Aktiviti Kebajikan

RINGAN BEBAN ASNAF SEMPENA KEMBALI KE SEKOLAH

oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

”Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan infaqkanlah sebahagian harta yang Allah telah menjadikanmu menguasainya. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan berinfaq, bagi mereka itu ada ganjaran yang besar.” (al-Hadid: 7)

Peningkatan kos sara hidup yang kian meningkat pastinya menjadi bebanan kepada ibubapa dan penjaga bagi menampung perbelanjaan yuran dan keperluan anak-anak sebelum bermulanya penggal pertama persekolahan tidak lama lagi.

Justeru, Jawatankuasa Kebajikan Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menganjurkan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Sesi 2017 bertempat di Kompleks Darul Puteri, Jalan Cheras, Taman Kobena, Kuala Lumpur pada 15 Disember lalu.

Program yang mendapat kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dihadiri seramai 250 orang dari kalangan orang Melayu serta Saudara Muslim berketurunan Cina, India dan Orang Asli yang menetap di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Tunku NoorHayatiKetua Wanita PERKIM, Tunku Datuk Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj  berkata, ia merupakan program yang telah dirancang setiap tahun bagi meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada  awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga dari golongan asnaf yang tidak berkemampuan dan sangat memerlukan bantuan.

Beliau berkata bahawa membelanjakan harta ke jalan Allah demi menuju keredaan-Nya menunjukkan seseorang itu mempunyai sifat ketaatan dalam jiwa seorang mukmin. Seorang mukmin yang benar-benar beriman akan membelanjakan hartanya ke jalan Allah.

Ilmu adalah amat penting kepada semua. Ilmu adalah pembuka kepada kematangan jati diri, keyakinan serta kehidupan lebih selesa.

Mencari ilmu adalah wajib bagi menaikkan martabat dan tingkatan sosial seseorang seperti mana hadis Rasulullah SAW:  “Menuntut ilmu itu diwajibkan bagi setiap orang Islam” (Riwayat Ibnu Majah, Al-Baihaqi, Ibnu Abdil Barr, dan Ibnu Adi, dari Anas bin Malik)

Menurutnya, kegawatan ekonomi bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi turut memberi kesan kepada beberapa negara dunia yang lain.

Noor Hayati yang juga merupakan Tengku Puan Temenggong Kelantan berharap program itu dapat mengurangkan bebanan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan selain dapat memotivasikan anak-anak untuk terus bersemangat meneruskan persekolahan bagi sesi 2017.

Sumbangan ini bertujuan untuk menggembirakan serta menjadi inspirasi kepada anak-anak yang masih bersekolah untuk belajar dengan lebih tekun, katanya.

Setiap kanak-kanak menerima bantuan beg sekolah, baucar pakaian sekolah bernilai RM100 dan wang tunai RM50. Seramai 150 penerima adalah termasuk para pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan; Datin Paduka Norsiah Haron,  Datin Rohani Jamuluddin, Datin Sulizah A. Salam, Hasnah Mohamed, Latiffa Bee Abdul Rahman dan Khamsiah Othman serta Penolong Pegawai Unit Pembangunan Wanita PERKIM, Nur Elia Husna Mohd. Khair.

Shahidan KassimMajlis diserikan lagi dengan ucapan perasmian yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Naib Yang DiPertua PERKIM, Datuk  Seri Dr. Shahidan Kassim.

Dr. Shahidan dalam ucapannya berkata, sebagai seorang mukmin yang beriman kita perlu amanah dalam menyampaikan risalah agama dengan membuktikan Islam bukan agama pengganas dan bertanggungjawab membantu orang lain di saat memerlukan seperti yang berlaku kepada masyarakat Rohingya di Myanmar.

Senjata orang Islam adalah dengan berdoa secara bersungguh-sungguh untuk memastikan keselamatan dan kemenangan agar berpihak kepada orang Islam selain terus berusaha memberi perlindungan kepada pelarian Islam khususnya Rohingya.

Masyarakat bukan Islam tertarik dengan keindahan Islam kerana Islam adalah sebuah agama yang menganjurkan kasih sayang sesama manusia.

PERKIM sentiasa berusaha menjaga kebajikan masyarakat malah PERKIM Wanita adalah asas serta tunggak utama penggerak kepada PERKIM dalam melaksanakan tangungjawab sosial khususnya kepada golongan yang tidak bernasib baik.

Beliau mengharapkan agar program sebegini dapat dijalankan secara berterusan dan berkala pada masa akan datang sekali gus dapat meringankan bebanan ibu bapa terutama di kalangan asnaf dan mualaf yang terpaksa menanggung kos perbelanjaan persekolahan anak-anak yang semakin meningkat.

Majlis berakhir dengan penyampaian beg sekolah dan baucar pakaian sekolah oleh Noor Hayati dan Dr. Shahidan kepada pelajar sekolah.

Naib Ketua 2 Wanita PERKIM, Datin Seri Datuk Shamsiah Md. Yassin turut menyampaikan sumbangan wang tunai belanja sekolah kepada kanak-kanak dan ibu bapa yang hadir.

001
Noor Hayati menyampaikan baucar pakaian sekolah kepada kanak-kanak asnaf sambil diperhatikan oleh Dr. Shahidan.

002
Dr. Shahidan (bersongkok) menyampaikan beg sekolah kepada kanak-kanak asnaf.

003
Ibu bapa dan penjaga di kalangan asnaf mendengar ucapan perasmian yang disampaikan oleh Naib Yang DiPertua PERKIM, Dr. Shahidan.

 005

Shamsiah (kanan) menyampaikan duit poket kepada kanak-kanak asnaf.

004
Kanak-kanak asnaf menerima wang saguhati daripada Naib Ketua Wanita PERKIM

006
Antara penerima asnaf menerima baucar pakaian sekolah, wang tunai dan beg sekolah.

Related Articles

Back to top button