PERKIM Perkukuh Asas Akidah dan Ibadah Mualaf Melalui Kursus Intensif Fardu Ain
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
KUALA LUMPUR, 23 NOVEMBER 2025 – Usaha memperkasakan kefahaman asas agama dalam kalangan saudara baharu diteruskan secara konsisten melalui penganjuran Kursus Intensif Fardu Ain Saudara Baharu (Bahasa Melayu) selama tiga hari anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Kursus yang berlangsung di Hotel Grand Continental, Jalan Raja Laut itu menghimpunkan sehingga 24 peserta mualaf daripada pelbagai latar etnik termasuk Iban, Kadazan, Bidayuh, Dayak, Murut, Dusun, Cina dan India.
Program ini dirangka dengan pendekatan menyeluruh, gabungan ceramah asas akidah dan ibadah, pengukuhan sahsiah, latihan praktikal serta bimbingan emosi yang disampaikan secara tersusun oleh tenaga pengajar berpengalaman.
Sepanjang tiga hari penganjuran, suasana pembelajaran yang mesra, sistematik dan interaktif memberi kesan mendalam kepada peserta yang rata-ratanya masih baharu dalam mengenali Islam dan amalan syariat.
Hari pertama dimulakan dengan sesi pendaftaran dan taklimat oleh fasilitator berpengalaman iaitu Fatin Hamizah Ismail, Ustaz Amran Anbarasu Abdullah, Ustazah Fatimah Ladda Abdullah dan Charles Abdullah.
Sesi ta’aruf memperkenalkan peserta daripada pelbagai budaya, sekali gus merapatkan hubungan dan mencetuskan suasana santai.

