PERKIM Kebangsaan, PERKIM Selangor Santuni Warga Emas Destini Klang
𝘰𝘭𝘦𝘩: 𝘔𝘖𝘏𝘋. 𝘚𝘠𝘈𝘏𝘙𝘐𝘓 𝘙𝘖𝘚𝘋𝘐 𝘈𝘏𝘔𝘈𝘋 𝘡𝘈𝘏𝘜𝘋𝘐
𝐊𝐋𝐀𝐍𝐆, 𝟒 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟔 – Keprihatinan terhadap kebajikan golongan warga emas terus diterjemahkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) menerusi program Ziarah Kebajikan ke Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Destini Klang, di sini, hari ini.
Program anjuran bersama PERKIM Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu berlangsung pada pukul 9 pagi, membabitkan lebih 17 anggota rombongan yang diketuai 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐉𝐚𝐢𝐬 𝐌𝐚𝐫𝐢𝐚𝐩𝐩𝐚𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡.
Kunjungan yang mendapat kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Selangor itu bukan sekadar menyampaikan sumbangan, malah menjadi wadah menyantuni serta mendengar sendiri kisah kehidupan penghuni yang sebahagian besarnya tidak lagi mempunyai keluarga untuk bergantung harap.
Seramai 25 penghuni pusat berkenaan yang terdiri daripada kaum Cina dan India disantuni dalam kunjungan tersebut, termasuk penghuni yang memerlukan penjagaan serta pemantauan rapi.
Majlis turut dipengerusikan pengacara, Muhammad Aidil Aqel Mohd Yusoff, pelajar latihan industri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ustaz Jais Mariappan dalam ucapannya berkata, kunjungan itu turut membawa amanah daripada MAIWP untuk menyampaikan sumbangan kepada penghuni pusat berkenaan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan golongan yang memerlukan.
“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, kami berharap ia dapat memberikan sedikit kegembiraan dan mengeratkan kasih sayang antara kami dengan penghuni di sini.
“Apabila kita melihat keadaan mereka, hati kita tersentuh kerana jasa seorang ibu sangat besar. Tanpa mereka, kita juga tidak akan berada di dunia ini,” kata Ustaz Jais Mariappan yang juga Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan ketika berucap pada program tersebut.
Beliau berkata, keadaan yang disaksikan sepanjang kunjungan itu sewajarnya menjadi peringatan kepada masyarakat supaya tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa, khususnya mereka yang telah lanjut usia.
“Melihat keadaan mereka sedikit sebanyak memberikan semangat kepada kita untuk menjadi anak yang lebih bertanggungjawab serta menghargai ibu yang telah melahirkan dan membesarkan kita.
“Jangan fikir anda dipinggirkan. Mungkin ada keluarga yang tidak mampu menjaga, namun di sinilah mereka mendapat ruang untuk hidup bersama, bergembira dan saling memberikan kasih sayang,” katanya.
Ustaz Jais Mariappan turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan dan petugas pusat berkenaan yang menurutnya memperlihatkan komitmen tinggi dalam menjaga kebajikan penghuni tanpa mengira latar belakang agama dan kaum.
Beliau berkata, tugas penjagaan warga emas, khususnya mereka yang terlantar atau mempunyai keperluan khas, memerlukan kesabaran, keikhlasan dan pengorbanan yang tinggi.
“Bagaimana seseorang mampu menjaga mereka 24 jam sehari? Sebab itu saya berdoa agar petugas di sini terus diberikan kekuatan.
“Jika seseorang terus konsisten dan Allah memberikan hidayah kepadanya untuk ikhlas berkhidmat serta berbakti kepada golongan ibu ini, insya-Allah kebaikan itu akan mendapat kasih sayang Allah,” katanya.

