Tingkatkan Akhlak, Hormati Lebih Tua Sempena Maal Hijrah – SUA PERKIM
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 5 JULAI 2024 – Seramai lebih 40 pegawai dan kakitangan Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dihimpunkan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan bertempat di Surau PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini pada pagi Jumaat.
Majlis yang dimulakan dengan solat sunat hajat, bacaan surah Yasin dan doa selamat itu turut dihadiri kakitangan Institut Dakwah Antarabangsa Islam PERKIM (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).
Ibadah sunat tersebut telah dipimpin oleh Pembantu Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI) PERKIM Kebangsaan, Tuan Haji Ishak Othman.
Seusai bacaan Yasin disusuli dengan majlis perhimpunan yang telah diacarakan oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI) PERKIM Kebangsaan, Muhammad Farhan Tee Abdullah bersama Pembantu UDPI, Muhammad Firdaus Pompeyos Abdullah diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.
Bacaan doa pembuka majlis pula dipimpin oleh Pegawai UDPI, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.
Majlis diserikan lagi dengan ucapan amanat disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Dr Yusof Noor dalam amanatnya merakamkan ucapan Salam Maal Hijrah kepada warganya dan seluruh umat Islam di mana mereka akan memasuki Tahun Baru Islam 1446 hijri pada Ahad.
Beliau turut mengucapkan tahniah di atas pelantikan YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik sebagai Pengarah IDIP-KL sambilan berkuatkuasa pada 1 Julai lalu.
Beliau juga mengajak warganya merenung dan berfikir bahawa banyak lagi usaha yang belum dibuat bagi merealisasikan maksud penubuhan PERKIM walaupun tugas berbeza-beza tetapi tugas hakiki memperkenalkan Islam kepada non-Muslim tidak dilupa.
Katanya, dalam memperkenalkan Islam kepada non-Muslim sudah tentu kita memerlukan peralatan atau kelengkapan seperti warkah, risalah, kemahiran bahasa, ilmu agama, ilmu pengetahuan dan lain-lain lagi.
Tanya beliau lagi, adakah kita mampu dan bersedia menyampaikan dan menyebarkan Islam kepada tokoh-tokoh korporat yang besar-besar yang masih belum Islam?
Bersempena tahun rasmi bagi umat Islam memasuki tahun baru, PERKIM bukan sahaja menyebarkan dakwah Islamiah kepada golongan susah bahkan perlu difokuskan juga kepada golongan-golongan atasan yang memerlukan Islam.
“Saya tertarik hati bila bertemu bekas Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Emeritus Dato’ Dr Ariffin Suhaimi ketika menziarah beliau baru-baru ini, di mana beliau telah menyatakan bahawa PERKIM di cawangan mestilah kuat diikuti PERKIM bahagian kerana itulah asasnya,” ujar Dr Yusof Noor.
Ujarnya lagi, dalam kita membuat pertemuan dan program bersama saudara baharu, kita juga boleh melakukan aktiviti mesra dengan non-Muslim bagi menyampaikan dakwah Islamiah kepada mereka seperti program bersama dengan komuniti non-Muslim seperti yang telah dilaksanakan oleh PERKIM Melaka dan program silang budaya bersama kumpulan Cina bukan Islam anjuran PERKIM Johor.
“Adakah itu hanya langkah sosial atau sebaran dakwah? Bagi saya, kita belum memenuhi hasrat Pengasas PERKIM, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam menyebarkan Islam kepada non-Muslim. Insya-Allah, PERKIM akan laksanakannya walaupun kita kecil.
“Saya melihat ucapan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-63 baru-baru ini di mana saya perasan bahawa beliau menyampaikan ucapannya ikhlas dari hati ke hati delegasi PERKIM tanpa membaca teks meski pun teks ucapannya telah pun tersedia di paparan skrin.
“Kita harus menilai dan memberi penghargaan serta penghormatan yang tertinggi kepadanya kerana di dalam ucapan Tun Yang Dipertua ada menyebut di antara kegagalan Islam ialah kerana umat Islam lemah.
“Kita gagal kerana kita lemah dalam banyak perkara dan tidak melaksanakan apa yang disuruh dalam Islam seperti kemahiran persenjataan, ekonomi dan makanan.
“Islam juga menyarankan umatnya berakhlak mulia untuk berdakwah, jika kita tidak bagaimana non-Muslim akan tertarik dengan keperibadian Islam.
“Dalam Islam, golongan muda perlu menghormati golongan tua, tetapi hari ini kita lihat generasi muda tidak menghormati malah tidak beradab.
