PERKIM Santuni Komuniti Cina Batu Pahat Melalui Program Ziarah
ᴼᴸᴱᴴ : ᵁᴹᴵ ᴹᵁˢᶠᴵᴿᴬᴴ ᴬᴮᴰᵁᴸ ᴳᴴᴬᴺᴵ
𝐁𝐀𝐓𝐔 𝐏𝐀𝐇𝐀𝐓, 𝟐𝟗 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Usaha merapatkan menjalinkan mahabbah antara masyarakat Islam dan komuniti bukan Muslim, khususnya masyarakat Cina di daerah Batu Pahat, disemarakkan lagi melalui Program Ziarah Kebajikan Masyarakat Majmuk Cina.
Program ini merupakan anjuran PERKIM Kebangsaan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Johor, Hidayah Centre Foundation (HCF) Batu Pahat, Al-Ikhsan Sport Batu Pahat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Batu Pahat, Giat MARA Batu Pahat serta Persatuan Amal Semangat Semut (PASS) Batu Pahat.
Dengan penglibatan lebih 20 sukarelawan yang program tersebut bukan hanya menzahirkan nilai kebajikan, malah memperkukuh hubungan harmoni serta membangunkan jalinan persefahaman antara masyarakat Islam dan Cina di daerah ini.
Program dimulakan dengan menziarahi Old Senior Care Centre Batu Pahat, sebuah pusat jagaan warga emas yang menempatkan kira-kira 23 orang penghuni berbangsa Cina.
Ketibaan rombongan disambut mesra oleh penghuni serta pengurus pusat berkenaan yang amat menghargai usaha penganjur kerana sudi meluangkan masa menyantuni golongan warga emas bukan Muslim.

Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Johor, Haji Mohamad Shaiful Bahri Abdullah mengendalikan majlis berkenaan. Majis dibuka dengan bacaan doa.
Para sukarelawan kemudiannya memilih seorang penghuni sebagai ibu atau bapa angkat, satu langkah simbolik yang mengeratkan hubungan antara sukarelawan dan warga emas yang mungkin sudah lama tidak merasai kasih sayang anak-anak sendiri.
Setiap penghuni menerima pek makanan yang mengandungi biskut, tepung susu dan bijirin oat. Walaupun pemberian tersebut sederhana, namun nilainya besar bagi warga emas kerana apa yang lebih berharga adalah perhatian, sentuhan kemanusiaan dan rasa dihargai.
Suasana menjadi lebih meriah apabila sukarelawan dan penghuni terlibat dalam permainan kuiz ringkas yang bertujuan menguji tahap saling mengenali antara satu sama lain.
Hadiah turut diberikan kepada pasangan ibu bapa dan anak angkat yang berjaya menjawab soalan dengan tepat, sekali gus menambahkan keriangan majlis.
Selain aktiviti interaktif, program juga meraikan warga emas melalui sambutan hari lahir secara beramai-ramai.
Hidangan ringan disediakan buat semua penghuni, menambahkan lagi suasana mesra dan harmoni sepanjang program.
Aspek kesihatan juga diberikan perhatian penting menerusi penyediaan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma oleh KKM Batu Pahat.
Pemeriksaan merangkumi pengukuran tekanan darah, paras gula serta konsultasi kesihatan asas. Kesemua pemeriksaan dijalankan secara teliti sekitar untuk penghuni rumah tersebut.
Pada masa yang sama, Giat MARA Batu Pahat menyediakan khidmat gunting rambut percuma yang dikendalikan oleh pelatih berpengalaman.
Perkhidmatan ini membantu meningkatkan penampilan dan keyakinan diri warga emas sambil memberi ruang mereka berinteraksi dengan lebih ramai orang dalam suasana santai.
Sukarelawan pula memainkan peranan memimpin ibu bapa angkat masing-masing ke stesen gunting rambut dan kesihatan, memastikan semua penghuni selamat sampai ke lokasi masing-masing.

