan manusia atau berhala. Prinsip ini saya pegang dan ajarkan kepada pelajar supaya keimanan mereka kukuh,” katanya.

Panel kedua, Haji Burhan Tee, anak kelahiran Teluk Intan, Perak, berkongsi pengalaman hidup dalam mengamalkan ajaran Buddha di rumah tetapi terdedah dengan pendidikan Islam di sekolah kebangsaan.

“Setiap kali dipaksa membawa patung ke kuil, hati saya tertanya, adakah sesuatu yang boleh disentuh itu benar Tuhan?” ujarnya.

Pengalaman cemerlang dalam mata pelajaran agama Islam meskipun bukan beragama Islam ketika itu menimbulkan persoalan besar dalam dirinya.

Nilai kerja keras dan pengorbanan ibunya turut memberi inspirasi hingga beliau akhirnya memilih Islam sebagai jalan fitrah.

Ustaz Abdul Qawi merumuskan bahawa kedua-dua panelis menekankan kepentingan ilmu dan keteguhan iman. Tanpa ilmu, iman mudah goyah manakala iman pula menjadi perisai ketika menghadapi cabaran.

Forum turut menekankan teladan Rasulullah SAW yang penuh hikmah dalam berdakwah. Menurut panelis, umat Islam hari ini wajar mencontohi pendekatan Baginda yang lembut, beradab dan menghormati sensitiviti masyarakat bukan Islam.

Ustaz Naim Islam pula mendedahkan beliau pernah dipulaukan keluarga selepas memeluk Islam. Namun nasihat guru untuk terus berbuat baik kepada ibu bapa akhirnya melembutkan hati mereka sehingga beliau dihormati dalam masyarakat.


Sementara itu, Haji Burhan Tee berkongsi pengalaman menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) secara rahsia. Tekanan keluarga, termasuk ugutan emosi daripada ibu, membuatkan beliau menyorokkan identiti Muslim selama bertahun-tahun.

Hanya selepas menamatkan pengajian, beliau berani mengisytiharkan pengislaman secara terbuka, sambil terus berbakti kepada ibunya sehingga akhir hayat.

Dalam perkongsian lain, Ustaz Naim Islam menegaskan Rasulullah SAW menzahirkan tiga akhlak utama iaitu kepada Allah, manusia dan makhluk lain.

Katanya, mualaf perlu menunjukkan akhlak mulia kepada keluarga agar mereka melihat keindahan Islam.

Beliau mencontohkan kisah Rasulullah SAW yang sabar menghadapi penentangan sehingga musuh Baginda akhirnya memeluk Islam kerana kelembutannya.

Moderator menegaskan bahawa cabaran saudara baharu bukan penghalang, sebaliknya pemangkin untuk menjadi Muslim lebih kuat.

Antara penekanan forum ialah tanggungjawab menjaga ibu bapa bukan Islam dengan kasih sayang; niat memeluk Islam mesti ikhlas kerana Allah, bukan kerana faktor perkahwinan; kalimah syahadah perlu dihayati sebagai ikrar sebenar, bukan lafaz kosong dan mualaf perlu digilap menjadi pendakwah untuk menyampaikan Islam kepada keluarga.

Dalam perkongsian terakhir, Haji Burhan Tee menekankan peranan keluarga mendidik anak mencintai Rasulullah SAW.

Beliau berkongsi pengalaman mendidik anak dengan menggabungkan ilmu agama dan akademik, menghidupkan sunnah dalam rumah tangga serta menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai wadah penghayatan sirah.

Beliau turut menegaskan bahawa al-Quran dan hadis tidak boleh dipisahkan kerana hadis menjadi panduan pelaksanaan perintah Allah SWT.

Forum menegaskan keperluan setiap Muslim sama ada saudara baharu atau yang lahir dalam Islam dengan memperkukuh iman melalui ilmu, muhasabah diri dan amal soleh.

Institusi keluarga pula perlu memainkan peranan penting menanamkan cinta kepada Rasulullah SAW, mendidik anak-anak dengan kasih sayang, ilmu serta teladan akhlak mulia.

Forum ini bukan sahaja menjadi wadah perkongsian pengalaman, malah menyeru umat Islam kembali kepada fitrah dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai uswatun hasanah dalam kehidupan seharian.

Seusai forum, 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗞𝗮𝗻𝗮𝗻 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗥𝗮𝘇𝗮𝗹𝗶 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗦𝗵𝗮𝗵𝗮𝗯𝘂𝗱𝗶𝗻 menyampaikan ucapan perasmian dengan memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT serta mengucapkan penghargaan kepada para panelis, moderator dan semua peserta forum yang hadir.

Beliau mewakili 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗔𝗴𝘂𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗮𝘁𝘂𝗸 𝗗𝗿. 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗠𝗮𝗿𝘇𝘂𝗸𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗢𝗺𝗮𝗿 menyampaikan salam hormat dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka yang telah menjayakan majlis ilmu ini bersempena bulan kelahiran Rasulullah SAW.


Dato’ Razali menegaskan bahawa perkongsian pengalaman oleh para panelis yang terdiri daripada saudara baharu adalah suatu pengajaran besar kepada umat Islam.

Menurutnya, melalui kisah perjalanan mereka, masyarakat dapat melihat bahawa cabaran untuk kembali kepada fitrah sering kali lebih berat daripada apa yang dilalui sendiri.

