PERKIM Santuni 43 Mangsa Banjir di Kampung Melayu Subang dan Paya Jaras
𝘰𝘭𝘦𝘩: 𝘔𝘖𝘏𝘋. 𝘚𝘠𝘈𝘏𝘙𝘐𝘓 𝘙𝘖𝘚𝘋𝘐 𝘈𝘏𝘔𝘈𝘋 𝘡𝘈𝘏𝘜𝘋𝘐
𝗦𝗨𝗡𝗚𝗔𝗜 𝗕𝗨𝗟𝗢𝗛, 𝟭𝟴 𝗡𝗢𝗩𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan meneruskan komitmen memperkukuh agenda kebajikan dan keprihatinan terhadap masyarakat apabila menyantuni keseluruhan 43 mangsa banjir di Kampung Melayu Subang dan Paya Jaras, Selangor, menerusi penyaluran sumbangan wang tunai bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat bencana berkenaan.
Daripada jumlah itu, seramai 23 mangsa banjir disantuni di Pusat Operasi Banjir Kampung Melayu Subang, manakala 20 lagi penerima bantuan menerima sumbangan menerusi kunjungan rombongan PERKIM Kebangsaan ke Pusat Operasi Banjir Paya Jaras.

𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗣𝗲𝗻𝘁𝗮𝗱𝗯𝗶𝗿𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗗𝗿. 𝗦𝘂𝗮𝗿𝗶𝘇𝗮 @ 𝗛𝗶𝗱𝗮𝘆𝗮𝗵 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 berkata, sebahagian mangsa banjir berkenaan berdepan kesukaran besar apabila kediaman mereka ditenggelami air sehingga menyebabkan kerosakan pelbagai kelengkapan rumah dan keperluan asas.
Menurutnya, terdapat penerima bantuan yang terpaksa membersihkan rumah masing-masing berulang kali, malah ada yang sudah melalui pengalaman berpindah dan membersihkan kediaman sehingga enam kali susulan kejadian banjir yang berulang.
“Keadaan ini amat mencabar bagi mereka kerana setiap kali banjir berlaku, pelbagai barangan termasuk perabot, kelengkapan rumah dan keperluan harian mengalami kerosakan. Ada juga yang kehilangan sumber kewangan untuk menggantikan barangan yang musnah.
“Alhamdulillah, menerusi sumbangan orang ramai, PERKIM dapat menyalurkan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Kami amat menghargai setiap sumbangan dan kepercayaan para penderma yang membolehkan bantuan ini disampaikan kepada golongan sasaran,” katanya.
Beliau berkata, kesan banjir bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda, malah memberi tekanan kewangan kepada keluarga terjejas, khususnya mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap atau sedang berhadapan kekangan untuk mendapatkan pekerjaan baharu.
Justeru, katanya, bantuan yang disalurkan diharap dapat membantu memenuhi sebahagian keperluan mendesak selain memberikan sedikit kelegaan kepada mangsa untuk kembali menjalani kehidupan seperti sediakala.
Dr. Suariza turut menegaskan bahawa penglibatan PERKIM dalam membantu mangsa bencana bukan perkara baharu kerana pertubuhan itu sebelum ini turut menggerakkan sukarelawan bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan rumah dan kawasan kediaman yang terjejas.
Katanya, usaha berkenaan turut melibatkan sokongan badan-badan sukarelawan PERKIM, kelab PERKIM universiti serta Majlis Belia PERKIM bagi membantu mangsa membersihkan kediaman masing-masing selepas kejadian banjir.

Sementara itu, 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗿𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 pula berkata, kejadian banjir yang melanda Kampung Melayu Subang pada Oktober lalu merupakan pengalaman luar biasa bagi sebahagian penduduk apabila kawasan berkenaan sebelum ini tidak pernah berhadapan kejadian banjir seumpamanya.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penduduk mula berasa bimbang setiap kali hujan lebat, lebih-lebih lagi apabila terdapat keluarga yang terpaksa berulang kali membersihkan kediaman akibat limpahan air.
“Alhamdulillah, PERKIM Kebangsaan berpeluang menyantuni 23 mangsa banjir pada hari ini dengan menyampaikan sedikit sumbangan wang tunai bagi membantu meringankan beban yang ditanggung mereka.
“Kami difahamkan ada penduduk yang mengalami kerosakan perabot, peralatan rumah dan juga kenderaan. Keadaan ini tentunya memberikan tekanan kepada mereka kerana kos untuk menggantikan barangan yang rosak bukanlah sedikit,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada 𝗣𝗲𝗻𝗴𝘂𝗿𝘂𝘀𝗮𝗻 𝗞𝗲𝗰𝗲𝗺𝗮𝘀𝗮𝗻 𝗕𝗲𝗻𝗰𝗮𝗻𝗮 𝗞𝗵𝗶𝗱𝗺𝗮𝘁 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘆𝘀𝗶𝗮 𝗦𝘂𝗻𝗴𝗮𝗶 𝗕𝘂𝗹𝗼𝗵, 𝗦𝗲𝗹𝗮𝗻𝗴𝗼𝗿, 𝗸𝗵𝘂𝘀𝘂𝘀𝗻𝘆𝗮 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗡𝗶𝗸 𝗜𝘀𝗺𝗮𝗶𝗹 𝗪𝗮𝗻 𝗔𝗵𝗺𝗮𝗱 dan Ustazah Asidah Arshad, yang membantu mengenal pasti serta menghubungkan PERKIM dengan keluarga mangsa banjir yang memerlukan bantuan.
Pada majlis penyerahan bantuan sumbangan wang tunai tersebut disampaikan oleh Dr. Suariza diringi Ustaz Farhan Tee dan Eksekutif Kewangan PERKIM Kebangsaan, Mohd Aizat Rosli kepada mangsa banjir terpilih.