Penyelaras Program, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah berkata, kursus ini merupakan kesinambungan usaha PERKIM bagi membimbing saudara baharu memahami agama secara tepat dan tersusun.
Jelas beliau, pelaksanaan kursus intensif ini turut bertujuan menyuntik keyakinan dalam diri saudara baharu agar mereka mampu mengamalkan ajaran Islam secara yakin dan teratur.
PERKIM dan MAIWP sebelum ini telah menganjurkan siri kursus seumpama ini dalam Bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris, manakala siri pada kali ini dilaksanakan dalam Bahasa Melayu.
PERKIM melihat keperluan menyediakan sokongan sistematik kepada mualaf sebagai satu tanggungjawab penting bagi memastikan perjalanan awal penghayatan Islam mereka tidak terhalang oleh kekeliruan atau kurang bimbingan.
Di samping itu, program seperti ini juga menjadi jambatan integrasi sosial melalui aktiviti berkumpulan yang menyatukan peserta daripada pelbagai latar belakang kaum.
Sepanjang tiga hari kursus, PERKIM berusaha memastikan saudara baharu diberikan bimbingan ilmu yang lengkap merangkumi akidah, fiqh, akhlak, kekeluargaan, personaliti, pengurusan emosi dan ibadah harian.
Pendekatan teori dan praktikal membolehkan peserta melihat Islam secara menyeluruh, bukan sekadar konsep tetapi amalan hidup yang mudah, tersusun dan penuh hikmah. Interaksi mesra antara peserta, fasilitator dan penceramah turut mencetuskan suasana kekeluargaan yang memberi keyakinan kepada mereka untuk terus melangkah sebagai Muslim.
Kursus ini bukan sahaja memberi ilmu tetapi membina keyakinan diri, memperkukuh kefahaman agama serta menyemai kesedaran bahawa perjalanan mendalami Islam memerlukan bimbingan berterusan.
Slot ceramah pertama menampilkan Ustaz Muhammad Zulhilmi AhMat Limit selaku Tenaga Pengajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) yang membawakan tajuk Penghayatan Rukun Iman.
Tayangan video kebesaran ciptaan Allah menjadi pembuka bicara sebelum beliau menghuraikan enam rukun iman secara ringkas, padat dan mudah difahami. Kuiz interaktif melalui platform kahoot.it menceriakan suasana dan membolehkan penyampaian diukur secara serta-merta.
Pada sebelah malam, peserta mengikuti slot penting bertajuk Bersuci (Taharah) yang dikendalikan sendiri oleh Ustaz Jais Mariappan.
Beliau menerangkan konsep taharah merangkumi kebersihan fizikal dan kerohanian, pembahagian najis, kategori air, rukun dan syarat wuduk, mandi wajib serta keharusan tayammum.
Demonstrasi wuduk menggunakan air yang minimum membuka mata peserta bahawa ibadah boleh dilakukan secara tertib tanpa pembaziran.
Hari kedua memperlihatkan pengisian lebih mendalam khususnya dalam aspek kekeluargaan, pengurusan emosi, hubungan sosial serta latihan praktikal ibadah.
Menurut Ustaz Jais Mariappan, kursus hari kedua dirangka untuk membantu peserta memahami realiti kehidupan sebagai mualaf, terutama mereka yang berdepan cabaran penerimaan keluarga atau penyesuaian sosial.
Ruang interaksi terbuka membolehkan peserta berkongsi masalah dan mendapatkan bimbingan secara langsung.
Slot ceramah bertajuk Pengurusan Kekeluargaan Islam disampaikan oleh Ustazah Syahriah Yatim Mustafa, Pegawai Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Beliau menyentuh isu-isu emosi yang sering melanda mualaf seperti rasa kehilangan, tekanan keluarga atau dipulaukan. Namun, katanya, doa, kesabaran dan akhlak yang baik menjadi kunci meraih kembali kepercayaan keluarga.
Beliau turut menjelaskan kepentingan memahami personaliti melalui kaedah Personaliti Warna (IPW) yang membantu komunikasi berkesan dalam keluarga. Menerusi sesi yang sama, Ustazah Syahriah menjelaskan garis panduan asas prosedur perkahwinan termasuk peranan wali, borang dalam talian dan tempoh kelulusan.
Slot ceramah diteruskan oleh Ustazah Munirah Sayed Mohd Hamdan, Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan yang menghuraikan lima Rukun Islam sebagai asas pembentukan sahsiah Muslim.
Beliau menekankan kepentingan syahadah yang bukan sekadar lafaz tetapi menuntut keyakinan dan ketaatan, manakala solat pula menjadi tiang utama pembinaan disiplin dan kekuatan jiwa.
Puasa Ramadan, zakat dan haji turut diterangkan secara mendalam termasuk hikmah serta peranan sosial yang menyumbang kepada kesatuan umat. Penjelasan jelas, teratur dan dekat dengan realiti kehidupan memudahkan peserta menghayati nilai di sebalik setiap rukun.
Seterusnya, peserta mengikuti sesi praktikal solat dalam empat kumpulan bersama fasilitator. Mereka dibimbing mengenai pergerakan rukuk, sujud, tahiyat dan bacaan asas serta diperbetulkan kesilapan umum dalam solat.
Latihan praktikal wuduk dan mandi wajib yang sempurna turut diadakan di kawasan kolam hotel bagi memberi pengalaman sebenar kepada peserta.
Ketua Pegawai Eksekutif PERKIM Kebangsaan, YBhg. Dr Suariza @ Hidayah Muhammad turut hadir meninjau sesi praktikal wuduk dan mandi wajib sambil memberikan kata-kata semangat kepada peserta.
Di sebelah malam, suasana menjadi ceria menerusi aktiviti kuiz santai yang dikendalikan fasilitator bersama Urus Setia PERKIM Kebangsaan, Azura Abdul Rahman.
Permainan botol berisi soalan kuiz yang digilirkan bersama alunan muzik mencetuskan gelak tawa namun tetap berunsur pendidikan serta menguji pemahaman peserta.
Hari ketiga kursus bermula dengan ceramah motivasi dan sesi interaktif oleh Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg. Dato’ Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad.

