Aktiviti Dakwah

Tingkatkan Ukhuwah Persaudaraan Di Antara Kita – SUA PERKIM

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 12 MEI 2023 – “‘Islam Itu Persaudaraan’ merupakan cogankata yang tercatat di dalam Buku Perlembagaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) yang menyarankan kita untuk meningkatkan ukhuwah sesama kita di samping merapatkan hubungan di antara kepimpinan dan kakitangan PERKIM,” kata Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Katanya, jika kita tidak menghayati perkara itu, tentulah susah kita hendak menarik orang lain untuk meningkatkan persaudaraan sedangkan mereka sentiasa memperhatikan kita.


“Saya dapati bahawa ukhuwah di dalam keanggotaan Pentadbiran PERKIM sangat baik tetapi ruangan untuk meningkatkan lagi persaudaraan sangat perlu,” kata Dr Yusof Noor.

Jelas beliau, walaupun saiz kumpulan perkhidmatan kita kecil tetapi efektif dan berkesan ia akan memberi impak yang besar kepada sesebuah organisasi.

Dr Yusof Noor berkata ketika menyampaikan amanatnya di Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri diadakan di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini.

Seramai lebih 40 orang hadir terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan disusuli bacaan doa oleh Pegawai Unit Pembangunan Dakwah PERKIM Kebangsaan (UPDK), Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Majlis diacarakan sepenuhnya oleh Pegawai UPDK, Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Dr Yusof Noor turut menegaskan supaya kakitangan di PERKIM Bahagian Negeri-negeri untuk bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh dan efektif serta memberi contoh terbaik kepada PERKIM Negeri berkenaan.

Tambahnya, selain kita melatih kader dakwah menerusi Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), kita juga memberi pelajaran, pendidikan dan pengajian Islam saudara baharu di Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Jawatan Pengarah Dakwah dahulu pernah dijawat oleh Bekas Mufti Negeri Sabah, Allahyarham Datuk Haji Muhammad Haji Ahmad.

“Selain kita fikir melatih kader-kader dakwah yang sesuai sama ada terdiri dari kalangan mualaf itu sendiri atau orang Islam yang berkebolehan, saya fikir syor yang lebih baik ialah setiap warga yang bekerja dengan PERKIM akan dilatih dalam Kursus Perkaderan Dakwah PERKIM.

“Mereka bukan sahaja menjalankan tugas sebagai pegawai dan kakitangan di PERKIM, dalam masa yang sama mereka juga adalah kader dakwah yang perlu menghadirkan diri dalam kursus-kursus tertentu dan berkebolehan untuk menjadi pendakwah.

“Kita akan pastikan kakitangan di semua peringkat Bahagian PERKIM termasuk di pusat menjalani kursus tersebut tanpa kecuali seorang pun dan setiap daripada mereka perlu ada pengetahuan mengenai Islam.

“Saya juga mengesyorkan ganjaran penambahan pendapatan bagi mereka yang beroleh cemerlang di dalam kursus tersebut kerana setiap warga PERKIM mestilah mempunyai ilmu pengetahuan Islam dan pengetahuan asas dakwah,” ulas Dr Yusof Noor.

Beliau juga mengambil pandangan daripada Naib-naib Yang Dipertua dan Ahli Majlis Kebangsaan untuk menjadikan kakitangan PERKIM bukan sahaja melaksanakan tugasan yang diamanahkan bahkan menjadikan mereka seorang kader dakwah pada tahap tertentu serta memberikan kesan yang lebih besar menerusi ukhuwah dan peningkatan ilmu agama.

Dr Yusof Noor juga turut mengalu-alukan kehadiran Mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin kerana telah sudi menggalas tugas yang diberikan sebagai Pengarah Dakwah Kanan PERKIM Kebangsaan.

Katanya, Dato’ Razali merupakan seorang bekas senior dalam Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang kini akan menguruskan dan mengetuai Unit Pembangunan Dakwah PERKIM Kebangsaan serta Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM – Kuala Lumpur (IDIP-KL).

Dato’ Haji Ahmad Mustafa pula masih memegang jawatan sebagai Pengarah Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan manakala Firdaus Lokman Tah akan memegang jawatan sebagai Pengarah Penerbitan dan Media Baru PERKIM Kebangsaan.

YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad yang sebelum ini merupakan Pengarah IDIP-KL telah ditukarkan ke portfolio baharu iaitu memegang jawatan Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Pengajian Saudara Baharu.

Ujar Dr Yusof Noor, dakwah menerusi pendidikan adalah sangat penting kerana Pengasas PERKIM, AlMarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sendiri telah mewujudkan antara salah satu objektif PERKIM iaitu pendidikan dengan mempengerusikan Hal Ehwal Pendidikan PERKIM dalam memperkenalkan Tadika PERKIM di Pulau Pinang walaupun sibuk dengan menggalas pentadbiran negara ketika memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia Pertama.

Cetusan idea AlMarhum Tunku itu ialah pendidikan menerusi kanak-kanak di mana ia menjadi satu kewajipan kita untuk memberi didikan dengan menanam benih-benih Islam bermula dari awal usia.