Namun, Rasulullah SAW telah menunjukkan teladan agung bagaimana baginda tetap sabar, tabah dan terus menyampaikan risalah Islam meskipun dicaci, dihina dan diseksa.

Beliau menekankan bahawa forum kali ini telah mencapai matlamatnya apabila perbincangan membawa kepada kesedaran tentang erti sebenar kasih sayang kepada Rasulullah SAW.

Mengambil pepatah “tak kenal maka tak cinta”, beliau menegaskan bahawa cinta kepada Rasulullah hanya akan lahir melalui pengenalan yang mendalam terhadap keperibadian, perjuangan serta sunnah baginda.

Dato’ Razali menjelaskan, cinta sejati kepada Rasulullah SAW menuntut pengorbanan sebagaimana insan bercinta sanggup melakukan apa sahaja demi kekasihnya.

Katanya, Rasulullah sendiri bersabda bahawa iman seseorang tidak sempurna sehingga baginda lebih dicintai daripada ibu bapa, anak-anak dan seluruh manusia.

Oleh itu, beliau mengajak hadirin menilai sejauh mana kasih mereka kepada baginda berbanding dengan kecintaan terhadap insan lain.

Beliau turut menyeru agar setiap Muslim menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah SAW melalui amalan selawat, ketaatan kepada ajaran baginda, mengamalkan sunnah, menjauhi larangan, serta meneruskan perjuangan dakwah.

Beliau mengumpamakan kecintaan itu seperti “mencaj semula bateri iman” agar ia sentiasa segar, tidak lalai dan kekal hidup hingga ke tahun-tahun mendatang.

Dato’ Razali juga menegaskan bahawa tugas dakwah bukan hanya terletak di bahu PERKIM atau NGO Islam semata-mata, tetapi menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam.

Beliau mencontohkan usaha dakwah PERKIM yang menjangkau masyarakat Orang Asli, komuniti Cina, India dan pelbagai lapisan rakyat, sebagai manifestasi kasih sayang terhadap perjuangan Rasulullah SAW.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja PERKIM yang telah bertungkus-lumus menjayakan forum ini.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga kepada pelajar-pelajar kelas pengajian Islam PERKIM yang sentiasa berusaha menuntut ilmu tanpa jemu.

“Bismillahirrahmanirrahim, dengan ini saya merasmikan Forum Maulidur Rasul SAW 1447H,” ucap Dato’ Razali sambil menyeru agar seluruh hadirin terus beristiqamah dalam memperjuangkan risalah Nabi Muhammad SAW.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian plak cenderahati PERKIM kepada Ustaz Naim Islam dan Haji Burhan Tee serta diakhiri dengan sesi fotografi serta jamuan makan tengah hari.

 


Saudara baharu menulis butir-butir diri ketika sesi pendaftaran Forum Maulidur Rasul 1447H.

 


Ustaz Farhan Tee selaku pengacara majlis mengalu-alukan hadirin di dalam Forum Maulidur Rasul anjuran PERKIM dan MAIWP.

 


Ustaz Abdul Qawi selaku moderator forum memperkenalkan dua ahli panel kepada hadirin.

 


Lebih 200 saudara baharu yang menghadiri Forum Maulidur Rasul SAW 1447H.

 


Saudara baharu mendengar forum yang dibicarakan.

 


Ustaz Naim Islam memeluk Islam pada usianya 19 tahun meskipun berdepan tentangan keluarga.

 


Saudara baharu pelbagai kaum mendengar sambil mencatat ilmu yang disampaikan.

 


Haji Burhan Tee berkongsi pengalaman beliau sebagai pelajar cemerlang dalam mata pelajaran agama Islam meskipun bukan beragama Islam ketika itu.

 


Haji Burhan Tee mengajurkan mualaf supaya menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai wadah penghayatan sirah.

 

 


Ustaz Naim Islam mencontohkan kisah kesabaran Rasulullah SAW menghadapi penentangan sehingga musuh Baginda akhirnya memeluk Islam kerana kelembutannya.

 


Haji Burhan Tee menyeru hadirin supaya dapat menanamkan cinta kepada Rasulullah SAW, mendidik anak-anak dengan kasih sayang, ilmu serta teladan akhlak mulia.


Ustaz Naim Islam menasihatkan saudara baharu supaya menjadikan contoh Rasulullah SAW sebagai uswatun hasanah dalam kehidupan seharian.

 


Dato’ Razali mewakili Setiausaha Agung Kehormat merasmikan Forum Maulidur Rasul 1447H.

 

 


Dato’ Razali dalam ucapannya berkata bahawa Rasulullah SAW telah menunjukkan teladan agung dengan sabar, tabah dan terus menyampaikan risalah Islam meskipun dicaci, dihina dan diseksa.

 

 


Dato’ Razali menyampaikan cenderahati plak PERKIM kepada Ustaz Naim Islam.

 


Haji Burhan Tee menerima plak cenderahati PERKIM daripada Dato’ Razali.

 


Dato’ Razali bersama barisan panelis berkesempatan bergambar kenangan bersama peserta di akhir forum.

 


Peserta forum beratur ketika mengambil makan tengah hari.

 


Saudara baharu menjamu selera ketika menikmati jamuan makan tengah hari.

 

Related Articles

Back to top button