Aktiviti Dakwah

Sambutan Aidiladha Meriah di Chiang Rai: 18 Peluk Islam Dalam Program PERKIM Bersama Yayasan As-Siddiqin

ᵒˡᵉʰ: ˢᴿᶻ

𝐂𝐇𝐈𝐀𝐍𝐆 𝐑𝐀𝐈, 𝟕 𝐉𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Suasana penuh kesyukuran dan keinsafan mewarnai sambutan Hari Raya Aidiladha anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan bersama anak-anak Yayasan As-Siddiqin di Mae Pao, Phaya Mengrai dekat sini.


Menurut 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗞𝗮𝗻𝗮𝗻 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗥𝗮𝘇𝗮𝗹𝗶 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗦𝗵𝗮𝗵𝗮𝗯𝘂𝗱𝗶𝗻, seramai lebih 400 orang hadir untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha serta menyaksikan kemuncak ibadah korban dan jaulah dakwah.

Solat sunat Aidiladha dilaksanakan di perkarangan Yayasan As-Siddiqin bermula jam 8.30 pagi dan dipimpin oleh Ustaz Abdul Haziq Yahya yang juga merupakan tenaga pengajar Yayasan As-Siddiqin.

Katanya, kehadiran lebih 400 orang itu terdiri daripada anak-anak yatim, mualaf, ibu bapa, masyarakat kampung, warga penoreh getah, jemaah tabligh, para sukarelawan dan penyumbang yang datang dari pelbagai tempat bagi menyambut hari kebesaran Islam.

Menurut sumber, majoriti anak-anak Yayasan As-Siddiqin ini berasal dari kawasan pergunungan Chiang Rai iaitu puak Akka, Mong dan lain-lain etnik.

Seusai solat, Pengasas Bersama Yayasan As-Siddiqin, Ustaz Yusuf Wanngoh menyampaikan khutbah Aidiladha bertajuk “Ibrah Pengorbanan Nabi Ibrahim AS”.

Di dalam khutbah, Ustaz Yusuf menggambarkan keimanan luar biasa Nabi Ibrahim AS yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya, Nabi Ismail AS, sebagai bukti ketaatan mutlak kepada perintah Allah.

Beliau juga menekankan bahawa pengorbanan yang sejati bukan sekadar menyembelih binatang korban, tetapi menyerahkan seluruh diri kepada Allah SWT dengan penuh tawakal.

“Kita perlu bertanya pada diri, apakah yang telah kita korbankan demi agama? Masa, tenaga, harta, bahkan rasa selesa semuanya akan ditanya kelak,” tegas Ustaz Yusuf Wanngoh.

Hadirin yang mendengar tunduk dalam penuh khusyuk dan khudhuk, sebahagian dilihat menitiskan air mata menginsafi makna pengorbanan yang sebenar.

Selesai solat dan khutbah, Ustaz Yusuf berkesempatan berdakwah kepada beberapa ahli keluarga kepada anak-anak Yayasan As-Siddiqin.

Dengan izin Allah, dua daripada mereka bersetuju mengucapkan dua kalimah syahadah, diikuti seorang lagi dan kemudian beberapa lagi secara berperingkat.

“Seramai 11 orang telah memeluk Islam pada petang semalam dan hari ini seramai tujuh orang lagi menerima hidayah-Nya, menjadikan keseluruhan 18 orang memeluk Islam dalam semangat Aidiladha yang suci ini,” ujar Ustaz Yusuf Wanngoh.

Kemeriahan sambutan turut diserikan dengan kehadiran seorang penyumbang dermawan yang juga pengusaha durian Mongthong yang menyumbang wang tunai, makanan, makanan ringan, buah-buahan dan pelbagai keperluan lain.

Anak-anak Yayasan As-Siddiqin kelihatan riang bermain dan bergembira apabila ibu bapa mereka dari pelbagai daerah datang menziarahi.

Program yang mendapat kerjasama Kumpulan Jom Buat Baik dan Pertubuhan Muslim Sejahtera Malaysia (Muszleem Malaysia) diteruskan dengan ibadah korban yang dilaksanakan di mana sebanyak enam ekor lembu dan 44 ekor kambing telah dikorbankan dan diagihkan kepada komuniti Islam setempat.

Dua daripada lembu disembelih oleh Sukarelawan PERKIM, YBhg Dr Ruslan Said di perkarangan Yayasan As-Siddiqin manakala selebihnya proses penyembelihan lembu dijalankan di Loji Pemprosesan Lembu-Kerbau Sansaad, Daerah Phaya Mengrai oleh Pengusaha Bersama Yayasan As-Siddiqin, Roski Abdul Rahman.

Lembu-lembu ditumbangkan secara perlahan dengan teknik kawalan tali dan diberi ketenangan sebelum disembelih mengikut syariat Islam.

Setelah penyembelihan dilakukan, kerja-kerja melapah dijalankan secara bergotong-royong oleh urus setia dan sukarelawan.