Ceramah beliau memberi suntikan semangat yang kuat, menekankan bahawa Islam adalah agama yang sempurna, lengkap dan terpelihara.
Dato’ Nakhaie menjelaskan keistimewaan al-Quran sebagai kitab suci yang kekal terpelihara sejak lebih 1,400 tahun lalu.
Tidak seperti kitab-kitab terdahulu yang mengalami perubahan terjemahan atau kehilangan naskhah asal, al-Quran dipelihara melalui hafazan jutaan umat Islam di seluruh dunia. “Sekiranya seluruh mushaf dimusnahkan, al-Quran tetap dapat ditulis semula tanpa berubah walau satu huruf,” tegasnya.
Beliau turut membandingkan al-Quran dengan Bible yang mempunyai pelbagai versi terjemahan sehingga mengundang perbezaan tafsiran. Katanya, al-Quran sentiasa dirujuk kepada teks Arab asli bagi memastikan ketulenan isi kandungan sentiasa terpelihara.
Dato’ Nakhaie menekankan bahawa penghayatan al-Quran dan amalan ibadah seperti solat bukanlah sukar, tetapi memerlukan kesungguhan yang konsisten. Seperti tabiat menggosok gigi setiap hari, ibadah yang diamalkan secara tetap akan melahirkan disiplin dan ketenangan jiwa.
Dalam sesi santai, beliau turut menegaskan kepentingan menjaga kesihatan, adab makan, keseimbangan emosi dan pembentukan sahsiah. Islam, katanya, bukan sekadar ibadah tetapi merangkumi gaya hidup menyeluruh yang membawa kebahagiaan.
Urus Setia PERKIM Kebangsaan, Fatin Akmal Aksah diberi peluang untuk mengacara majlis perasmian penutup kursus diikuti dengan ucapan aluan Ustaz Jais Mariappan.
Beliau dalam ucapannya menzahirkan kesyukuran atas kelangsungan kursus yang dijalankan dalam beberapa bahasa dan disertai pelbagai kaum termasuk dari Borneo serta warga asing.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Kehormat PERKIM dan MAIWP atas sokongan yang memungkinkan program ini dijalankan secara tersusun.
Kursus tiga hari ini memberi fokus kepada latihan asas ibadah seperti wuduk, solat dan mandi wajib, terutama bagi mualaf yang belum memahami kaedah yang betul. Beliau menegaskan kepentingan mempelajari ilmu agama secara berterusan.
Naib Yang Dipertua PERKIM, Dato’ Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad dalam ucapan penutupnya mengingatkan bahawa perjalanan sebagai mualaf penuh cabaran dan memerlukan kekuatan iman serta tawakal.
Beliau menegaskan bahawa PERKIM, MAIWP dan institusi agama lain sentiasa komited memberikan sokongan kebajikan dan moral serta berharap peserta menyertai kelas mingguan di PERKIM.
Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan dan saguhati kepada peserta kursus serta hadiah hamper kepada pemenang kuiz sebelum bergambar dan menikmati jamuan dalam suasana ukhuwah.

Penyelaras program, Ustaz Jais Mariappan memimpin solat pada setiap kali masuknya waktu sembahyang.

Ustaz Zulhilmi menyampai slot ceramah Rukun Iman kepada peserta.

Ustaz Zulhilmi turut mengendalikan kuiz interaktif Rukun Iman menggunakan platform kahoot.it, membolehkan peserta menjawab melalui telefon pintar masing-masing.

Ustaz Jais Mariappan turut menyampaikan slot ceramah bertajuk Bersuci.

Menurutnya, bersuci merangkumi kebersihan fizikal dan kerohanian yang menjadi asas kepada iman seorang Muslim.

Ustaz Jais Mariappan menunjukkan demonstrasi praktikal wuduk dengan menggunakan kurang daripada sebotol air sebagai latihan kepada peserta.

Antara peserta wanita saudara baharu yang menyertai kursus di hotel ibu negara.

Charles Abdullah berbaju ungu memperkenalkan barisan fasilitator kepada peserta.

Antara peserta mualaf lelaki yang menyertai kursus selama tiga hari dua malam.

Ustazah Syahriah membuka tirai pada hari kedua dengan ceramah bertajuk Pengurusan Kekeluargaan Islam.

