Aktiviti Wanita PERKIM

Wanita PERKIM Kebangsaan Agih 500 Bubur Lambuk Semarakkan Ramadan

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟭𝟭 𝗠𝗔𝗖 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Semangat kebersamaan dan kepedulian sempena Ramadan terus dizahirkan apabila Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan mengagihkan sebanyak 500 bekas bubur lambuk kepada tiga institusi di bawah naungan PERKIM serta masyarakat sekitar hari ini.

Sumbangan tersebut melibatkan TASPUTRA PERKIM, Asrama Darul Falah (ASDAF) PERKIM dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok (SCORE) PERKIM, selain turut diagihkan kepada kakitangan PERKIM, saudara baharu serta masyarakat awam di sekitar ibu pejabat pertubuhan itu.


𝗕𝗲𝗻𝗱𝗮𝗵𝗮𝗿𝗶 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗿. 𝗡𝘂𝗿’𝗮𝘇𝗮𝗵 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗠𝗮𝗻𝗮𝗳 berkata, program tersebut merupakan antara inisiatif kebajikan Wanita PERKIM Kebangsaan yang dianjurkan bagi menyemarakkan lagi semangat Ramadan di samping menyantuni warga institusi PERKIM yang sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga besar pertubuhan itu.

Menurut beliau, program berkenaan juga bertujuan menyemai nilai kasih sayang, memperkukuh ukhuwah serta menzahirkan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan, khususnya kanak-kanak istimewa, pelajar Orang Asli serta pesakit yang sedang menjalani pemulihan kesihatan.

“Ramadan adalah bulan untuk kita berkongsi rezeki dan menyemarakkan amalan kebajikan. Melalui pengagihan bubur lambuk ini, kita bukan sahaja menyantuni warga institusi PERKIM, malah turut menyampaikan mesej bahawa mereka sentiasa diingati dan dihargai oleh masyarakat,” katanya.

Beliau menambah, usaha tersebut juga diharap dapat memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga PERKIM serta menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus memperbanyakkan amalan kebajikan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

Terdahulu, bubur lambuk Ramadan yang baru siap dimasak dituangkan ke dalam 500 bekas sebelum disusun kemas ke dalam kotak untuk diagihkan kepada penerima. Bubur lambuk tersebut ditempah khas daripada chef berpengalaman di Hotel DePalma Ampang bagi memastikan kualiti dan rasa yang menepati tradisi juadah Ramadan.

Dr. Nur’azah bersama 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗙𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗛𝗮𝗺𝗶𝘇𝗮𝗵 𝗜𝘀𝗺𝗮𝗶𝗹, kemudian memulakan misi pengagihan dengan menuju ke destinasi pertama iaitu Tasputra PERKIM di Taman U Thant, yang menempatkan kanak-kanak istimewa.

Setibanya di sana, Dr. Nur’azah sempat mengisi butiran diri di dalam buku pelawat sambil ditemani oleh Pembantu Pentadbiran TASPUTRA PERKIM, Norhafizah Buang.

Beliau seterusnya menyampaikan 50 bekas bubur lambuk kepada Pengerusi TASPUTRA PERKIM, Hajah Elahe Norman untuk diagihkan kepada warga pusat berkenaan.

Destinasi seterusnya membawa rombongan Wanita PERKIM Kebangsaan ke Asrama Darul Falah PERKIM di Bukit Persekutuan yang menempatkan kanak-kanak Orang Asli yang sedang menuntut ilmu.

Dalam lawatan tersebut, lebih 60 bekas bubur lambuk disampaikan oleh Dr. Nur’azah kepada Pembantu Tadbir dan Kewangan ASDAF, Raihan Rosli yang turut disertai kanak-kanak Orang Asli yang menetap di asrama tersebut.

Program pengagihan itu kemudiannya diteruskan ke Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE) di Bandar Baru Sentul. Ketibaan rombongan disambut oleh Eksekutif SCORE PERKIM, Dr. Fatimah Abdullah, yang menerima sebanyak 30 bekas bubur lambuk untuk diagihkan kepada para pesakit dan warga pusat berkenaan.

Selesai lawatan ke tiga institusi tersebut, rombongan Wanita PERKIM Kebangsaan kembali ke Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan sebelum mengagihkan baki bubur lambuk kepada kakitangan PERKIM, saudara baharu, jemaah Surau Jumaat PERKIM, pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) serta masyarakat awam di perkarangan Bangunan PERKIM dan kawasan sekitarnya.

Program tersebut turut dibantu oleh urus setia yang terdiri daripada Mohamad Fardly Johan dan Mohd Firdaus Pompeyos Abdullah, yang memainkan peranan penting dalam memastikan proses pengagihan berjalan lancar.

Inisiatif kebajikan seumpama itu mencerminkan komitmen berterusan Wanita PERKIM Kebangsaan dalam memperkasa kerja-kerja kebajikan serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga PERKIM dan masyarakat sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

 


Fatin Hamizah bersama Dr Nur’azah menggaul bubur lambuk yang telah dimasak oleh chef Hotel DePalma.

 


Fatin Hamizah bersama Dr. Nur’azah memerhatikan bubur yang telah dimasukkan ke dalam bekas lalu menutupnya.

 


Dr. Nur’azah dan Fatin Hamizah menyusun bubur lambuk yang siap sebelum memasukkan ke dalam kotak.

 


Dr. Nur’azah menyampaikan lebih 50 bekas bubur lambuk kepada Pengerusi Tasputra PERKIM, Hajah Elahe Norman bersama kanak-kanak istimewa.

 


Fatin Hamizah bersama Dr. Nur’azah mengagihkan bubur lambuk kepada kanak-kanak istimewa Tasputra PERKIM.

 


Bendahari Kehormat Wanita PERKIM Kebangsaan, Dr. Nur’azah menyampaikan bubur lambuk kepada kanak-kanak Orang Asli di Asrama Darul Falah PERKIM di Bukit Persekutuan.

 


Antara kanak-kanak ASDAF yang menerima agihan bubur lambuk daripada Wanita PERKIM Kebangsaan.

 


Dr. Nur’azah menyampaikan bubur lambuk kepada Eksekutif SCORE PERKIM, Dr Fatimah Abdullah sebagai juadah berbuka puasa.

Related Articles

Back to top button