SUA PERKIM Sempurnakan Penutupan TOT Kader Daie Profesional KAGAT
sumber: Facebook Media KAGAT
GENTING HIGHLANDS, 20 OKTOBER 2023 – Setelah lima hari berkursus dengan 11 pembentangan kertas kerja, akhirnya Kursus Latihan Kepada Pelatih (TOT) Kader Daie Profesional Saudara Muslim Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) melabuh tirainya hari ini.
Seramai 30 orang pegawai dan anggota lain-lain peringkat KAGAT terlibat dalam kursus itu dan secara umumnya para peserta merasa amat bertuah kerana terpilih menghadiri kursus terbabit.
Majlis penutup kursus dan penyampaian sijil tersebut telah disempurnakan oleh Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Dr Yusof Noor dalam ucapannya berkata, beliau telah menitipkan pesanan kepada para peserta bahawa kejayaan dalam sesuatu kehidupan adalah disiplin dan perkara tersebut perlu dihayati dan diamalkan khususnya kepada para daie dalam bidang ketenteraan.
Malah beliau juga mengingatkan supaya menjadikan sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW khususnya dalam bab istiqamah berdakwah melakukan Taghyir serta Islah sesama warga Muslim dan dalam masa yang sama menunjukkan akhlak dan perwatakan yang baik bagi mendekatkan yang belum Islam kepada agama yang benar ini.
Turut meraikan kehadiran perasmi penutupan kursus hari ini adalah Ketua Pengarah KAGAT, Mej Jen Dato’ Haji Mohd Rashidi Bujai; Pengarah Operasi KAGAT, Kol Zulkifli Mustafa; Pengarah Kanan Dakwah, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Pengarah Aset & Pembangunan, YBhg Dato’ Ahmad Mustafa, Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM, Zulkefli Arifin; Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Pegawai-pegawai Kanan KAGAT.
Semoga dengan kursus tersebut mampu memperkasakan gerak kerja Dai’e Askari dalam menjayakan motto KAGAT ‘Berjuang Berakhlak’ dalam dakwah kontemporari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Pengarah KAGAT, Mej Jen Dato’ Haji Mohd Rashidi Bujai menyampaikan ucapan aluan di majlis tersebut.
Pegawai dan anggota daie menadah tangan ketika doa dibacakan.
Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan perasmian di majlis tersebut.
Pegawai dan anggota daie mendengar ucapan yang disampaikan.
Dr Yusof Noor berkata bahawa kejayaan dalam sesuatu kehidupan adalah disiplin dan perkara tersebut perlu dihayati dan diamalkan.
Tetamu kehormat mendengar ucapan yang disampaikan oleh Dr Yusof Noor.
Dr Yusof Noor menggesa para daie menunjukkan akhlak dan perwatakan yang baik bagi mendekatkan mereka yang belum Islam.
Kepimpinan PERKIM berkesempatan merakamkan gambar kenang-kenangan bersama 30 orang pegawai dan anggota daie KAGAT di akhir majlis.