PERKIM Ziarah Mualaf Hidap Sakit Belum Dikenal Pasti
AMPANG, 4 SEPTEMBER 2023 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan melalui Unit Dakwah dan Pembangunan Insan telah menziarahi saudara baharu di Hospital Ampang, Taman Pandan Mewah dekat sini.
Dikhabarkan sejak Rabu lalu, mualaf bernama Normah Chew Abdullah, 69, telah dimasukkan ke hospital berikutan bacaan darah bagi buah pinggangnya tinggi serta mata dan tubuh badan menjadi kekuningan.
Normah Chew merupakan pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) telah memaklumkan ketidak hadirannya kepada Guru PERKIM berikutan penyakitnya.
Pegawai Dakwah dan Pembangunan Insan diketuai Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan dan ditemani rakan pejabatnya, Nur Syahirah Musa menziarahi Normah Chew yang diuji dengan penyakit yang belum dikenalpasti.
Menurut Munirah, sehingga kini, doktor yang merawat Normah Chew masih berusaha mengenal pasti punca penyakit beliau.
Normah Chew akan menjalani pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pada sebelah petang.
Di atas keprihatinan PERKIM, Munirah telah menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Normah Chew bagi meringankan beban yang beliau hadapi.
Munirah dan Syahirah turut mendoakan agar Normah Chew kembali sembuh seperti sedia kala dan memberikan kata-kata semangat serta berharap beliau dapat kembali belajar di KPIPK.
Turut hadir ialah Pelajar KPIPK, Wani Saleha Abdullah. Wani merupakan sahabat karib kepada Normah Chew.