Aktiviti Kebajikan

PERKIM Laksanakan Persiapan Program Bersama Komuniti Cina Di Alor Setar

ᵒˡᵉʰ : ᵁᴹᴵ ᴹᵁˢᶠᴵᴿᴬᴴ ᴬᴮᴰᵁᴸ ᴳᴴᴬᴺᴵ

𝐀𝐋𝐎𝐑 𝐒𝐄𝐓𝐀𝐑, 𝟓 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan melakukan persiapan bagi menjayakan Program Bersama Komuniti Masyarakat Cina yang akan berlangsung selama dua hari di sekitar bandar raya ini. Program tersebut diketuai oleh 𝐏𝐞𝐠𝐚𝐰𝐚𝐢 𝐔𝐧𝐢𝐭 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐝𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐦𝐛𝐚𝐧𝐠𝐮𝐧𝐚𝐧 𝐈𝐧𝐬𝐚𝐧 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌, 𝐄𝐧𝐜𝐢𝐤 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐅𝐚𝐫𝐡𝐚𝐧 𝐓𝐞𝐞 𝐛𝐢𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡.

Farhan Tee yang juga penyelaras utama program berkata, objektif utama penganjuran adalah untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat Islam dan Cina tempatan, khususnya golongan bukan Islam.

“Pendekatan yang digunakan adalah melalui dakwah bil hal, iaitu dakwah melalui perbuatan, akhlak dan amalan yang baik. Dengan cara ini, masyarakat bukan Islam akan lebih mudah memahami mesej sebenar Islam sebagai agama yang membawa rahmat dan kasih sayang,” katanya.

Antara pengisian program termasuk aktiviti menziarahi komuniti Cina di kawasan sekitar Alor Setar. Pasukan sukarelawan PERKIM bersama rakan kerjasama akan turun padang bertemu masyarakat tempatan, bertanya khabar serta menyampaikan sumbangan berupa hamper makanan yang telah dipersiapkan lebih awal.

Persiapan dilakukan termasuk pembelian hamper makanan yang akan diagihkan kepada penerima pada keesokan harinya. Sumbangan itu bukan sahaja melambangkan tanda ingatan, malah menjadi simbol keprihatinan masyarakat Islam terhadap jiran berlainan agama.

Selain itu, program turut menyasarkan lawatan ke beberapa rumah kebajikan yang menempatkan warga emas dan golongan kurang berkemampuan. Aktiviti ini diharap dapat memberi kegembiraan kepada mereka, di samping memperlihatkan Islam sebagai agama yang menekankan nilai keperihatinan sesama manusia.

Program secara berpusat akan diadakan hujung minggu ini di Dewan Masjid Jame’ Al-Shahab, Kepala Batas. Program itu dijangka menghimpunkan masyarakat Cina dari pelbagai lapisan umur untuk bersama-sama menyertai aktiviti yang telah diatur.

Antara pengisian utama ialah sesi kuiz yang dirancang bagi menarik perhatian peserta. Pendekatan ini akan menjadikan suasana lebih santai, mesra dan terbuka, selain memberi ruang kepada masyarakat Cina mengenali lebih dekat PERKIM.

Hadiah serta saguhati dalam bentuk barangan dan makanan telah dipilih dengan teliti agar sesuai dengan minat serta kegemaran masyarakat setempat.

“Kita mahu peserta merasa dihargai, disambut dengan mesra dan pulang dengan kenangan yang menggembirakan,” jelas Farhan Tee.

Program ini turut mendapat sokongan daripada MACMA Kedah yang memainkan peranan penting dalam menyelaraskan penyertaan masyarakat Cina Muslim. Mesyuarat bersama antara PERKIM dan MACMA telah diadakan bagi memastikan segala aspek logistik, pengurusan dan perjalanan program berjalan lancar.

Farhan Tee menegaskan bahawa misi utama program bukan sekadar memberi bantuan atau mengadakan aktiviti kemasyarakatan, sebaliknya sebagai satu usaha jangka panjang untuk memperlihatkan nilai-nilai Islam yang sejati.

“PERKIM percaya dakwah tidak semestinya melalui kata-kata semata-mata, tetapi boleh disampaikan melalui sikap, layanan dan kepedulian terhadap masyarakat. Inilah yang cuba kita terjemahkan melalui program ini,” katanya.

Dengan persiapan yang dijalankan, PERKIM yakin program yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat ini mampu memberikan impak positif bukan sahaja kepada masyarakat Cina tempatan, tetapi juga kepada masyarakat Islam sendiri dalam memupuk semangat perpaduan.

 


Urus setia dari PERKIM Kebangsaan dan MACMA Kedah bermesyuarat untuk persediaan program.

 


Puan Annysa Chong (kiri) dan Puan Shahira Loke (kanan) mewakili MACMA menyertai mesyuarat persediaan program.        

 


Urus setia menyusun air mineral dibeli untuk kegunaan program ke dalam van.

 


Ustaz Sulaiman memilih hadiah saguhati sesuai dengan kegemaran komuniti Cina.

 


Farhan Tee (kiri) dan Azrol (kanan) sedang memilih saguhati untuk diberikan kepada peserta program.

 


Syahirah Musa sedang melihat hadiah saguhati bersesuaian untuk diberikan kepada para peserta.

 

Related Articles

Back to top button