Aktiviti Dakwah

Pertemuan Pengarah Dakwah Kanan PERKIM Kebangsaan Bersama Pegawai-Pegawai

KUALA LUMPUR, 3 MEI 2023 – Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor mengucapkan Selamat Datang ke PERKIM Kebangsaan serta mengalu-alukan kehadiran Pengarah Dakwah (Kanan) PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin yang dilantik bermula pada 1 Mei 2023 lalu.

Dato’ Razali dipertemukan bersama Pengarah-pengarah dan Pegawai-pegawai PERKIM Kebangsaan bertempat di Ibu Pejabat PERKIM, Tingkat 6, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa, Setiausaha Kerja PERKIM Kebangsaan, Encik Zulkefli Arifin.

Dr Yusof Noor memaklumkan bahawa selain program dan aktiviti dakwah, Dato’ Razali juga akan terlibat di dalam sekretariat Mesyuarat Majlis Kebangsaan PERKIM, Mesyuarat Pengurusan Eksekutif (EXCO) PERKIM, Mesyuarat Jawatankuasa Kecil yang dibentuk oleh Majlis Kebangsaan PERKIM dan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan.

Katanya, dengan adanya dua tokoh di PERKIM iaitu Datuk Nordin Ibrahim selaku Mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Dato’ Razali selaku Mantan Timbalan Ketua Pengarah JAKIM memberi batu loncatan serta peranan untuk PERKIM merapatkan hubungan lebih dekat lagi dengan Jabatan atau Majlis Agama Islam Negeri-negeri.

Dr Yusof Noor turut mengumumkan bahawa YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Pembelajaran Saudara Baru manakala Encik Firdaus Lokman pula dilantik sebagai Pengarah Penerbitan dan Media Baru.

Dato’ Razali merupakan anak kelahiran Pulau Pinang yang mempunyai isteri seorang mualaf bekas pelajar Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Pengkalan Chepa, Kelantan dan lima cahaya mata.

Selain pernah menjawat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM, Dato’ Razali juga merupakan Mantan Pengarah Bahagian Penyelidikan JAKIM, Mantan Ahli Lembaga Pengarah Institut Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL), Mantan Pengarah Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan kini beliau masih menyandang jawatan sebagai Pengerusi Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM).

Kata Dato’ Razali, dengan adanya sedikit pengalaman selama hampir 35 tahun dengan JAKIM, saya bersedia untuk membantu PERKIM dan saudara baru dalam memartabatkan agama Islam.

“PERKIM bersedia melaksanakan pelbagai bentuk program untuk menyepadukan program-program ke arah pemantapan dan memperkasakan mualaf serta menaik tarafkan PERKIM sejajar dengan halatuju dakwah PERKIM,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button