Aktiviti Kebajikan

PERKIM Kebangsaan Hulur Bantuan kepada Pasangan Mualaf Diuji Masalah Kesihatan dan Kewangan

𝑂𝑙𝑒ℎ : 𝑀𝑢ℎ𝑎𝑚𝑚𝑎𝑑 𝐹𝑎𝑟ℎ𝑎𝑛 𝑇𝑒𝑒 𝐴𝑏𝑑𝑢𝑙𝑙𝑎ℎ

𝐁𝐀𝐋𝐀𝐊𝐎𝐍𝐆, 𝟐𝟑 𝐌𝐄𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟓 – PERKIM Kebangsaan menerima aduan melalui panggilan telefon dari Mohd Rosli Gunasekaran Abdullah, 67, yang telah memeluk Islam pada 29 Januari 1982 di Ibu Pejabat PERKIM. Kini beliau tinggal bersama isterinya, Zawyah Yusof, 68, di sebuah flat kawasan Balakong, Seri Kembangan, Selangor.

Mereka berdua mendirikan rumahtangga pada 23 April 1982 dan dikurniakan dua cahaya mata, namun begitu salah seorang anaknya telah meninggal dunia 14 tahun yang lalu. Seorang anak lagi berumur 33 tahun dan bekerja biasa sahaja.

Rosli merupakan salah seorang penerima bantuan bulanan Lembaga Zakat Selangor serta bantuan sewaan rumah secara bulanan.

Beliau yang juga kurang pendengaran kini menjaga isteri yang menghidap penyakit buah pinggang kronik, di mana satu organ tersebut telah rosak dan hanya bergantung sepenuhnya pada satu buah pinggang lagi.

Zawyah perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu di pusat rawatan swasta dengan kos sebanyak RM180.00 untuk setiap kali sesi. Mereka berdua perlu menaiki kenderaan yang disewa untuk bergerak ke pusat rawatan dan kos tersebut juga perlu dibayar.

Selain itu, Zawyah juga kini memakai lampin pakai buang dewasa dengan kos hampir RM300 sebulan. Ini belum termasuk kos ubat-ubatan untuk penyakitnya. Walaupun menerima bantuan dari LZS, namun ia dilihat tidak mencukupi kerana banyak perbelanjaan yang disenaraikan perlu ditampung.

Apa yang menjadi kerunsingan mereka berdua ialah tunggakan rawatan dialisis yang mencecah hingga RM11,636.00 dari Januari 2024 hingga bulan April 2025. Dibimbangi, pusat rawatan tidak dapat memberikan rawatan kepada Zawyah sekiranya ia tidak dibayar.

PERKIM Kebangsaan telah menziarahi keluarga ini dan telah menyampaikan sumbangan kepada Rosli bagi meringankan sedikit beban mereka.

Semoga Rosli dan isteri diberi ketabahan dalam menempuhi ujian hidup ini.

Sumbangan boleh di salurkan secara terus kepada Mohd Rosli Gunasekaran pada akaun Maybank (1081 5917 9366). Beliau boleh dihubungi di talian 016-3274118.

 Mohd Rosli Gunasekaran Abdullah, 67 dan isterinya, Zawyah, 68 yang menghidapi penyakit kronik buah pinggang.

Zawiyah tidak dapat bergerak dengan sendiri kecuali dengan menggunakan tongkat kaki empat.

Rosli menceritakan kerungsingannya terhadap tunggakan kos rawatan dialisis yang mencecah hingga RM11,636.00 dari Januari 2024 hingga bulan April 2025.

Related Articles

Back to top button