Salah seorang peserta menceritakan pengalaman memeluk Islam dalam sesi perkongsian bersama Ustazah Syahriah.

Ustazah Munirah menghuraikan kepentingan Rukun Islam sebagai tonggak utama pembentukan peribadi Muslim.

Jelas Ustazah Munirah, penyerapan rukun Islam dalam kehidupan akan melahirkan individu yang bertanggungjawab dan soleh.

Charles Abdullah membimbing peserta dalam praktikal solat ketika aktiviti latihan dalam kumpulan.

Ustazah Fatimah Ladda menunjukkan cara takbiratul ihram kepada peserta wanita.

Fatin Hamizah membimbing peserta melaksanakan tatacara rukuk dalam solat.

Ustaz Amran meminta peserta menurunkan badannya supaya mendapat rukuk yang sempurna.

Ustaz Jais Mariappan membimbing peserta membasuh muka ketika menjalani praktikal wuduk.

Peserta mualaf India turut tidak ketinggalan cuba menunjukkan cara wuduk yang sempurna.

Peserta menjalani latihan praktikal mandi wajib dibimbing oleh pemudah cara yang berpengalaman.

Peserta lelaki menunjukkan isyarat baik selepas selesai menjalani latihan praktikal wuduk.

Peserta wanita sedang melihat cara berwuduk dengan sempurna yang dibimbing oleh pemudah cara.

Charles menerangkan peserta lelaki cara mandi wajib ketika berada di dalam kolam renang.

Peserta wanita mandi di kolam renang selepas selesai menjalani latihan praktikal wuduk dan mandi wajib.

Dr Suariza selaku CEO PERKIM Kebangsaan tersenyum ketika melihat gelagat peserta bermain di kolam renang.

Peserta lelaki diberi peluang untuk berenang sepuas-puasnya di kolam renang.

Botol berisi soalan kuiz pengetahuan Islam diserahkan secara bergilir dari seorang peserta kepada peserta lain diiringi dengan alunan muzik.

Peserta lelaki menjawab kuiz pengetahuan Islam yang dipilih secara rawak olehnya.

Peserta wanita menjawab soalan kuiz pengetahuan Islam dengan mudah dan tepat.

Naib Yang Dipertua PERKIM, Dato’ Nakhaie menyampaikan ceramah motivasi dan sesi interaktif bersama peserta.

Dato’ Nakhaie turut menekankan bahawa Islam adalah agama yang lengkap, indah dan penuh hikmah.

Peserta kumpulan bersedia menjawab soalan kuiz yang dikemukan bagi penambahan markah.

Fatin Akmal menjadi juruacara majlis perasmian penutup.

Ustaz Jais Mariappan dalam ucapan aluannya berkata bahawa kursus tiga hari yang diadakan khusus kepada mualaf yang baru memeluk Islam dalam tempoh kurang lima tahun.

Dato’ Nakhaie dalam ucapan perasmian penutupnya mengharapkan agar semua peserta terus mencari ilm dan memanfaatkan bimbingan yang disediakan.

Beliau berharap agar peserta berusaha menjadi Muslim yang beriman, berilmu serta berakhlak mulia.

Dato’ Nakhaie menyampaikan sijil penyertaan dan saguhati kepada peserta wanita.

Peserta kursus saudara baharu menerima sijil penyertaan dan saguhati daripada Dato’ Nakhaie.

Dato’ Nakhaie menyampaikan hadiah tempat keempat kepada kumpulan 1.

Peserta kumpulan tiga menerima hamper tempat ketiga daripada Dato’ Nakhaie.

Dato Nakhaie menyerahkan hamper tempat kedua kepada kumpulan 2.

Peserta kumpulan 4 bergambar bersama Dato’ Nakhaie selepas menerima hamper tempat pertama.

Peserta Kursus Intensif Fardu Ain Saudara Baharu (Bahasa Melayu) bergambar kenang-kenangan bersama Dato’ Nakhaie, barisan fasilitator dan urus setia pada akhir kursus.



