Aktiviti Dakwah

Dialog Harmoni Bersama Masyarakat Majmuk Orang Asli Kampung Penderas

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐊𝐑𝐀𝐔, 𝟐𝟔 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Program Muhibbah Bersama Masyarakat Majmuk Orang Asli di Surau Kampung Orang Asli Penderas, Kuala Krau di sini memasuki hari kedua dengan pelbagai pengisian ilmu, aktiviti kebersamaan dan pertemuan harmoni yang mengukuhkan ukhuwah antara komuniti.


𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐩𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐉𝐚𝐢𝐬 𝐌𝐚𝐫𝐢𝐚𝐩𝐩𝐚𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 berkata, program anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu diadakan bertujuan memperkukuh semangat persaudaraan Islam, menyemarakkan dakwah serta mengeratkan hubungan masyarakat majmuk Orang Asli bersama masyarakat Islam yang lain.

Menurutnya, kerjasama erat PERKIM Bahagian Negeri Pahang turut menjadikan penganjuran kali ini lebih bermakna kerana disokong oleh sukarelawan Malaysian Relief Agency (MRA) serta Kelab PERKIM Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS).

“Seawal pagi, suasana kampung sudah meriah dengan gotong-royong persiapan tempat, kerja kebersihan dan aktiviti memasak.

“Penduduk kampung berganding bahu bersama sukarelawan menyediakan hidangan dan membersihkan kawasan surau, sekali gus menzahirkan semangat kebersamaan yang menjadi roh utama program ini,” katanya.

Program diteruskan dengan majlis ilmu apabila 𝐏𝐞𝐧𝐬𝐲𝐚𝐫𝐚𝐡 𝐔𝐧𝐢𝐯𝐞𝐫𝐬𝐢𝐭𝐢 𝐀𝐥-𝐀𝐳𝐡𝐚𝐫 𝐌𝐞𝐬𝐢𝐫 𝐤𝐞 𝐔𝐧𝐢𝐏𝐒𝐀𝐒, 𝐒𝐡𝐞𝐢𝐤𝐡 𝐈𝐬𝐦𝐚𝐢𝐥 𝐊𝐡𝐚𝐦𝐢𝐬 𝐀𝐛𝐨𝐮𝐞𝐥𝐤𝐡𝐞𝐢𝐫 𝐀𝐛𝐝𝐞𝐥𝐡𝐚𝐝𝐲 menyampaikan tausiah penuh berkesan.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa nikmat terbesar yang wajib disyukuri umat Islam ialah nikmat Islam dan iman. Islam, katanya, adalah agama penyerahan diri kepada Allah SWT, sumber kebahagiaan sejati serta jalan keselamatan di dunia dan akhirat.

Sheikh Ismail yang menyampaikan tausiah dalam Bahasa Arab sambil diterjemahkan pelajar UniPSAS, Muhammad Naqib Iman Muhammad Salihin turut mengingatkan doa Rasulullah SAW agar hati baginda tetap teguh di atas agama Allah.

Beliau menekankan pesanan junjungan agar umat redha dengan Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul.

Dalam tausiahnya, beliau menukilkan sabda Rasulullah bahawa baginda merindui umat yang beriman kepadanya walaupun tidak pernah melihatnya, dan mereka akan dikenali di akhirat melalui cahaya wuduk yang terpancar pada wajah, tangan serta kaki.

Beliau menegaskan kebahagiaan sejati hanya diperoleh melalui petunjuk Allah, manakala mereka yang berpaling akan hidup dalam kesempitan serta dibangkitkan dalam keadaan buta.

“Islam adalah rahmat bagi seluruh alam; ia mengikat persaudaraan, menyebar kasih sayang dan meliputi bukan sahaja manusia, bahkan juga haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

“Manusia ditugaskan untuk memakmurkan bumi, melakukan kebaikan serta memberi manfaat kepada sesama makhluk,” katanya sambil menutup tausiah dengan peringatan bahawa Islam adalah agama yang mudah, penuh kelembutan dan wajib disyukuri nikmat hidayah-Nya.

Sejurus selesai tausiah, masyarakat kampung berhimpun di surau untuk menunaikan solat Jumaat. 𝐘𝐁 𝐒𝐞𝐧𝐚𝐭𝐨𝐫 𝐒𝐡𝐚𝐡𝐫𝐨𝐥 𝐖𝐢𝐳𝐚𝐧 𝐒𝐮𝐥𝐨𝐧𝐠 yang bertindak sebagai khatib menyampaikan khutbah bertajuk “Bahana Mengumpat.”

Dalam khutbahnya, beliau menegaskan bahawa mengumpat adalah penyakit lidah yang boleh merosakkan ukhuwah dan menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.

