Perbaharui Tekad, Azam Secara Optimistik Di Tahun Baharu 2024 – SUA PERKIM
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 5 JANUARI 2024 – Seramai 56 pegawai dan kakitangan Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan melaksanakan solat sunat hajat dan bacaan surah Yasin sebagai permulaan acara di Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan pertama bersempena tahun baharu 2024 bertempat di Surau PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, pagi Jumaat.
Majlis solat sunat hajat itu dipimpin oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim manakala bacaan Surah Yasin pula diketuai oleh Pembantu Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI) PERKIM Kebangsaan, Tuan Haji Ishak Othman.
Ia turut dihadiri kakitangan Institut Dakwah Antarabangsa Islam PERKIM (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).
Sejurus itu, perhimpunan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan dipimpin oleh Pasukan Nasyid PERKIM Kebangsaan serta diacarakan oleh Pegawai UDPI, Muhammad Farhan Tee Abdullah manakala Abdul Qawi Navine Abdullah selaku Penolong Pegawai Dakwah IDIP-KL memimpin bacaan doa pembuka majlis.
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dalam ucapan amanatnya mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana telah memberikan kesihatan kepada kita sehingga dapat melangkah ke tahun baharu 2024.
Katanya, setiap orang apabila melangkah sahaja ke tahun baharu mempunyai rancangan yang telah diatur dan tahun baharu 2024 merupakan tahun baharu pentadbiran kerana tahun baharu kita sebagai orang Islam ialah tahun baharu hijrah.
“Menyambut tahun baharu ini akan memberikan kita inspirasi dengan memperbaharui tekad dan azam serta menampung kekurangan yang berlaku pada tahun-tahun yang lalu.
“Mereka yang menjadi warga PERKIM berdasarkan kepada tujuan asalnya adalah untuk menjalankan usaha dakwah kepada Muslim yang sedang bertatih mempelajari Islam dan mereka yang belum mendapat hidayah Allah SWT lagi.
“Perlulah kita mengetahui untuk memberikan kefahaman agama Islam kepada golongan mualaf atau saudara baharu kini banyak badan atau organisasi yang telah melakukannya,” kata beliau.
Menurutnya, lebih daripada 60 peratus rakyat di Malaysia merupakan penganut agama Islam manakala 40 peratus adalah lain-lain agama serta tiada agama.
“Mengikut statistik hari ini bahawa gerakan tidak beragama itu sudah menjadi satu gerakan baru dan ramai yang tidak beragama dalam dunia. Mereka berusaha untuk mematahkan hujah-hujah mereka yang beragama.
“Segelintir mereka yang tiada agama tidak memilih agama Islam dan apakah yang kita perlu fikirkan serta tingkatkan usaha supaya golongan yang tiada agama itu memilih Islam menjadi pilihan mereka.
“Seramai 70,000 daripada 4 juta kaum Cina telah menganut agama Islam di Malaysia ini.
“Tentulah mempunyai sebab mengapakah agama minoriti tidak tertarik dengan agama majoriti dan ia memberi peluang PERKIM untuk mengkaji dan mengambil peduli kepada perkara demikian.
“Kita tidak boleh kata, 45,000 orang Cina yang memeluk Islam di Malaysia merupakan hasil PERKIM tetapi kita sangat gembira sekiranya ianya merupakan usaha PERKIM sejak awal ditubuhkan.
Ujar Dr Yusof Noor, tahun 2024 ini pada umumnya keadaan nampak tidak berapa ceria daripada segi ekonomi dan kehidupan kerana mengikut kata pakar psikologi, dalam setiap 10 orang ada seorang yang mengalami tekanan di Malaysia.
“Tekanan ini berlaku adalah kerana mereka mengalami dan menghadapi masalah sosial.
“Kita sebagai seorang Islam yang bekerja dalam urusan agama akan berusaha mencapai optimistik atau mempunyai cita-cita yang jelas serta pengharapan yang tinggi dan mampu menggapai matlamat sekali gus menjadikan tahun 2024 satu kepuasan yang terbaik daripada tahun-tahun yang lepas,” kata beliau.
Jelas Dr Yusof Noor, memandangkan penyewa telah keluar pada tahun lalu, dataran ini agak kurang ceria dan saya bersama kepimpinan PERKIM berbincang dan bersetuju bahawa dataran ini diberi nama ‘Dataran Dakwah’.