Ujar Dr Yusof Noor, kini hanya terdapat tiga sahaja Tadika PERKIM iaitu di Pulau Pinang, Terengganu dan Perak serta beliau berhasrat untuk menambahkan lagi Tadika PERKIM di setiap negeri.

Katanya, sewaktu usia beliau 12 tahun, di era 50-an ketika di Kuala Terengganu, rata-rata orang Islam menghantar anak-anak mereka di tadika milik bukan Islam untuk mempelajari mengeja, menulis dan membaca kerana masih tiada lagi tadika Islam ketika itu.

Pada zaman kini banyak tadika Islam terdapat di setiap daerah atau pun taman perumahan.

Ujar beliau, PERKIM berdakwah bukan sahaja melalui pengendalian aktiviti kursus atau kemasyarakatan, tetapi juga menerusi pendidikan tadika.

“Kita perlu memastikan Tadika PERKIM mempunyai keseragaman dari sudut pakaian, lagu tadika, guru terlatih dan silibus pendidikan.

“Kita perlu menzahirkan PERKIM secara professional dan menarik supaya tidak meragukan masyarakat untuk menyumbang kepada PERKIM.

Dr Yusof Noor turut merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga serta kakitangan PERKIM.

Tradisi umat Islam di Malaysia merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan pelbagai jamuan dan penganjuran rumah terbuka sepanjang Syawal berbeza dengan negara Arab atau negeri-negara tertentu yang hanya meraikannya pada 1 Syawal sahaja.

Beliau turut berpesan supaya menjaga kesihatan diri supaya dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai kakitangan PERKIM yang lebih baik.

“Kita hendaklah bersama-sama meningkatkan lagi keberkesanan pasukan operasi PERKIM dengan memberi imej lebih baik kepada masyarakat dengan secara tidak langsung menambahkan lagi bilangan keahlian PERKIM di peringkat cawangan-cawangan,” kata Dr Yusof Noor mengakhiri amanatnya.


Terdahulu, Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga dan kakitangan PERKIM.

Katanya, mudah-mudahan sepanjang bulan Ramadan kita beribadah, kita dapat mengekalkan momentum di bulan Syawal hingga sepanjang tahun.



Pengarah Dakwah Kanan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin
pula turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Dr Yusof Noor kerana sudi menerima beliau untuk menyertai PERKIM Kebangsaan.

Kata beliau, ia merupakan satu penghormatan tinggi yang telah diberikan kepadanya bagi tujuan untuk membantu tugas-tugas dakwah.

Insya Allah kita akan bersama-sama dalam memacukan gerakan dakwah di negara melalui PERKIM dan mudah-mudahan apa yang kita telah laksanakan akan dipermudahkan serta mendapat ganjaran yang tinggi di sisi Allah SWT.

Tambah Dato’ Razali lagi, kita perlu meneruskan dan istiqamah dengan segala amal ibadah telah dilakukan di bulan Ramadan yang telah kita lalui.dan berharap kita dapat bertemu dengan Ramadan yang akan datang.

Beliau turut menyeru warganya untuk menyegerakan puasa sunat enam Syawal yang masih berbaki beberapa hari lagi seperti mana daripada Abu Ayyub al-Ansari RA, meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diiringinya dengan puasa (sunat) enam hari dalam bulan Syawal, itu adalah menyamai seperti berpuasa selama setahun.” (Hadis Riwayat Muslim).

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun dan Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin.

Dr Yusof Noor diringi Dato Abdul Hanif, Datuk Nordin dan Dato’ Razali berkesempatan menyampaikan baju kemeja-T PERKIM kepada kakitangan PERKIM.

Majlis berakhir dengan menikmati Jamuan Hari Raya Aidilfitri. Antara juadah disediakan ialah sate, lemang, nasi himpit, rendang, mi kari, kuih-muih dan buah-buahan.


Farhan Tee mengacarakan Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri.


Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.


Muhammad Jais memimpin doa pembuka majlis.


Hadirin menadah tangan ketika doa dibacakan.


Dr Yusof Noor menyampaikan amanat kepada warganya.


Dr Yusof Noor menyifatkan ukhuwah persaudaraan di antara anggota Pentadbiran PERKIM sangat baik dan perlu tingkatkan lagi.


Dr Yusof Noor berkata, setiap warganya sama ada di pusat mahupun negeri-negeri tidak terkecuali menjalani Kursus Perkaderan Dakwah PERKIM.


Datuk Nordin menyeru warganya supaya mengekalkan momentum ibadah Ramadan di dalam bulan Syawal dan berterusan.


Dato’ Razali mengajak warganya agar melaksanakan ibadah sunat dengan berpuasa 6 hari di bulan Syawal.


Dr Yusof Noor bersalaman ketika menyampaikan baju kemeja T kepada Md. Eakzam Jaafar.


Pegawai PERKIM menikmati makanan jamuan yang disediakan.


Pelbagai juadah makanan Jamuan Hari Raya Aidilfitri dinikmati bersama.

Related Articles

Back to top button