SKOP 8 – Forum Dakwah Dalam Masyarakat Cina dan India Di Malaysia
Oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 26 JANUARI 2024 – Lebih 170 peserta hadir di Siri Kuliah Dakwah Perdana (SKOP) anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) bertempat di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini, pagi Jumaat.
SKOP yang diadakan buat kali kelapan itu membawa tajuk Forum Isu dan Cabaran Dakwah Kini : Dakwah Dalam Masyarakat Cina dan India Di Malaysia yang dipengerusikan oleh Moderator Tanyalah Ustaz TV9, Da’i Aiman Sufyan Aezman.
Manakala ahli panelnya ialah Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, YBhg Datuk Prof Ts ChM Dr Taufiq Yap Yun Hin dan Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah.
Forum tersebut dihadiri kalangan ahli-ahli PERKIM, mahasiswa dan saudara baharu pelbagai bangsa iaitu Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Bidayuh, Murut serta warga negara dari Filipina, Indonesia dan Myanmar.
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dalam ucapannya mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan kehadiran peserta di forum tersebut.
Dr Yusof Noor turut menyambut kehadiran mahasiswa daripada Kelab PERKIM Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kelab PERKIM Universiti Islam Selangor (UIS), PERKIM Cawangan Selayang Baru, PERKIM Cawangan Nilai dan Wanita PERKIM Cawangan Hulu Klang.
Katanya, ilham penubuhan PERKIM bukanlah sembarangan, ia muncul di Mekah ketika Tunku menunaikan ibadah fardu haji, beliau melihat jemaah dari pelbagai negara dan berbeza-beza warna kulit tetapi bersatu dan mengucapkan kalimah yang sama serta solat secara berjemaah.
“Tunku terfikir ketika berada di Malaysia terdapat pelbagai bangsa dan boleh disatukan di PERKIM dan tercetuslah ia sehingga ke hari ini.
“Kita mesti meneruskan perjuangan Tunku serta mahu masyarakat kita tahu apa itu Islam serta tertarik dengan Islam.
“Walaupun mereka tidak memeluk Islam tetapi mereka tidak protes dan tidak membantah dengan pelaksanaan Islam serta ibadah yang diamalkan oleh orang Islam.
“Kita sebagai pendakwah perlu sampaikan kepada mereka dan menunjukkan contoh kepada yang belum Islam mengenai kebaikan serta keindahan Islam,” kata Dr Yusof Noor.
Beliau turut mengalu-alukan hadirin yang ingin mendapatkan perkhidmatan kaunseling atau perkhidmatan perundingan perubatan dengan berurusan di kaunter kaunseling dan rundingan yang akan dibuka pada bulan Mac 2024 kelak.
Dr Taufiq Yap dalam forum tersebut memetik Surah Ali-Imran bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”
Katanya di antara cabaran yang dihadapi dalam usaha dakwah di kalangan masyarakat Cina ialah daripada perbezaan budaya, bahasa, kurangnya pemahaman tentang Islam, toleransi, kepelbagaian agama, ekonomi, pembangunan sosial, kerjasama dan komuniti.
Ustaz Fitri dalam forum tersebut pula turut menerangkan sejarah, pertuturan, bahasa, kebudayaan, perayaan dan kematian masyarakat India.
Beliau juga turut meminta peserta supaya menjaga sensitiviti keagamaan, pangkat, gelaran dan bahasa ketika bertemu dengan masyarakat India serta mempamerkan akhlak mulia seperti baginda Rasulullah SAW agar mereka tertarik dengan sifat terpuji orang Islam.
Di akhir forum, Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan cenderahati PERKIM masing-masing kepada Dai’ Aiman, Dr Taufiq Yap dan Ustaz Fitri.
Turut hadir ialah ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Pengarah Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa serta Pengarah Unit Komunikasi dan Media PERKIM Kebangsaan, Firdaus Lokman Tah.
Forum yang dipengerusikan oleh Da’i Aiman Sufyan Aezman.
Hadirin mengaminkan doa pembuka majlis.
Dr Yusof Noor menyampaikan ucapannya di forum tersebut.
Menurut Dr Yusof Noor, penubuhan PERKIM merupakan ilham Almarhum Tunku ketika menunaikan ibadah fardu haji di mana beliau melihat jemaah dari pelbagai negara dan berbeza-beza warna kulit dan bersatu dalam satu agama.
Antara hadirin yang hadir di forum bertajuk Dakwah Dalam Masyarakat Cina dan India Di Malaysia.
Antara saudara baharu yang turut menyertai forum tersebut.
Da’i Aiman menghangatkan suasana sebagai moderator forum.
Dr Taufiq Yap menyampaikan ceramahnya mengenai masyarakat kaum Cina menerusi persembahan slaid.
Fitri menyentuh sejarah, pertuturan, bahasa, kebudayaan, perayaan masyarakat India di Malaysia.
Antara moderator dan ahli-ahli panel yang menjayakan forum.
Antara mahasiswa Kelab PERKIM UMT mendengar forum yang disampaikan.
Hadirin menadah tangan ketika doa penutup majlis dibaca.
Dr Yusof Noor menyampaikan cenderahati kepada Dr Taufiq Yap.
Ustaz Fitri menerima cenderahati daripada Dr Yusof Noor.
Da’i Aiman menerima cenderahati daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.
Dr Yusof Noor menyampaikan cenderahati PERKIM kepada mahasiswa Kelab PERKIM UMT.
Mahasiswa Kelab PERKIM UIS menerima cenderahati daripada Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.
Salah seorang peserta berbangsa India yang mendengar forum turut diraikan dan menerima cenderahati daripada Dr Yusof Noor.