Sementara itu, 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐢𝐚 𝐏𝐞𝐫𝐭𝐮𝐛𝐮𝐡𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐣𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐖𝐚𝐫𝐠𝐚 𝐄𝐦𝐚𝐬 𝐃𝐞𝐬𝐭𝐢𝐧𝐢 𝐊𝐥𝐚𝐧𝐠, 𝐉𝐨𝐚𝐧𝐧𝐚 𝐒𝐚𝐥𝐢𝐧𝐢 𝐃𝐞𝐬𝐭𝐢𝐧𝐲 berkata, pusat berkenaan mengendalikan beberapa ruang kediaman bagi penghuni lelaki dan wanita, selain sebuah bilik untuk kanak-kanak.
Katanya, pusat berkenaan beroperasi sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan banyak bergantung kepada sokongan pihak luar bagi menampung kos operasi, termasuk sewa premis, bil air dan elektrik serta keperluan penjagaan penghuni.
“Kos operasi semakin meningkat. Ada kalanya bayaran daripada penghuni tidak mencukupi untuk menampung bil air dan elektrik, terutama kerana kami mempunyai beberapa lokasi.
“Dengan izin Tuhan, pihak luar akan tampil memberikan sumbangan dan bantuan. Sokongan inilah yang membantu kami meneruskan operasi,” katanya.
Menurut beliau, pusat berkenaan turut menerima penghuni yang mempunyai pelbagai latar belakang serta keperluan, termasuk mereka yang datang daripada situasi sukar dan tidak mempunyai tempat tinggal yang sesuai.
Katanya, kapasiti pusat berkenaan boleh mencecah 24 penghuni, manakala kadar bayaran pula bergantung kepada keadaan dan keperluan penjagaan seseorang penghuni.
Bagi penghuni yang terlantar, katanya, kos penjagaan adalah lebih tinggi berikutan keperluan menyediakan katil hospital, lampin pakai buang dan keperluan penjagaan khusus.
“Kalau mereka terlantar, kami perlu menyediakan lebih banyak keperluan. Ada yang tidak mampu membayar, jadi kami cuba menyesuaikan kadar mengikut kemampuan mereka,” katanya.
Joanna berkata, pusat itu turut berdepan cabaran kekurangan tenaga kerja kerana penjagaan penghuni memerlukan perhatian sepanjang masa.
“Kadang-kadang seorang petugas perlu menjaga sehingga 20 orang selama 24 jam. Sebab itu kesabaran sangat penting.
“Saya belajar cara mereka bergerak, cara mereka berdepan dengan kehidupan dan gaya hidup mereka. Lama-kelamaan kita menjadi selesa bersama mereka,” katanya.
Lebih menyentuh hati, Joanna turut berkongsi pengalaman hidupnya yang pernah melalui zaman kanak-kanak di rumah kebajikan selepas kehilangan ibunya akibat penyakit ketika berusia 14 tahun.
Katanya, pengalaman tersebut menjadi antara faktor yang mendorong dirinya memilih untuk terus berkhidmat menjaga golongan yang memerlukan.
“Saya percaya ada sebab Tuhan membawa saya ke sini. Kita tidak pernah tahu mengapa seseorang itu ditempatkan dalam sesuatu keadaan.
“Pada mulanya saya datang sebagai sukarelawan. Apabila melihat sendiri cara pengurusan dan penjagaan penghuni, saya mencabar diri untuk melakukan apa yang dilakukan oleh pengasas pusat ini,” katanya.