Perbuatan menceritakan keburukan orang lain tanpa hak, jelasnya, adalah dosa besar yang boleh menghapuskan pahala amalan seumpama api membakar kayu kering.

Beliau mengingatkan jemaah agar menjaga lidah, menjauhi ghibah serta memperbanyakkan zikir dan doa.

Katanya, umat Islam mesti sedar bahawa menjaga maruah dan aib sesama insan adalah sebahagian daripada akhlak mulia yang dituntut syarak.

Beliau menyeru agar masyarakat menggantikan perbuatan mengumpat dengan amalan saling menasihati serta mendoakan kebaikan, kerana itulah tanda kasih sayang sejati.

Usai solat Jumaat, program diteruskan dengan Dialog Harmoni Bersama Masyarakat Majmuk Orang Asli yang dimoderatorkan Timbalan Eksekutif PERKIM Bahagian Negeri Pahang, Arif Ikhwan Ishak.

Dialog tersebut disampaikan oleh YB Senator Shahrol Wizan yang juga Ahli Dewan Negara.

Dalam sesi dialog, beliau menekankan kepentingan konsep hijrah dan nusrah sebagai asas persaudaraan.

Peristiwa kaum Muhajirin yang berhijrah dan mendapat sokongan kaum Ansar, jelasnya, wajar dijadikan teladan dalam membina ikatan persaudaraan sejati.

Beliau menyatakan bahawa kehadiran para rombongan harus diraikan dengan penuh mesra oleh masyarakat kampung kerana ia merupakan sebahagian daripada amal nusrah iaitu memberi bantuan dan sokongan.

“Seperti mana Kota Yathrib yang berubah menjadi Madinah al-Munawwarah selepas kedatangan Rasulullah SAW, saya berharap kawasan dan program ini turut menjadi medan keberkatan serta memperkukuh ukhuwah,” katanya.

YB Senator Shahrol Wizan turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur serta berdoa agar para peserta yang pulang ke rumah, kampung dan tempat kerja masing-masing dilindungi Allah SWT.

Menurutnya, ukhuwah yang terjalin tidak seharusnya terhenti selepas dua hari program, sebaliknya mesti diperkukuh sepanjang masa.

“Amalan solat ribuan rakaat atau zikir puluhan ribu kali sekalipun tidak bermakna tanpa kasih sayang dan persaudaraan. Kekuatan umat terletak pada ukhuwah yang kukuh. Itulah tunjang keharmonian dan perpaduan,” tegas beliau.

Dialog harmoni itu diakhiri dengan sesi bersalam-salaman dan jamuan makan tengah hari bersama penduduk kampung dalam suasana penuh mesra.

Turut hadir, Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Pahang, Mahadi Deraman serta urus setia PERKIM Kebangsaan, Azura Abdul Rahman, Fatin Akmal Aksah, Farah Irisha Hazlizam dan Mohamad Fardly Johan.

 


Urus setia dan sukarelawan bertungkus lumus secara bergotong-royong menyiapkan masakan untuk makan tengah hari.

 


Urus setia menyiapkan bahan-bahan masakan untuk juadah tengah hari.

 


𝐒𝐡𝐞𝐢𝐤𝐡 𝐈𝐬𝐦𝐚𝐢𝐥 𝐊𝐡𝐚𝐦𝐢𝐬 menyampaikan tausiah dalam Bahasa Arab kepada penduduk kampung.

 


“Islam adalah rahmat bagi seluruh alam dan ia mengikat persaudaraan,” sambil diterjemahkan oleh Naqib Iman (kiri).

 


YB Shahrol Wizan menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk “Bahana Mengumpat” selaku khatib bertugas.

 


Dalam khutbah beliau menegaskan bahawa mengumpat adalah penyakit lidah yang boleh menyebabkan perpecahan dalam masyarakat.

 


Masyarakat dan kanak-kanak kampung menadah tangan ketika doa di antara dua khutbah dibacakan.

 


YB Shahrol Wizan menyampaikan bicaranya di dalam Dialog Harmoni kepada masyarakat kampung.

 

 


YB Shahrol Wizan menekankan kepentingan konsep hijrah dan nusrah sebagai asas persaudaraan dalam Diolog Harmoni.

 


Masyarakat kampung bersalam-salaman di akhir program Dialog Harmoni.

 


Penduduk kampung mengambil juadah makan tengah hari yang disediakan.

 


Penduduk kampung menikmati juadah makan tengah hari bersama ahli keluarga.

 


Salah seorang penduduk kampung gembira menikmati makanan yang dimasak secara bergotong-royong.

Related Articles

Back to top button