Penyelaras program, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah, berkata aktiviti sebegini perlu diteruskan secara berkala kerana ia menjadi jambatan penghubung antara dua komuniti yang kadangkala kurang berinteraksi secara langsung.
Menurutnya, hubungan mesra antara masyarakat Islam dan Cina terbentuk bukan melalui ucapan, tetapi melalui aktiviti seperti ziarah, bantuan dan komunikasi bersemuka.
Beliau menegaskan bahawa usaha sebegini sejajar dengan nilai ihsan yang digariskan dalam Islam, iaitu melakukan kebaikan kepada semua manusia tanpa mengira latar belakang agama.
Turut membantu menjayakan program ialah Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong, Eksekutif Kewangan PERKIM Kebangsaan, Mohd Aizat Rosli, Eksekutif PERKIM Bahagian Negeri Johor, Ustaz Ghazali Ismail dan Sukarelawan Hidayah Centre Foundation (HCF), Ustaz Muhamad Ridhwan Tew.
Majlis diteruskan dengan penyampaian tuala serta wang saguhati kepada semua penghuni sebagai tanda penghargaan atas sambutan mesra mereka.
Sumbangan ini diperoleh melalui kerjasama persatuan-persatuan yang terlibat dalam penganjuran program.
Sesi bergambar beramai-ramai diadakan sebelum majlis ditutup dengan pertukaran cenderahati antara pihak penganjur dan pengurusan pusat jagaan.
Rombongan kemudian bergerak ke lokasi kedua iaitu Pusat Jagaan Warga Emas Sherun Batu Pahat yang menempatkan kira-kira 17 orang warga emas berbangsa Cina.
Suasana di pusat jagaan kedua ini tidak kurang meriah apabila aktiviti dimulakan dengan permainan mudah yang memberi ruang kepada penghuni untuk bergembira dan bergerak secara santai.
Sukarelawan turut menjalankan pendekatan personal, berkenalan dengan setiap penghuni secara lebih dekat dan berbual mengenai latar belakang mereka.
Walaupun ringkas, interaksi sebegini memberi makna besar kepada warga emas yang sebahagiannya sudah kehilangan ahli keluarga atau jarang diziarahi.
Perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma daripada KKM Batu Pahat sekali lagi menjadi tarikan utama apabila ramai warga emas tampil untuk melakukan pemeriksaan tekanan darah dan tahap gula.
Giat MARA juga meneruskan khidmat menggunting rambut yang membuatkan warga emas berasa dihargai dan diraikan. Pek makanan turut diagihkan kepada setiap penghuni, melengkapkan bentuk sokongan dan bantuan yang diberikan pada hari tersebut.
Seperti di lokasi pertama, sebuah sambutan hari lahir beramai-ramai turut diadakan secara sederhana tetapi meriah, dengan nyanyian dan pemberian kek bagi meraikan semua penghuni tanpa mengira bulan kelahiran.
Majlis di pusat jagaan kedua disempurnakan dengan sesi bergambar serta pertukaran cenderahati antara pihak penganjur dan pengurus rumah.
Pihak rumah amat menghargai kehadiran rombongan kerana program sebegini bukan sahaja memberi bantuan fizikal seperti makanan dan pemeriksaan kesihatan, tetapi membawa kegembiraan, perhatian dan sentuhan kemanusiaan yang amat bernilai kepada warga emas.
Turut hadir memeriahkan program ialah Naib Pengerusi I PERKIM Bahagian Negeri Johor, Datin Hapipah Endot, Bendahari Kehormat PERKIM Negeri Johor, Haji Mohd Sait Haji Ahmad serta Ketua Operasi Negeri Hidayah Centre Foundation Johor, Ustaz Muhammad Mirza Syahmi bin Ab Rahaman.
Aktiviti ziarah rumah ke rumah diteruskan pada sebelah petang bagi menyampaikan pek makanan yang mengandungi beras, minyak, gula, garam, bihun, kicap, susu manis dan biskut kepada masyarakat cina yang memerlukan.
Secara keseluruhannya, Program Ziarah Kebajikan Masyarakat Majmuk Cina di Batu Pahat ini bukan sahaja berjaya mendatangkan manfaat jangka pendek kepada warga emas di dua pusat jagaan, malah mencetuskan kesan sosial yang lebih mendalam melalui pertemuan, interaksi dan hubungan yang terjalin sepanjang program berlangsung.

Haji Shaiful menyampaikan taklimat kepada sukarelawan sejurus tiba di Old Senior Care Centre Batu Pahat.

Farhan Tee menyampaikan pek makanan kepada salah seorang penghuni rumah.

Para penghuni rumah Old Senior Care Centre Batu Pahat sama-sama memotong kek hari jadi.

Farhan Tee menyampaikan hadiah kepada pemenang kuiz.

Ridhuan Tew dan Farhan Tee sedang membersihkan bilik di Old Senior Care Centre Batu Pahat.

Ghazali Ismail sedang menggunting rambut salah seorang penghuni.

Farhan Tee (kiri) menyampaikan plak kepada wakil rumah Old Senior Care Centre Batu Pahat, diiringi oleh Haji Shaiful.

Penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Sherun Batu Pahat sedang meraikan sambutan hari lahir bersama-sama.

Farhan Tee sedang menerima plak penghargaan daripada pengurus rumah diiringi oleh Aizat Rosli dan Sulaiman Ding.

Sulaiman Ding sedang menyampaikan hamper makanan kepada seorang penerima berkelainan upaya.

Ridhwan Tew sedang menyampaikan kepada seorang penerima berbangsa cina yang tinggal seorang diri.