Menurutnya, pengalaman berkhidmat bersama penghuni turut mengajarnya supaya membina keupayaan mereka untuk berdikari mengikut kemampuan masing-masing.
“Saya mahu mereka melihat tempat ini sebagai rumah mereka sendiri. Kalau mereka boleh berdikari, mereka boleh menjaga kebersihan dan membantu menguruskan rumah ketika saya tiada.
“Saya hanya menyelaras. Mereka sendiri tahu bagaimana untuk menjalankan kehidupan di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Joanna menegaskan pusat berkenaan tidak memilih penghuni berdasarkan agama atau kaum kerana prinsip utama mereka adalah membantu manusia yang memerlukan tempat perlindungan dan penjagaan.
“Kami tidak melihat agama apabila membantu seseorang. Kami membantu semua orang.
“Kalau ada saudara baharu atau sesiapa yang memerlukan tempat tinggal sementara, kita boleh berbincang. Selagi mereka mampu memberikan sedikit bayaran mengikut kemampuan, ia dapat membantu kami menampung perbelanjaan,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan orang ramai amat diperlukan bagi memastikan operasi pusat kebajikan itu dapat diteruskan, khususnya ketika kos barangan keperluan asas dan utiliti semakin meningkat.
Pada program berkenaan, Pengarah Pentadbiran PERKIM Kebangsaan, Dr. Suariza @ Hidayah Muhammad turut menyampaikan 25 pek sumbangan makanan daripada MAIWP kepada pihak pusat berkenaan.
Sumbangan tersebut mengandungi keperluan seperti oat, susu omega, biskut dan tuala untuk kegunaan penghuni, termasuk mereka yang terlantar.
Sesi penyampaian sumbangan itu turut disulami dengan sesi ramah mesra apabila rombongan PERKIM bertanya khabar, berbual serta meluangkan masa bersama penghuni sebagai tanda kasih dan keprihatinan.
Kunjungan berkenaan sekali gus mencerminkan komitmen PERKIM untuk memperluas agenda dakwah melalui pendekatan kebajikan, kemanusiaan dan penyantunan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama serta kaum.
Turut hadir, 𝙪𝙧𝙪𝙨 𝙨𝙚𝙩𝙞𝙖 𝙋𝙀𝙍𝙆𝙄𝙈 𝙆𝙚𝙗𝙖𝙣𝙜𝙨𝙖𝙖𝙣, 𝙈𝙤𝙝𝙙 𝘼𝙞𝙯𝙖𝙩 𝙍𝙤𝙨𝙡𝙞, 𝙐𝙨𝙩𝙖𝙯 𝙎𝙪𝙡𝙖𝙞𝙢𝙖𝙣 𝘿𝙞𝙣𝙜 𝙔𝙪 𝙕𝙝𝙤𝙣𝙜, 𝙃𝙖𝙨𝙝𝙞𝙢𝙖𝙝 𝙃𝙖𝙨𝙝𝙞𝙢, 𝘼𝙯𝙪𝙧𝙖 𝘼𝙗𝙙𝙪𝙡 𝙍𝙖𝙝𝙢𝙖𝙣, 𝙉𝙤𝙧𝙡𝙖𝙞𝙡𝙞𝙖𝙡𝙥𝙞𝙣 𝙎𝙪𝙧𝙖𝙩𝙢𝙖𝙣, 𝙍𝙤𝙝𝙖𝙞𝙯𝙖 𝙈𝙤𝙝𝙙 𝙏𝙖𝙣, 𝙁𝙖𝙩𝙞𝙣 𝘼𝙠𝙢𝙖𝙡 𝘼𝙠𝙨𝙖𝙝, 𝙈𝙪’𝙖𝙡𝙞𝙨𝙝 𝙎𝙝𝙖𝙝 𝙈𝙤𝙝𝙙 𝘼𝙣𝙪𝙖𝙧, 𝙀𝙨𝙖 𝙊𝙩𝙝𝙢𝙖𝙣 dan 𝙈𝙪𝙝𝙖𝙢𝙢𝙖𝙙 𝙁𝙖𝙞𝙯 𝙃𝙖𝙨𝙣𝙖𝙞𝙣 𝙇𝙤𝙠𝙢𝙖𝙣.
𝙋𝙀𝙍𝙆𝙄𝙈 𝘽𝙖𝙝𝙖𝙜𝙞𝙖𝙣 𝙉𝙚𝙜𝙚𝙧𝙞 𝙎𝙚𝙡𝙖𝙣𝙜𝙤𝙧 pula diwakili 𝙐𝙨𝙩𝙖𝙯 𝙈𝙪𝙝𝙖𝙢𝙢𝙖𝙙 𝙃𝙞𝙯𝙖𝙢 𝘼𝙗𝙙𝙪𝙡 𝙍𝙖𝙝𝙞𝙢, 𝙃𝙖𝙟𝙞 𝙈𝙤𝙝𝙙 𝙎𝙪𝙗𝙠𝙞 𝘼𝙗𝙙𝙪𝙡 𝙍𝙖𝙝𝙢𝙖𝙣 dan 𝙃𝙖𝙟𝙖𝙝 𝙐𝙢𝙖𝙞𝙯𝙖𝙝 𝘼𝙗𝙙𝙪𝙡𝙡𝙖𝙝.
Program tersebut membuktikan bahawa kebajikan bukan sekadar soal bantuan material, sebaliknya turut menuntut kehadiran, perhatian dan kesediaan untuk mendengar denyut kehidupan golongan yang sering terpinggir.
Bagi PERKIM, sentuhan kecil berupa kunjungan dan sumbangan mampu menjadi jambatan kasih yang menghubungkan masyarakat dengan golongan warga emas, sekali gus menyemarakkan nilai ihsan dan kemanusiaan dalam kehidupan bermasyarakat.

