Aktiviti Dakwah

160 Mualaf Peroleh Pedoman, Teladani Akhlak Nabi SAW Menerusi SKOP Ke-21

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝐊𝐔𝐀𝐍𝐓𝐀𝐍, 𝟐𝟕 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganjurkan Siri Kuliah Dakwah Perdana (SKOP) ke-21 bertemakan “Maulidur Rasul: Rasulullah SAW Cerminan Keperibadian Muslim Sejati” di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, dekat sini pada pagi Sabtu.



Menurut 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐩𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐍𝐮𝐫 𝐒𝐲𝐚𝐡𝐢𝐫𝐚𝐡 𝐌𝐮𝐬𝐚, program dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Pahang dan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 itu telah menghimpunkan lebih 160 peserta yang terdiri daripada saudara baharu pelbagai bangsa termasuk Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh dan Siam selain ahli PERKIM serta masyarakat Islam setempat.

Tambah beliau, kehadiran mereka membuktikan SKOP menjadi platform dakwah yang inklusif, menyatukan pelbagai lapisan masyarakat di bawah satu majlis ilmu.

Majlis dimulakan dengan kata aluan pengacara disampaikan oleh Eksekutif Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah disusuli dengan doa pembuka majlis dipimpin oleh Eksekutif PERKIM Pahang, Ustaz Muhammad Haqim Azwan.



𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐊𝐚𝐧𝐚𝐧 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐑𝐚𝐳𝐚𝐥𝐢 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐒𝐡𝐚𝐡𝐚𝐛𝐮𝐝𝐢𝐧 dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa kehadiran ke majlis ilmu bukan kebetulan, sebaliknya pilihan Allah SWT yang menjanjikan ganjaran besar.

“Rasulullah SAW bersabda bahawa sesiapa yang menempuh jalan menuntut ilmu, Allah akan mudahkan baginya jalan ke syurga. Maka kita bersyukur kerana berada dalam majlis yang dinaungi rahmat, dikelilingi malaikat dan diingati Allah di sisi-Nya,” katanya.

Menurut Dato’ Razali, tema SKOP kali ini amat bertepatan kerana Rasulullah SAW adalah cerminan akhlak Muslim sejati.

Dengan meneladani peribadi Baginda, umat Islam dapat membina sahsiah unggul sekali gus menjadi rahmat kepada sekalian alam.

Dato’ Haji Razali turut memaklumkan bahawa pada semalam dan kelmarin, PERKIM Kebangsaan telah mengadakan Program Muhibbah Bersama Masyarakat Majmuk Cina di Bera dan Program Muhibbah Bersama Masyarakat Majmuk Orang Asli di Kuala Krau.

Kali ini giliran Negeri Pahang menjadi tuan rumah SKOP siri ke-21.

“Langkah ini membuktikan komitmen PERKIM turun padang dalam misi dakwah dan kebajikan,” ujarnya.


Sebelum itu, 𝐀𝐡𝐥𝐢 𝐉𝐚𝐰𝐚𝐭𝐚𝐧𝐤𝐮𝐚𝐬𝐚 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐁𝐚𝐡𝐚𝐠𝐢𝐚𝐧 𝐍𝐞𝐠𝐞𝐫𝐢 𝐏𝐚𝐡𝐚𝐧𝐠, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐇𝐚𝐥𝐢𝐦 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐊𝐚𝐫𝐢𝐦, dalam ucapan aluannya menzahirkan penghargaan kepada PERKIM Kebangsaan kerana memilih Masjid Negeri sebagai lokasi penganjuran.

Menurutnya, SKOP adalah program penting untuk mengukuhkan kefahaman Islam, khususnya bagi saudara baharu. “

Kami mengalu-alukan penganjuran sebegini kerana ia memperkukuh peranan PERKIM di peringkat negeri,” jelasnya.