“Jika akhlak kita lemah, budi pekerti kita buruk, sering berkelahi, memerli, mengherdik antara satu sama lain dapatkah kita berdakwah kepada masyarakat non-Muslim?
“Warga PERKIM perlu mengambil pendekatan yang disuruh oleh Islam sebanyak yang mungkin walaupun kita semua tidak sempurna tetapi sekurang-kurangnya kita mempunyai akhlak yang tinggi,” jelas beliau.
Dr Yusof Noor memetik hadis daripada Riwayat Muslim bermaksud: Daripada Aisyah RA berkata: “Akhlak Nabi SAW adalah al-Quran.”
Tambahnya lagi, bersandarkan Hadis Riwayat Ahmad, Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”
Ulas beliau, akhlak kita pada hari ini tidak mencerminkan seperti mana yang telah disuruh oleh Nabi kerana ini merupakan perkara yang sangat penting bagi orang Islam seluruhnya, bukan di PERKIM sahaja.
Katanya, Tun Yang Dipertua berkata bahawa Islam lemah dan Islam gagal kerana umat Islam tidak mengamalkan dan mengikut ajaran yang betul.
Jelasnya, menerusi ucapan Tun Dr Mahathir, beliau berasa kurang gembira kerana melihat orang Islam masih lagi berkrisis.
“Hari ini kita baik tetapi kita terpengaruh dengan keburukan, maka kita akan menjadi buruk dan sebab itu menjelang hujung akhir tahun pentadbiran 2024, warga PERKIM akan mengikuti satu kursus khas yang diwajibkan untuk dinilai prestasi masing-masing.
“Bersempena tahun baru Islam, IDIPKL akan mengorak langkah baru dan kita akan mengisi ruang-ruang yang masih belum kita lakukan pada masa lepas khusus untuk mendekati golongan profesional, kumpulan berpendidikan seperti profesor-profesor di universiti non-Muslim yang hendak mendekati Islam,” jelas beliau.
Tambahnya, IDIPKL merupakan satu pacuan yang terbaik untuk mendekati golongan profesional dan berpendidikan tinggi dalam menyebarkan Islam kepada mereka.
Dalam kita menumpukan kerja kebajikan, tetapi sebaran dakwah juga kita perlu laksanakan dengan menggandakan lagi usaha kita kerana kita sudah ketinggalan jauh ke belakang.
“Di ambang satu muharam ini, saya berdoa agar Allah memperkenankan azam, hasrat dan visi kita terus maju menjelang Maal Hijrah 1446.
“Maal Hijrah merupakan peristiwa paling penting yang telah mengubah wajah alam dunia berubah kerana penghijrahan Rasulullah dan para sahabat RA.
“Jika Nabi Muhammad tidak berhijrah, maka dunia tidak akan mengenal Islam dan PERKIM mestilah berubah ke arah yang lebih baik daripada sebelumnya,” ujar Dr Yusof Noor mengakhiri ucapan.
Di akhir majlis, Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan wang sumbangan kepada Penolong Pegawai SCORE PERKIM, Siti Nor Raihan Mustapha dan Pembantu Tadbir Unit Kewangan PERKIM Kebangsaan, Azura Abdul Rahman di atas pemergian bapa mereka ke rahmatullah pada bulan lalu.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Unit Pembangunan dan Aset PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa serta Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin.
Warga PERKIM melaksanakan solat sunat hajat bersempena perhimpunan bulanan yang diadakan.
Haji Ishak Othman memimpin bacaan Yasin secara beramai-ramai.
Kepimpinan PERKIM tegak berdiri menyanyikan lagu Negaraku.
Kepimpinan PERKIM bersama warganya berdiri tegak sambil menyanyikan lagu PERKIM Pacu Kemajuan.
Farhan (kanan) bersama Firdaus Pompeyos bertugas mengacarakan majlis perhimpunan bulanan.
Jais Mariappan memimpin bacaan doa pembuka majlis.
Warga PERKIM menadah tangan dan mengaminkan doa yang dibacakan.
Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan amanat di Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan.
Dr Yusof Noor mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1446 di hadapan warganya.
Dr Yusof Noor memesan warganya agar meningkatkan akhlak seperti mana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Dr Yusof Noor memesan warganya supaya menghormati golongan yang lebih usia.
Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan wang sumbangan kepada Nor Raihan atas pemergian bapanya ke rahmatullah pada bulan lalu.
Perginya bapa tercinta buat selama-lamanya pada bulan lalu, Azura Abdul Rahman menerima wang sumbangan daripada Dr Yusof Noor.