Aktiviti DakwahMesyuarat Majlis Kebangsaan

Tun M: Satukan Islam Demi Pertahankan Muslim

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


“Ada di antara orang Islam sendiri yang melakukan keganasan terhadap sesama mereka dengan meletupkan bom di merata tempat sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak, orang tua dan wanita yang menjadi mangsa tindakan mereka yang ganas,” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, mereka menjadi ganas kerana mereka tidak ada jalan lain bagi mereka untuk menunjukkan kekuasaan dan negara-negara Islam tidak mengambil sebarang tindakan kepada mereka.

Dr. Mahathir berkata ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bilangan 1/58 bertempat di Bilik Mesyuarat Perdana, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 16 Disember 2019 lalu.

Turut hadir ialah pimpinan PERKIM iaitu Timbalan Yang DiPertua, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim; Naib Yang DiPertua PERKIM, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, Prof. Dr Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad, Muhammad Fitri Abdullah; Setiausaha Agung Kehormat, Tan Sri Dr Mohd. Yusof Noor, Bendahari Kehormat, Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kerhormat, Datuk Hasbullah L. Isa dan Ahli Majlis Kebangsaan.

Menurut Dr Mahathir, percubaan negara-negara Islam gagal dua kali kerana sokongan kuat yang diberikan kepada Israel oleh negara-negara Barat.

Disebabkan itu, tidak ada lagi negara-negara Islam yang sanggup bertindak secara professional, iaitu cuba berperang dengan Israel.

 Oleh kerana itu, ia menimbulkan kekecewaan ramai orang Islam menyebabkan mereka mengambil tindakan secara bersendirian atau secara kumpulan-kumpulan yang kecil dan tindakan itu tidak membawa sebarang hasil.

Ucapnya, selama 70 tahun mereka bertindak, kita melihat tidak ada kebaikan daripada tindakan mereka sebaliknya setiap kali mereka bertindak mereka akan kehilangan lagi wilayah mereka.

“Hari ini Israel membangunkan satu lagi wilayah di kawasan orang Palestin dan orang Palestin tidak dapat berbuat apa-apa.

“Pada mulanya, dunia menganggap tindakan Israel sebagai satu kesalahan tetapi ianya disokong kuat oleh kuasa Amerika Syarikat dan membenarkan perbuatan terkutuk itu dengan meminda  undang-undang tersebut sehingga menjadikan kota suci Islam, Baitul Maqdis sebagai ibu kota Israel.

Dr Mahathir juga Yang DiPertua PERKIM berkata, ada juga negara-negara yang bercadang untuk menubuhkan kedutaan mereka di Jerusalem.

Disebabkan perkara tersebut, orang Arab di situ mengambil tindakan terhadap askar Israel dengan membaling batu dan menikam mereka dengan pisau.

Namun, balasan daripada Israel ialah menembak mereka sehingga mati atau menangkap serta mengurung mereka dengan tidak adil serta tidak berperi kemanusiaan sama sekali dan tiada apa yang dapat dilakukan oleh orang Islam.

Menurut Dr Mahathir, Kuala Lumpur Summit 2019 yang diadakan pada 18 hingga 21 Disember 2019 bukan untuk membincangkan soal agama Islam tetapi membincangkan masalah orang Islam serta negara Islam yang kita lihat pada hari ini ditindas dan tidak ada negara Islam yang boleh membela atau melindungi mereka.

“Kini, terdapat lebih satu juta pengikut Islam di negara China yang telah dikurung dan ditahan, tetapi kita bukan sahaja tidak boleh membuat sebarang tindakan malah hendak bercakap berkenaan perkara ini pun kita sudah berasa takut disebabkan hubungan rapat dengan negara China.

“Walaupun Turki telah menegur China tetapi tidak ada sesuatu apapun yang dilakukan oleh kita disebabkan kelemahan orang Islam sendiri.

“Orang Islam menjadi lemah bukan sahaja kerana disebabkan tekanan daripada orang asing bahkan mereka terikut-ikut atau terpengaruh dengan orang bukan Islam sehingga mereka berperang sesama Islam.

“Mereka tahu membunuh adalah dilarang sama sekali dalam Islam dan mereka bukan sahaja membunuh malah menyeksa orang Islam, jelasnya.

Ujarnya, di dalam KL SUMMIT ini kita perlu mengkaji tentang nasib orang Islam dan negara Islam untuk mengetahui kenapa ia berlaku dan mencari satu strategi atau alternatif yang boleh mengurangkan masalah ini walaupun tidak boleh menyelesaikan ke semua masalah-masalah di kalangan negara Islam dan orang Islam.

Satu daripada masalah yang dikenal pasti adalah kurang kebolehan pentadbiran negara-negara Islam dan hakikatnya ialah terdapat daripada negara-negara Islam tidak diperintah dengan baik jauh sekali dibangunkan.