Dalam pada itu, wakil penduduk Kampung Melayu Subang, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇𝗮𝗵 𝗔𝘀𝗶𝗱𝗮𝗵 𝗔𝗿𝘀𝗵𝗮𝗱 menyifatkan sumbangan PERKIM sebagai satu bentuk sokongan bermakna yang bukan sahaja membantu dari sudut keperluan kewangan, malah turut memberikan semangat kepada penduduk yang masih berusaha memulihkan kehidupan selepas bencana.
Beliau berkata, pihaknya amat bersyukur atas keprihatinan PERKIM dan berharap pertubuhan itu terus diberikan kemudahan serta keberkatan dalam melaksanakan usaha kebajikan untuk masyarakat.
Selesai penyerahan sumbangan di Kampung Melayu Subang, rombongan PERKIM Kebangsaan meneruskan misi bantuan ke Kampung Merbau Sempak, Paya Jaras, Selangor, bagi menyantuni pula penduduk yang terjejas akibat banjir di kawasan berkenaan.
Rombongan ziarah meneruskan perjalanan ke Pusat Operasi Banjir Paya Jaras yang terletak kira-kira 20 minit dari Kampung Melayu Subang dan singgah sebentar solat fardu Zohor secara berjemaah di Masjid Nurul Iman.
Ketibaan rombongan PERKIM disambut mesra penerima bantuan yang hadir di pusat operasi berkenaan.

𝗣𝗲𝗴𝗮𝘄𝗮𝗶 𝗞𝗵𝗮𝘀 𝗣𝘂𝘀𝗮𝘁 𝗞𝗵𝗶𝗱𝗺𝗮𝘁 𝗔𝗵𝗹𝗶 𝗗𝗲𝘄𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 (𝗔𝗗𝗡) 𝗣𝗮𝘆𝗮 𝗝𝗮𝗿𝗮𝘀, 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗥𝗲𝘇𝗮 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗦𝗮𝗹𝗹𝗲𝗵 merakamkan penghargaan kepada PERKIM atas kesudian turun padang meninjau keadaan mangsa banjir serta menyampaikan bantuan kepada penduduk setempat.
Beliau menjelaskan, senarai penerima bantuan disediakan berdasarkan penilaian kelayakan bagi memastikan sumbangan yang terhad dapat disalurkan secara lebih teratur dan mengutamakan mereka yang benar-benar memerlukan.
Sementara itu, Dr. Suariza berkata, usaha menyantuni mangsa banjir merupakan sebahagian daripada tanggungjawab PERKIM dalam melaksanakan agenda dakwah dan kebajikan yang merangkumi seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Menurutnya, PERKIM yang diasaskan oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, bukan sahaja memberikan perhatian kepada golongan saudara baharu, malah turut memainkan peranan membantu masyarakat yang berhadapan kesusahan dan memerlukan pembelaan.
Beliau berkata, PERKIM sentiasa berusaha menghulurkan bantuan mengikut kemampuan dan sumber kewangan yang tersedia, termasuk ketika berlakunya bencana banjir di beberapa kawasan sebelum ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ustaz Farhan Tee berkata, Bahagian Dakwah PERKIM Kebangsaan sebelum ini turut mengadakan tinjauan serta ziarah kebajikan ke Kampung Kubu Gajah 1 dan 5, Paya Jaras, pada 5 November lalu bagi melihat sendiri keadaan penduduk yang terjejas.
Menurutnya, lawatan berkenaan turut membuka ruang kepada PERKIM untuk memahami keperluan sebenar mangsa serta cabaran yang dihadapi badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam operasi bantuan bencana.
Beliau berkata, ketika lawatan itu, beberapa NGO termasuk Muslim Care Malaysia Society, Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia dan Yayasan Amal sedang berganding bahu menyediakan serta mengagihkan makanan kepada penduduk yang terjejas.
Malah, pasukan PERKIM turut membantu membungkus dan menghantar makanan ke kawasan kediaman mangsa dengan kerjasama sukarelawan NGO berkenaan.
Katanya, antara keperluan mendesak yang dikenal pasti termasuk tilam, bantal, selimut, makanan asas, peralatan persekolahan, bahan pencuci, kelengkapan dapur, keperluan peribadi wanita serta kos menyewa lori untuk melupuskan barangan yang rosak akibat banjir.
“Walaupun pelbagai pihak tampil membantu, keperluan mangsa masih banyak dan bantuan yang tersedia belum mencukupi untuk menampung keseluruhan penduduk yang terjejas.
“Kita berharap PERKIM dapat terus memainkan peranan membantu mangsa banjir serta menyokong usaha NGO yang berada di lapangan, selaras dengan matlamat kebajikan yang menjadi antara teras utama perjuangan pertubuhan ini,” katanya.
Program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan PERKIM Kebangsaan dalam memperluas khidmat kemanusiaan melalui pendekatan turun padang, kerjasama strategik dan penyaluran bantuan secara bersasar, khususnya kepada masyarakat yang sedang berhadapan ujian bencana.
Dr. Suariza diringi Haji Reza dan Ustaz Farhan Tee menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 20 penerima di akhir majlis tersebut.
Turut hadir ialah Timbalan Eksekutif Media PERKIM Kebangsaan, kakitangan PERKIM Kebangsaan, Mu’alish Shah Mohd Anuar serta pelajar latihan industri Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Khairiah Abdul Wahab.

