Aktiviti Dakwah

Lebih 300 Jemaah Hadiri Solat Jumaat Di Surau PERKIM

KUALA LUMPUR, 20 SEPTEMBER 2024 – Lebih 300 jemaah terdiri dari kalangan kakitangan agensi kerajaan dan swasta seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Majlis Dakwah Islam Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP), pekerja di sekitar Bangunan PERKIM serta pelajar mualaf Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) hadir ke Surau PERKIM bagi menunaikan solat fardu Jumaat.

Turut hadir ialah Pengerusi Surau PERKIM merangkap Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa serta Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-14 telah bersetuju memberi kebenaran untuk mendirikan Solat Jumaat di Surau PERKIM, Bangunan PERKIM, 150 Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur.

Pada hari Jumaat yang penuh barakah, Ustaz Syahid Jamil selaku imam bertugas dari Masjid Amru Ibnu Al-‘As, Bandar Baru Sentul telah membicarakan khutbah yang bertajuk “Eratkan Dakapan, Tingkatkan Keprihatinan”.

Bilal bertugas ialah Ustaz Akmal daripada Masjid Az-Zubair al-Awwam.

Ustaz Syahid selaku khatib berpesan supaya kes-kes yang melibatkan eksploitasi dan jenayah terhadap kanak kanak tidak boleh dipandang remeh kerana ia membabitkan keselamatan, hak, maruah , agama dan nyawa anak anak kita.

Saban tahun, kes kes kehilangan, pengabaian, penganiayaan, penderaan , pencabulan dan jenayah seksual terhadap kanak kanak menunjukkan peningkatan yang amat membimbangkan.

Ustaz Syahid mengajak para jemaah merenungi hadis riwayat Imam al Bukhari daripada Abdullah bin Umar RA Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Setiap kamu adalah penjaga, dan setiap kamu akan ditanya tentang jagaannya. Seorang ketua adalah pemimpin, seorang laki-laki adalah penjaga ke atas keluarganya, seorang wanita juga penjaga ke atas rumah suaminya dan anaknya, maka setiap kamu akan ditanya tentang jagaannya.”

Khatib mengajak menyempurnakan tanggungjawab kita sebagai penjaga anak-anak kerana ia adalah amanah yang bakal dipersoalkan di akhirat kelak.

Beliau juga menyarankan supaya mendidik anak-anak dengan ajaran Islam, ilmu dan ibadah untuk menjadi hamba Allah serta membimbing mereka dengan akhlak dan budaya yang baik untuk menjadi khalifah Allah.

Ustaz Syahid menegaskan supaya berwaspada terhadap sesiapa juga yang berurusan dengan anak-anak. Berikan hak ini demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan hidup mereka.

Beliau memetik firman Allah SWT menerusi Surah As-Saffat, ayat 99 dan 100 bermaksud: “Dan Nabi Ibrahim berkata: “Sesunguhnya aku pergi kepada Tuhanku, Dia akan memimpinku (ke jalan yang benar). Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak dari kalangan orang-orang yang soleh.”

Selepas membaca khutbah kedua, Ustaz Syahid memimpin solat Jumaat beserta dengan Qunut Nazilah bersama lebih 300 jemaah dan diakhiri dengan doa selepas solat.


Ustaz Syahid Jamil membaca khutbah bertajuk “Eratkan Dakapan, Tingkatkan Keprihatinan”.


Ustaz Jamil selaku khatib berpesan kepada jemaah supaya mendidik anak-anak dengan ajaran Islam, ilmu dan ibadah untuk menjadi hamba Allah.


Sebahagian jemaah mendengar pesanan khatib.


Ustaz Jamil memimpin solat Jumaat di Surau PERKIM.


Lebih 300 jemaah menunaikan solat fardu Jumaat di Surau PERKIM.


Jemaah pelbagai bangsa menunaikan solat fardu Jumaat.


Dato’ Abdul Hanif selaku Bendahari Surau PERKIM turut serta berjemaah solat Jumaat.


Para jemaah mengaminkan doa ketika imam memimpin bacaan doa.

Related Articles

Back to top button