Pesakit Strok Terima Sumbangan PERKIM

Kebajikan adalah sesuatu perbuatan baik yang membawa kebaikan. Setiap individu berusaha dan berlumba-lumba melakukan amalan soleh dan kebajikan serta bersegera berbuat sesuatu tanpa dilengah-lengahkan.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Kebajikan dan Pembangunan Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan ‘Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Sumbangan Kepada Pesakit’ bertempat di Pusat Pemulihan Kesihatan Perkim, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur pada 27 Februari 2014 lalu.
Majlis tersebut dihadiri seramai 60 orang yang terdiri daripada pesakit strok dan penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Pembangunan Wanita Perkim, Y.T.M Tunku Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj berkata, majlis itu perlu kerap diadakan dan ditambah dengan aktiviti kebajikan, motivasi serta perkongsian masalah atau penyakit yang mereka hadapi.Selain penganjuran aktiviti dakwah dan kebajikan yang lain, Perkim juga turut bersama dalam membantu dan memberi sokongan kepada mereka yang menghidap penyakit lumpuh atau strok.Mesej keprihatinan yang mulia ini dapat membuka mata masyarakat betapa pentingnya amalan dan budaya menziarahi pesakit ini.
Jelasnya lagi, pusat tersebut beroperasi pada hari Isnin sehingga Khamis bermula pada jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang.
Noor Hayati berharap pihak korporat, swasta mahu pun individu tampil ke hadapan sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membaik pulih atau menyumbang peralatan baharu bagi pemulihan pesakit sekali gus memberi khidmat kepada masyarakat di kawasan PPR.
Antara peralatan yang diperlukan ialah alat penaksiran, alat latihan keseimbangan, terapi tangan, palang selari, kerusi rawatan, palang dinding, exercise bike, staircase, pedal exerciser, treadmill machine dan lain-lain lagi.
Noor Hayati yang menyandang jawatan Ketua Wanita Perkim memberitahu, melalui hubungan yang dijalinkan menerusi CSR, beliau berhasrat untuk menambahkan lagi pusat seperti ini pada masa akan datang memandangkan pesakit yang semakin meningkat.
Pada masa yang sama, pusat tersebut memerlukan sokongan dari aspek kerja sosial seperti aktiviti kesukarelawanan dalam membantu kerja-kerja pemulihan, kaunseling, rawatan dan terapi.
Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hj Hasbullah L. Isa melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana dapat dihimpunkan bersama pesakit di majlis tersebut.Beliau mengucapkan tahniah kepada Tunku Noor Hayati kerana mengambil inisiatif untuk menganjurkan majlis itu dan berharap ianya akan berterusan dari masa ke semasa.Inilah cara Perkim di mana sedikit sebanyak kita mengajak masyarakat setempat untuk kita sama-sama kita bantu dan tolong-menolong saudara kita yang ditimpa musibah atau diuji oleh Allah.
Beliau meminta hadirin mendoakan pesakit supaya diberi ketabahan hati dalam menghadapi dugaan yang sedikit ini.
Pusat itu sering dikunjungi dari pelbagai bangsa, kaum dan agama bagi tujuan ziarah dan membantu pesakit dalam bentuk sumbangan atau pun rawatan.
Jelasnya, pusat itu juga memerlukan peralatan rawatan yang lebih baik bagi rawatan susulan mereka kerana peralatan yang tersedia ada usang, lama dan ada yang telah rosak.
Beliau berharap peralatan tersebut dapat digantikan dengan peralatan baharu supaya bermanfaat melalui sumbangan badan korporat, syarikat swasta dan orang ramai.
Hasbullah menyarankan supaya lebih ramai lagi pihak yang membantu pusat tersebut dengan menyertai sukarelawan Perkim.
Beliau menyeru orang ramai supaya dapat menyumbang tenaga atau pun apa sahaja yang termampu untuk meringankan beban yang dideritai mereka.
Mudah-mudahan sumbangan, doa dan usaha yang telah dilaksanakan diterima oleh Allah SWT.
Majlis sebelum itu diadakan bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat.
Noor Hayati dan Hasbullah masing-masing menyampaikan sumbangan berbentuk hamper kepada pesakit.
Antara penerima sumbangan ialah Mazlan Mohd. Poya, Yacob Said, Yacob Samad, Norliah Mohamed, Siti Fatimah Husain, Poh Hock Leong dan Hee Gan Nam.

Pusat Pemulihan Kesihatan Perkim, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.

Pesakit dan penduduk setempat membacakan surah Yasin.

Bacaan Yasin oleh penduduk setempat.

Pesakit strok turut tidak melepaskan peluang untuk membacakan surah Yasin.

Hadirin bersama-sama mengaminkan doa yang dibacakan.

Peserta menadah tangan ketika doa dibacakan.

Noor Hayati (kanan) menyampaikan sumbangan kepada pesakit, Norliah Mohamad.

Pesakit menerima sumbangan daripada Hasbullah (kanan).

Pesakit menerima sumbangan yang disampaikan oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat.

Hee Gon Nam (kiri) menerima sumbangan daripada Noor Hayati.

Sumbangan yang disampaikan kepada pesakit oleh Noor Hayati (kiri).

Antara pesakit yang sering menerima rawatan di Pusat Pemulihan Kesihatan Perkim.

Antara tugasan kakitangan Pusat Pemulihan Kesihatan Perkim membantu pesakit.

Tetamu kehormat bergambar kenang-kenangan bersama pesakit.
[mappress mapid=”14″]