Ulas Dr Mahathir, walaupun kita lihat ada negara-negara Islam yang mempunyai kekayaan tetapi ramai juga orang Islam yang miskin dan mati kebuluran bukan kerana tidak ada kemampuan tetapi kerana peperangan antara sesama mereka seperti di Yaman, Syria dan sebagainya.

Ujarnya, inilah tujuan kita untuk mengadakan KL SUMMIT 2019 bukan untuk membincangkan soal-soal agama tetapi hendak bincang soal masalah orang Islam.

“Masyarakat Iran umpamanya disekat sehingga mereka tidak dapat makanan dan sebagainya.

“Itulah nasib orang-orang Iran kerana tekanan daripada kuasa Barat menyebabkan kita tidak boleh berniaga atau berdagang dengan Iran sedangkan Iran ini satu daripada pasar yang besar bagi kita.

“Jadi apabila pihak Amerika mengambil tindakan, kita terima sahaja apa yang dilakukan disebabkan kita lemah.

“Demikian juga tekanan terhadap orang Rohingya dan Uyghur, tindakan-tindakan lain yang diambil yang memburukkan lagi nasib orang Islam.

“Kita mesti mengkaji sebab-sebab malapetaka ini jatuh ke atas orang Islam dan mungkin kita dapat berbuat sesuatu untuk mengurangkan sekurang-kurangnya tekanan terhadap orang Islam,” kata Perdana Menteri ketujuh.

Jadi, saya berharap PERKIM sebagai satu badan dakwah turut serta dalam perbincangan yang akan diadakan kelak.

“Kita tidak boleh dengan mudah berkata ini takdir dan seolah-olah kita menyalahkan Tuhan.

“Kita menjadi lemah kerana kita tidak belajar dalam bidang-bidang tertentu supaya kita juga boleh mencipta serta mengeluarkan alat-alat pertahanan dan kita perlu mempertahankan umat Islam seperti yang dikehendaki oleh agama kita yang disebut dalam Quran.

Jelas beliau, ini menunjukkan bahawa ini bukannya salah takdir kerana kita boleh buat sesuatu untuk membekalkan diri kita dengan alat-alat pertahanan tetapi kita memiliki untuk tidak mempelajari ilmu yang penting dalam perkara tersebut.

Kata Dr Mahathir, di KL SUMMIT 2019 nanti, kita tidak membincangkan perkara khusus berkenaan hukum agama Islam walaupun sebagai orang Islam apabila kita berbincang sesuatu tentulah dipengaruhi oleh agama dan itulah sebabnya kita di PERKIM perlu mengkaji bagaimana cara dan kerja berdakwah.

Selama ini kita tidak begitu berkesan berdakwah di Malaysia kerana lebih ramai orang bukan Islam memeluk Kristian berbanding agama Islam. Apakah kelebihan agama Kristian berbanding agama Islam? Sebenarnya tidak ada tetapi yang ada hanyalah pendekatan.

“Itulah yang perlu dikaji dan saya berharap dalam Majlis Kebangsaan penggal 2019 – 2022, dapat meningkatkan keupayaan kita dalam bidang dakwah.

“Saya minta maaf kerana sekarang ini terlalu sibuk dan tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada PERKIM, namun saya yakin dan percaya Ahli Majlis Kebangsaan berkeupayaan untuk melaksanakan tugas sebagai anggota pentadbiran badan dakwah PERKIM, ujar Dr. Mahathir mengakhiri ucapannya.

Mesyuarat diteruskan dengan pembentangan Minit Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bilangan 2/57; laporan perkara-perkara berbangkit; laporan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-58; kertas adangan penubuhan dan pelantikan keahlian bagi Jawatankuasa Kerja Kebangsaan; Jawatankuasa Kecil dan Peraturan Di Bawah Peruntukan Perlembagaan PERKIM bagi penggal 2019 – 2022 dan hal-hal lain.


Bangunan Putra Perdana menjadi lokasi Mesyuarat Majlis Kebangsaan PERKIM Bilangan 1/58 baru-baru ini.


Dr Mahathir mempengerusikan mesyuarat bersama Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM.


Lebih 50 Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM mendengar amanat dan ucapan daripada Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Tun Mahathir tertawa apabila bergurau dengan salah seorang ahli majlis.


Suasana Mesyuarat Majlis Kebangsaan PERKIM di Bilik Mesyuarat Perdana, Putra Perdana, Putrajaya.


Dr Mahathir membincangkan mengenai KL Summit 2019 bersama Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM.


Beberapa agenda lain turut dibincangkan di dalam mesyuarat tersebut.


Antara kepimpinan tertinggi PERKIM bermesyuarat bersama Perdana Menteri merangkap Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=K_6woZP0A7s” width=”700″ height=”476″]

Related Articles

Back to top button