Bekas Profesor UIAM Sumbang Buku Panduan Dakwah
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 4 JANUARI 2024 – Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor mengalu-alukan dan menyambut mesra kunjungan bekas Profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mohd Yusof Hussain ke Perpustakaan Mini PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, pagi Khamis.
Menurut Dr Yusof Noor, hasrat Dr Yusof Hussain ke PERKIM adalah untuk menyumbangkan lima buah buku koleksi edisi terhad untuk rujukan dakwah kepada pendakwah PERKIM.
Katanya, jika kita hendak membeli buku tersebut di pasaran, ianya sudah tidak dicetak lagi.
Buku ini mengandungi panduan dan memudahkan kita mengetahui berkenaan dengan dakwah Islamiah dan komunikasi dengan agama lain.
Jelas Dr Yusof Noor lagi, perpustakaan mini ini digunakan oleh saudara baharu untuk membaca, mencari maklumat mengenai Islam dan membuat rujukan.
Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Dr Yusof Hussain kerana telah memberi sumbangan yang begitu berharga serta bermanfaat kepada Perpustakaan Mini PERKIM bagi bahan rujukan dan kajian kepada pendakwah, saudara baharu serta mahasiswa universiti.
Dr Yusof Noor turut mengesyorkan supaya diadakan sudut buku rujukan di dalam perpustakaan mini kerana koleksi khas perlu diletakkan di sudut berasingan sempena penerimaan buku edisi terhad ini.
Meskipun perpustakaan mini terhad, ia dapat memberi manfaat kepada saudara baharu dan pengunjung yang singgah ke sini.
Sementara itu, Dr Mohd Yusof Hussain dalam ucapannya berkata, beliau telah mengenali dan bekerjasama dengan PERKIM dari zaman kepimpinan Allahyarham Dato’ Haji Ahmad Nordin Haji Mohd Zain menjadi Setiausaha Agung Kehormat PERKIM pada tahun 1987 lagi.
Katanya, beliau sebelum ini telah bertugas selama 22 tahun di UIAM dengan mengetuai Jabatan Komunikasi Islam serta telah menyumbang secara meluas dalam bidang tersebut dan bersara pada tahun 2013.
Beliau juga telah membimbing komunikasi Islam bersama mahasiswa-mahasiswa dari dalam negara serta luar negara seperti Palestin, Arab Saudi, Bosnia Herzegovina, Mesir, Sudan dan lain-lain.
Antara penghargaan terbesar buat dirinya di UIAM pada ketika itu ialah nama beliau dimahsyurkan di perpustakaan UIAM menjadi Perpustakaan Profesor Yusof Hussain.
Ujar Dr Yusof Hussain lagi, rakan karib beliau sejak menuntut di Universiti Malaya pada tahun 1963 juga turut dipahatkan nama menjadi Perpustakaan Profesor Mohd Kamal Hassan.
Jelasnya, banyak lagi buku yang ingin dihadiahkan kepada PERKIM, tetapi saya memilih lima buah buku ini untuk disumbangkan di perpustakaan PERKIM.
Katanya, tidak semua perpustakaan di Malaysia mempunyai buku ini kerana ia adalah cetakan dan bilangan yang terhad.
Menurutnya, lima buku yang disumbangkan itu berjudul ‘A Concordance Of The Quran’, ‘Dictionary Of Islamic Terms’, ‘The New Strong’s Exhaustive Concordance Of The Bible’, ‘Nelson’s Dictionary Of Christianity’ serta ‘Essential Judaism – A Complete Guide Of Beliefs, Customs and Rituals’ menjadi sumber rujukan utama dalam pengajarannya ketika di Jabatan Komunikasi Islam.
Dr Yusof Hussain berharap dengan sumbangan buku tersebut memberi manfaat dan panduan kepada pendakwah di PERKIM.
Dr Yusof Noor turut menyampaikan cenderahati sebuah Buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM serta buah tangan kepada Dr Yusof Hussain.
Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin.
Dr Yusof Noor ketika menyambut kehadiran bekas profesor UIAM, Dr Mohd Yusof Hussain.
Dr Yusof Noor (kanan) merakamkan penghargaan dan terima kasih kerana kesudian Dr Yusof Hussain menyumbang buku bagi tujuan dakwah.
Lima buah buku panduan dakwah yang disumbangkan oleh Dr Yusof Hussain.
Pegawai PERKIM hadir di majlis penyerahan buku oleh bekas profesor UIAM.
Pada tahun 1987 lagi, Dr Yusof Hussain telah bekerjasama bersama PERKIM di zaman Setiausaha Agung Kehormat, Allahyarham Dato’ Haji Ahmad Nordin Haji Mohd Zain.
Dr Yusof Hussain (kiri) menyerahkan lima buah buku kepada Dr Yusof Noor.
Dr Yusof Hussain meletakkan salah sebuah buku panduan dakwah di rak Perpustakaan Mini PERKIM.
Pegawai PERKIM membelek dan meneliti buku panduan dakwah yang diserahkan oleh Dr Yusof Hussain.