Lembu korban yang disembelih dibawa semula ke Yayasan As-Siddiqin untuk diagihkan secara teratur oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah kepada lebih 130 keluarga warga penoreh getah.

Selain pekerjaan menoreh getah, masyarakat Islam di sini mendapat hasil pendapatan mereka dengan mengusahakan tanaman padi, mangga, mata kucing, laici, pisang dan lain-lain.

Sementara menunggu daging korban dipotong dan dimasak, Mudir Yayasan As-Siddiqin, Ustaz Usman Che Mat berkesempatan menyampaikan tazkirah ‘Hidayah Islam’ kepada ahli keluarga yang belum Islam.

Dato’ Razali turut mengulas, setiap keluarga asnaf, mualaf dan masyarakat Islam setempat menerima bahagian daging korban untuk dibawa pulang sebagai simbol rezeki dan kasih sayang sesama umat Islam.

Ujar beliau lagi, sambutan Aidiladha di sini buat kali ketiga bukan sekadar ritual ibadah, tetapi menjadi manifestasi perpaduan, pengorbanan dan dakwah yang memberi kesan mendalam kepada seluruh komuniti di utara Thailand ini.

Turut hadir ialah Pengasas Kumpulan FB Jom Buat Baik, Ustaz Azatul Ridzuan Hassan serta Pegawai Kewangan PERKIM Kebangsaan, Mohd Aizat Rosli.


PERKIM Kebangsaan menganjurkan program Jaulah Dakwah dan Korban 2025 di Yayasan As-Siddiqin,  Mae Pao, Phaya Mengrai, Chiang Rai, Thailand.


Lebih 400 umat Islam menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di perkarangan Yayasan As-Siddiqin pada 7 Jun 2025 lalu.


Ia disusuli dengan khutbah Aidiladha bertajuk Pengorbanan Nabi Ibrahim AS disampaikan oleh Ustaz Yusuf Wanngoh.


Ustaz Yusuf menekankan bahawa pengorbanan yang sejati bukan sekadar menyembelih binatang korban tetapi menyerahkan seluruh diri kepada Allah SWT.


Muslimat dari dalam dan luar kampung turut serta menunaikan solat Aidiladha.


Dato’ Razali bersalaman sesama Muslim selepas khutbah Aidiladha dibaca.


Rombongan PERKIM bersama Kumpulan FB Jom Buat Baik bergambar selepas menunaikan solat Aidiladha.


Dua orang ahli keluarga kepada anak-anak As-Siddiqin mengikrarkan dua kalimah syahadah di hadapan Ustaz Yusuf Wanngoh.


Seorang lagi ahli keluarga anak-anak As-Siddiqin dengan rela hati mengucapkan dua kalimah syahadah dan yakin dengan agama Islam.


Tiga orang ahli keluarga yang hadir ke Yayasan As-Siddiqin turut mengucapkan dua kalimah syahadah selepas melihat anak-anak mereka menunjukkan akhlak yang baik.


Dermawan Islam Chiang Rai mengagihkan duit raya Aidiladha kepada anak-anak As-Siddiqin.


Dermawan menyampaikan sumbangan makanan ringan kepada kanak-kanak.


Anak-anak As-Siddiqin menerima biskut dan makanan daripada penyumbang.


Pengusaha durian Mongthorn memberi sumbangan makanan kepada anak-anak As-Siddiqin sempena Aidiladha.


Dato’ Razali bersama stafnya bersedia untuk bergotong-royong menumbangkan haiwan korban.


Ustaz Usman Che Mat selaku Mudir Yayasan As-Siddiqin menyembelih lembu korban.


Lembu korban PERKIM Kebangsaan bersama dua lembu hadiah sumbangan PERKIM Putra.


Dr Ruslan Said berkesempatan menyembelih lembu korban PERKIM Kebangsaan.


Lembu yang disembelih kemudiannya dilapah oleh penduduk kampung.


Sebanyak 44 ekor kambing korban disembelih dan dilapah oleh penduduk kampung.


Ustaz Usman Che Mat berkesempatan menyampaikan ceramah Hidayah Islam kepada ahli keluarga yang belum Islam.


Penduduk kampung memotong tulang lembu dengan menggunakan sebilah kapak.


Urus setia Jaulah Dakwah dan Korban 2025 ke Loji Pemprosesan Lembu-Kerbau Sansaad bagi penyembelihan lembu korban.


Pengusaha Bersama Yayasan As-Siddiqin, Roski Abdul Rahman menyembelih lembu korban.


Antara nama yang mengambil bahagian dalam korban tahun ini.


Kaki lembu digantung dan dipotong menjadi cebisan-cebisan daging.


Farhan Tee mengagihkan daging korban kepada warga penoreh getah.


Farhan Tee berkesempatan bergambar bersama penerima daging korban.

Related Articles

Back to top button