Ustaz Jais Mariappan bersama urus setia membawa dan menyusun pek sumbangan makanan untuk penghuni Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Destini Klang.

Aidil Aqel (dua dari kanan) menyampaikan kata-kata aluan ketika mengacarakan majlis ziarah kebajikan.

Menurut Joanna (kanan), pusat berkenaan turut menerima penghuni yang mempunyai pelbagai latar belakang serta keperluan, termasuk mereka yang datang daripada situasi sukar dan tidak mempunyai tempat tinggal yang sesuai.

Joanna turut berkongsi pengalaman hidupnya yang pernah melalui zaman kanak-kanak di rumah kebajikan selepas kehilangan ibunya akibat penyakit yang menjadikan pengalaman tersebut antara faktor yang mendorong dirinya memilih untuk terus berkhidmat menjaga golongan yang memerlukan.

Antara penghuni Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Destini Klang mendengar ucapan Joanna.

Ustaz Jais Mariappan dalam ucapannya pula berkata, kunjungan itu turut membawa amanah daripada MAIWP untuk menyampaikan sumbangan kepada penghuni pusat berkenaan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan golongan yang memerlukan.

“Apabila kita melihat keadaan mereka, hati kita tersentuh kerana jasa seorang ibu sangat besar. Tanpa mereka, kita juga tidak akan berada di dunia ini,” kata Ustaz Jais Mariappan.

Dr. Suariza menyerahkan pek sumbangan makanan daripada MAIWP kepada Joanna selaku penyelia pusat berkenaan untuk diagihkan kepada penghuni.

Sumbangan tersebut mengandungi keperluan seperti oat, susu omega, biskut dan tuala untuk kegunaan penghuni.

Penghuni berbangsa India menerima pek makanan daripada Dr. Suariza.

Dr. Suariza menyampaikan pek makanan kepada penghuni pusat berkenaan.

Sentuhan kecil berupa kunjungan dan sumbangan mampu menjadi jambatan kasih yang menghubungkan masyarakat dengan golongan warga emas,

Dr. Suariza dan Rohaiza menyantuni warga emas sambil menyampaikan pek makanan tajaan MAIWP.

Warga emas yang terlantar berterima kasih sambil mencium tangan ketika Dr. Suariza menghulurkan tangannya.

Aidil Aqel berkesempatan menyampaikan pek makanan kepada warga emas bersama Sulaiman Ding.

Dr. Suariza turut menyerahkan pek makanan kepada sukarelawan pusat berkenaan, Valerie Valli yang memantau serta memeriksa tekanan darah penghuni pusat berkenaan.

Urus setia dan sukarelawan PERKIM berkesempatan merakamkan gambar bersama penghuni-penghuni Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Destini Klang.

Urus setia dan sukarelawan PERKIM bergambar kenang-kenangan di hadapan premis Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Destini Klang.