Ustaz Farhan Tee menyantuni mangsa banjir di Kg. Melayu Subang.

Farhan Tee dalam ucapannya bersyukur kerana PERKIM dapat menjadi antara sebahagian daripada penyaluran bantuan secara bersasar, khususnya kepada masyarakat yang sedang berhadapan ujian bencana.

Dr. Suariza dalam ucapannya menzahirkan ucapan kesyukuran kepada Allah SWT kerana menerusi sumbangan orang ramai, PERKIM dapat menyalurkan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Dr. Suariza diiringi eksekutifnya menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.

Mangsa banjir Kg. Melayu Subang menerima sumbangan daripada Dr. Suariza.

Mangsa banjir gembira menerima sumbangan daripada Dr. Suariza.

Mangsa yang beberapa kali rumahnya ditenggelami air turut menerima sumbangan daripada Dr. Suariza.

Warga PERKIM turut bergambar bersama mangsa-mangsa banjir selepas penyerahan sumbangan.

Haji Nik Ismail Wan Ahmad dari Pengurusan Kecemasan Bencana Khidmat Malaysia Sungai Buloh merupakan individu yang bertanggungjawab membantu mengenal pasti serta menghubungkan PERKIM dengan keluarga mangsa banjir di Paya Jaras.

Haji Reza selaku Pegawai Khas ADN Paya Jaras merakamkan penghargaan kepada PERKIM atas kesudian turun padang meninjau keadaan mangsa banjir serta menyampaikan bantuan kepada penduduk setempat.

Tambah Haji Reza lagi, senarai penerima bantuan disediakan berdasarkan penilaian kelayakan bagi memastikan sumbangan yang terhad dapat disalurkan secara lebih teratur.

Mangsa banjir Paya Jaras mendengar ucapan Haji Reza.

Dr. Suariza berkata, usaha menyantuni mangsa banjir merupakan sebahagian daripada tanggungjawab PERKIM dalam melaksanakan agenda dakwah dan kebajikan yang merangkumi seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Jelas Dr. Suariza, PERKIM sentiasa berusaha menghulurkan bantuan mengikut kemampuan dan sumber kewangan yang tersedia, termasuk ketika berlakunya bencana banjir.

Mangsa banjir Paya Jaras menerima sumbangan wang tunai daripada Dr. Suariza.

Pemuda mewakili ibubapa mangsa banjir menerima bantuan sumbangan.

Warga PERKIM berkesempatan bergambar kenang-kenangan bersama mangsa banjir yang telah menerima bantuan.

Perabot dan kelengkapan rumah yang musnah akibat banjir bersama longgokan sampah.

Pasukan PERKIM bersama sukarelawan membawa makanan kepada mangsa banjir.

Farhan Tee mengagihkan beberapa bungkusan makanan kepada keluarga yang menjadi mangsa banjir.

Mangsa banjir menerima agihan makanan daripada tim Media PERKIM.