Dataran Dakwah ini akan diisikan dengan beberapa kegiatan seperti Siri Kuliah Dakwah Perdana (SKOP), kaunseling, pusat informasi, perundingan, khidmat kesihatan, motivasi, pendidikan, kebajikan dan lain-lain.
Ia akan menjadikan dataran dakwah ini lebih bererti dan ceria selain masyarakat sekeliling mengimarahkan surau bagi menunaikan solat lima waktu.
Beliau juga dimaklumkan bahawa PERKIM Bahagian Negeri Selangor telah menubuhkan Pusat Kaunseling PERKIM Selangor bagi menawarkan perkhidmatan kaunseling peribadi, keluarga, remaja, perkahwinan, kerjaya, pendidikan dan lain-lain secara percuma.
Demikian juga PERKIM Bahagian Negeri Sarawak telah mula mengatur langkah dalam melaksanakan perkhidmatan kaunseling kepada kakitangan, saudara baharu dan masyarakat serta mendapat sambutan yang baik.
Sekiranya perkhidmatan kaunseling sesuai di PERKIM Bahagian Negeri-negeri, maka mereka boleh merancang dan memikirkan tanpa membebankan dari segi kewangan serta mereka boleh mencari sukarelawan untuk perkhidmatan tersebut di negeri masing-masing di mana menjadikan PERKIM Kebangsaan sebagai contoh permulaan.
Katanya, untuk berdakwah, tidak semestinya kita perlu menyampaikan hadis berkenaan perkara-perkara yang ditegah dan perkara-perkara yang disuruh tetapi memberi khidmat yang baik kerana ia sesuai dengan hala tuju yang dijelaskan oleh Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu “tunjukkanlah kebaikan itu contoh dari diri kita.”
Perkara sunat yang dilakukan pada hari ini seperti solat sunat dhuha, solat sunat hajat dan bacaan Surah Yasin merupakan langkah terbaik buat permulaan pada awal tahun 2024 sebagai usaha kita untuk mendapat perhatian dan pertimbangan daripada Allah SWT.
PERKIM juga sedang berusaha untuk menaik tarafkan Surau PERKIM sebagai Surau Solat Jumaat yang diberi pertimbangan atas dasar khas melalui Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan tujuan untuk menjinakkan saudara baharu kerana mereka selesa berjemaah di sini.
“Rancanglah untuk menjadikan tahun baharu 2024 ini sesuatu yang baik dengan sumbangan dan peranan kita kepada agama Islam,” kata beliau mengakhiri ucapan.
Di akhir majlis, Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan sumbangan Ihsan PERKIM Kebangsaan kepada Penolong Pegawai Penyelenggaraan Bangunan PERKIM, Md. Eakzam Jaafar kerana pemergian ibunda yang tercinta ke rahmatullah pada November 2023 lalu.
PERKIM turut merakamkan ucapan takziah kepada Md. Eakzam serta mendoakan agar roh ibunya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Turut hadir kepimpinan PERKIM Kebangsaan ialah Bendahari Kehormat, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Kanan Dakwah, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Setiausaha Kerja Eksekutif, Encik Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Pembangunan dan Aset, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Insan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Pengarah Unit Komunikasi dan Media, Firdaus Lokman Tah.
Warga PERKIM Kebangsaan melaksanakan solat sunat hajat sempena perhimpunan pertama di awal tahun baharu 2024.
Datuk Nordin membaca doa selepas memimpin solat sunat hajat.
Haji Ishak mengetuai bacaan Surah Yasin.
Pegawai dan kakitangan wanita yang turut bersama dalam majlis bacaan Yasin.
Warga PERKIM memulakan tahun baharu 2024 dengan bacaan Surah Yasin.
Pasukan Nasyid PERKIM Kebangsaan memimpin lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan di perhimpunan pertama tahun 2024.
Kepimpinan PERKIM Kebangsaan berdiri tegak ketika menyanyikan lagu Negaraku.
Abdul Qawi memimpin bacaan doa pembuka majlis.
Kepimpinan PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.
Warga PERKIM mengaminkan doa yang dibaca oleh Abdul Qawi.
Dr Yusof Noor menyampaikan amanatnya di tahun baharu 2024.
Warga PERKIM mendengar dan menghayati ucapan yang disampaikan.
Dr Yusof Noor menggesa warganya untuk memperbaharui tekad dan azam secara optimistik pada tahun 2024 ini.
Dr Yusof Noor berkata bahawa Dataran Dakwah itu akan diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti SKOP, kaunseling, pusat informasi, perundingan, khidmat kesihatan, motivasi, pendidikan, kebajikan dan lain-lain.