SKOP yang dikendalikan oleh Ustaz Abdul Halim menampilkan dua panelis iaitu 𝐈𝐦𝐚𝐦 𝐁𝐞𝐬𝐚𝐫 𝐌𝐚𝐬𝐣𝐢𝐝 𝐍𝐞𝐠𝐞𝐫𝐢 𝐒𝐮𝐥𝐭𝐚𝐧 𝐀𝐡𝐦𝐚𝐝 𝟏, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐑𝐢𝐳𝐳𝐚𝐥 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐇𝐚𝐧𝐚𝐟𝐢 dan 𝐃𝐚’𝐢 𝐌𝐚𝐣𝐥𝐢𝐬 𝐔𝐠𝐚𝐦𝐚 𝐈𝐬𝐥𝐚𝐦 𝐝𝐚𝐧 𝐀𝐝𝐚𝐭 𝐑𝐞𝐬𝐚𝐦 𝐌𝐞𝐥𝐚𝐲𝐮 𝐏𝐚𝐡𝐚𝐧𝐠 (𝐌𝐔𝐈𝐏), 𝐁𝐫𝐨 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐈𝐥𝐡𝐚𝐦 𝐓𝐢𝐨𝐧𝐠 𝐓𝐚𝐢 𝐒𝐞𝐧𝐠 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡.

Dalam bicaranya, Ustaz Rizzal menegaskan bahawa misi utama kelahiran Rasulullah SAW adalah menyempurnakan akhlak manusia.

Baginda digelar Al-Amin kerana kejujuran dan amanahnya sehingga dipercayai masyarakat Quraisy, malah musuh sekalipun menitipkan harta kepada Baginda.

“Rasulullah SAW diutus selama 23 tahun bukan sekadar menyampaikan wahyu, tetapi membimbing manusia dalam semua aspek kehidupan. Dari sekecil adab makan hingga sebesar urusan negara, Baginda menjadi teladan sempurna,” katanya.

Ustaz Rizzal turut menekankan bahawa nilai universal yang dibawa Nabi iaitu jujur, benar, amanah dan penuh kasih sayang yang perlu diamalkan umat Islam di Malaysia yang hidup dalam masyarakat berbilang kaum.

“Inilah kunci kepada keharmonian dan kekuatan ummah,” tambahnya.

Sementara itu, Bro Ilham Tiong menekankan bahawa Rasulullah SAW adalah insan paling dipercayai di Mekah, namun ditentang kerana membawa ajaran tauhid yang menggugat kepentingan Quraisy.

Beliau mengupas peristiwa Baginda menunggu wahyu dengan sabar ketika Quraisy mengajukan soalan, sehingga Allah menurunkan ayat mengenai menyebut insya-Allah dalam berjanji.

“Ini menunjukkan ketaatan Rasulullah SAW yang mutlak kepada Allah,” jelasnya.

Bro Ilham Tiong turut berkongsi pengalaman peribadinya dalam mencari kebenaran melalui pelbagai agama sebelum memilih Islam.

“Keunikan Islam terletak pada tauhid yang jelas hanya Allah pemilik seluruh alam. Inilah keyakinan yang membawa saya memeluk Islam,” katanya.

Beliau menambah, kisah Rasulullah SAW di Taif wajar dijadikan teladan. Walaupun dihina, dilontar batu hingga berdarah, Baginda tetap memilih mendoakan kebaikan agar generasi mereka kelak menerima Islam.

“Kasih sayang Rasulullah SAW melebihi amarah, dan doa Baginda akhirnya dimakbulkan,” ujarnya.

Dalam pusingan kedua, Ustaz Rizzal mengingatkan bahawa media sosial perlu digunakan dengan berpandukan akhlak Islam.

Setiap perkongsian sama ada tulisan, gambar atau video akan memberi kesan iaitu pahala jika bermanfaat, dosa jika sebaliknya.

“Islam mengajar kita agar tolong-menolong dalam kebaikan dan taqwa, bukan dalam dosa dan permusuhan. Maka dunia digital juga perlu dipandu dengan nilai ini,” jelas Ustaz Rizzal.

Bro Ilham Tiong pula mencadangkan agar pendidikan sirah Rasulullah SAW diperluaskan di sekolah. Murid di peringkat rendah wajar diperkenalkan dengan akhlak Baginda seperti sifat jujur dan amanah, manakala di peringkat menengah difokuskan kepada sirah kerasulan, kepimpinan dan strategi dakwah.

“Kita mesti membimbing generasi muda supaya lebih mengenali Rasulullah SAW, bukan sekadar dari aspek ibadah, tetapi juga kepimpinan dan kasih sayang Baginda,” katanya.

Majlis turut menyaksikan penyampaian plak cenderahati, Al-Quran Edisi Khas PERKIM dan buah tangan disampaikan oleh Dato’ Razali kepada barisan ahli panel sebagai tanda penghargaan.

