Aktiviti Dakwah

Berbuka Puasa Arafah Bersama Pelajar As-Siddiqin, Chiang Rai

ᵒˡᵉʰ: ˢᴿᶻ

𝐂𝐇𝐈𝐀𝐍𝐆 𝐑𝐀𝐈, 𝟔 𝐉𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟓 – “Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana hari ini rombongan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan berpeluang berbuka puasa sunat Hari Arafah bersama 129 anak yatim, mualaf dan asnaf Yayasan As-Siddiqin,” kata Dato’ Haji Razali.



YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin
atau lebih mesra dipanggil Dato’ Razali yang juga selaku Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan berkata bahawa lawatan ini diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan merupakan sebahagian daripada Misi Jaulah Dakwah dan Korban PERKIM 2025 yang berlangsung dari 6 hingga 11 Jun 2025.

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Muslim Sejahtera Malaysia (Muszleem Malaysia) dan Jom Buat Baik, bagi menyantuni komuniti Islam di Chiang Rai serta menjalinkan hubungan erat dengan institusi kebajikan di Malaysia.

Menurut Dato’ Razali, sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Mae Fah Luang, Chiang Rai, rombongan PERKIM disambut oleh Pengasas Kumpulan FB Jom Buat Baik, Ustaz Azatul Ridzuan Hassan.

Mereka kemudiannya berkesempatan menunaikan solat di Masjid Darulaman, yang terletak di kawasan Wiang, daerah Mueang Chiang Rai.

Dato’ Razali menjelaskan bahawa Masjid Darulaman, juga dikenali sebagai Masjid Ban Haw, merupakan masjid utama bagi komuniti Islam tempatan yang bermazhab Sunni, khususnya dalam kalangan komuniti Chin Haw – iaitu Muslim berketurunan Hui dari Yunnan, China. Menurut sejarah, masjid tersebut telah dibina sekitar tahun 1907 hingga 1910 oleh sebelas orang pengasas Muslim dari China.

Majlis berbuka puasa bersama pelajar Yayasan As-Siddiqin berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah dengan hidangan seperti kambing masak kari, roti canai dan sup tulang disediakan untuk para tetamu dan pelajar Yayasan As-Siddiqin.

Mengulas mengenai puasa sunat Hari Arafah, Dato’ Razali menegaskan bahawa ia satu kelebihan besar kepada umat Islam.

Antaranya ialah penghapusan dosa selama dua tahun iaitu sebagaimana disebut dalam hadis riwayat Muslim yang bermaksud: “Puasa pada hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.”

Menurutnya lagi, program itu merupakan tahun ketiga penglibatan PERKIM dan beberapa organisasi bersama pelajar-pelajar Yayasan As-Siddiqin di mana ia diadakan setiap kali menjelang Hari Raya Korban.

Hadir sama Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah; Pegawai Kewangan PERKIM Kebangsaan, Mohd Aizat Rosli serta Sukarelawan PERKIM, YBhg Dr Ruslan Said.

Tambah beliau, majlis seperti ini secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim antara PERKIM dan pelajar-pelajar Yayasan As-Siddiqin, di samping membuka ruang untuk bertukar pandangan dan membincangkan isu-isu berkaitan masyarakat Islam, khususnya anak-anak yatim, mualaf dan mereka yang kurang bernasib baik.

Seusai berbuka, rombongan turut menunaikan solat Maghrib berjemaah dan menyertai laungan takbir Hari Raya Aidiladha di Masjid As-Siddiqin bersama masyarakat setempat.

Turut hadir dalam program ini ialah Mudir Yayasan As-Siddiqin, Ustaz Usman Che Mat; Pengusaha Bersama Yayasan As-Siddiqin, Roski Abdul Rahman.


Rombongan PERKIM tiba dari Kuala Lumpur ke Masjid Darulaman, yang terletak di kawasan Wiang, daerah Mueang, Chiang Rai untuk menunaikan solat jamak qasar.


Rombongan PERKIM tiba di Yayasan As-Siddiqin, Mae Pao, Phaya Mengrai yang menempatkan seramai 129 anak yatim, mualaf dan asnaf.


Yayasan As-Siddiqin atau dahulunya dikenali sebagai Rumah As-Siddiq berfungsi sebagai rumah anak yatim, pusat penyebaran dakwah dan pusat pengajian Islam di daerah Phaya Mengrai.


Pengunjung dari selatan Thai mengunjungi Yayasan As-Siddiqin untuk menyumbang tenaga, sukarela dan memberi makan kepada anak-anak As-Siddiqin.


Penduduk Islam kampung bergotong-royong menyiapkan juadah berbuka puasa.


Pengasas Kumpulan FB Jom Buat Baik, Ustaz Azatul Ridzuan Hassan (berbaju hijau) memimpin bacaan doa berbuka puasa sunat Arafah.


Anak-anak As-Siddiqin menjamu selera setelah tibanya waktu berbuka puasa.


Muslimat kampung tidak ketinggalan untuk berbuka puasa bersama-sama.


Roti canai, kuih muih dan buah-buahan antara menu berbuka puasa sunat Arafah.


Usai berbuka puasa, anak-anak As-Siddiqin menunaikan solat fardu Maghrib disusuli dengan takbir raya Aidiladha.


Anak-anak As-Siddiqin menjamu selera dengan hidangan makanan bersama keluarga mereka yang belum Islam.


Remaja As-Siddiqin menikmati hidangan kari daging bersama nasi bersama teman-temannya.


Dari usia 3 tahun Yayasan As-Siddiqin menerima anak-anak yatim atau anak-anak yang kurang bernasib baik untuk diberikan pendidikan Islam dan meneruskan kehidupan.


Kegembiraan terpancar pada wajah-wajah ahli keluarga yang dapat makan bersama-sama.


Anak-anak As-Siddiqin beratur untuk mengambil roti canai yang diinfakkan khas oleh pengunjung.


Ustaz A. Ridzuan Hassan (kanan) mempengerusikan mesyuarat Jaulah Dakwah dan Korban 2025 bagi agenda dan atur cara program bermula dari 6 hingga 11 Jun 2025.

Related Articles

Back to top button