Selain itu, Dato’ Razali turut menyampaikan cek cura Yayasan Taqwa-MAIWP sebanyak RM10,000 kepada Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Pahang, Mahadi Deraman bagi tujuan bantuan peralatan kesihatan untuk asnaf dan saudara baharu di Pahang.

Kata Nur Syahirah lagi, SKOP ke-21 yang berlangsung di Kuantan ini sekali lagi membuktikan bahawa program dakwah anjuran PERKIM bukan sahaja medan perkongsian ilmu, malah ruang memperkukuh persaudaraan Islam merentas kaum.

Program itu menutup tirai dengan doa penutup, disusuli sesi ramah mesra peserta bersama pimpinan PERKIM Kebangsaan dan negeri.

Kehadiran saudara baharu dalam jumlah yang signifikan jelas memperlihatkan keberkesanan usaha dakwah yang dijalankan.

 


Masjid Sultan Abdullah 1 Kuantan menjadi lokasi SKOP ke-21 anjuran bersama PERKIM Kebangsaan dan MAIWP.

 


Peserta mualaf mengisi kehadiran ketika mengisi borang pendaftaran.

 


Saudara baharu pelbagai bangsa hadir untuk mendengar SKOP bertajuk Rasulullah SAW Cerminan Keperibadian Muslim Sejati.

 


Usai pendaftaran, peserta mengambil makanan untuk sarapan pagi.

 


Ustaz Farhan Tee membuka tirai SKOP ke-21 selaku pengacara majlis. 

 


Ustaz Haqim Azwan memimpin doa pembuka majlis.

 


Peserta menadah tangan ketika doa dibacakan.

 


Antara peserta saudara baharu pelbagai bangsa yang hadir mendengar SKOP-21.

 


Menurut Ustaz Abdul Halim dalam ucapan aluannya selaku AJK PERKIM Pahang, SKOP adalah program penting untuk mengukuhkan kefahaman Islam, khususnya bagi saudara baharu.

 

 

 


Dato’ Razali dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa kehadiran ke majlis ilmu bukan kebetulan, sebaliknya pilihan Allah SWT yang menjanjikan ganjaran besar.

 


“Dengan meneladani peribadi Baginda, umat Islam dapat membina sahsiah unggul sekali gus menjadi rahmat kepada sekalian alam,” kata Dato’ Razali.

 


Saudara baharu mendengar ucapan yang disampaikan.

 


Dato’ Razali mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Dr Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar merasmikan SKOP ke-21 dengan lafaz Basmallah.

 


Barisan panelis yang menjayakan SKOP ke-21 (dari kiri:) Ustaz Abdul Halim, Ustaz Rizzal Hanafi dan Bro Ilham Tiong. 

 


Ustaz Rizzal menekankan bahawa sifat murni Rasulullah SAW perlu diamalkan umat Islam di Malaysia yang hidup dalam masyarakat berbilang kaum.

 


“Dari sekecil adab makan hingga sebesar urusan negara, Baginda menjadi teladan sempurna,” kata Ustaz Rizzal.

 


“Keunikan Islam terletak pada tauhid yang jelas hanya Allah pemilik seluruh alam. Inilah keyakinan yang membawa saya memeluk Islam,” kongsi Ilham Tiong.

 

 


Ilham Tiong menggesa supaya generasi muda lebih mengenali Rasulullah SAW, bukan sekadar dari aspek ibadah, tetapi juga kepimpinan dan kasih sayang Baginda

 


Dato’ Razali menyampaikan plak cenderahati PERKIM kepada Ustaz Rizzal Hanafi.

 


Bro Ilham Tiong menerima plak cenderahati PERKIM daripada Dato’ Razali.

 


Dato’ Razali menyampaikan Al-Quran Edisi Khas PERKIM kepada Ustaz Abdul Halim.

 


Dato’ Razali turut menyampaikan cek cura Yayasan Taqwa-MAIWP sebanyak RM10,000 kepada Mahadi Deraman bagi bantuan peralatan kesihatan untuk asnaf dan saudara baharu di Pahang.

 


Kepimpinan PERKIM bersama barisan panelis bergambar kenang-kenangan bersama peserta di akhir SKOP ke-21.

Related Articles

Back to top button