PERKIM Kebangsaan Terima Bendahari Kehormat Dan Penolong Setiausaha Agung Yang Baharu
Selaras dengan Perlembagaan PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Yang Dipertua PERKIM telah melantik YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun sebagai Bendahari Kehormat dan YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim sebagai Penolong Setiausaha Agung Kehormat yang baharu bagi sesi 2022-2025 bermula pada 1 September 2022.
YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun dilahirkan pada 22 Oktober 1938 di Sitiawan Perak, merupakan seorang sukarelawan PERKIM sejak lebih 25 tahun yang lalu. Beliau pernah menjawat pelbagai jawatan penting dalam kerajaan termasuk Timbalan Pengarah di Jabatan Penuntut Malaysia London dan yang terakhir sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Buku Teks Kementerian Pelajaran Malaysia.
Beliau juga pernah menyandang pelbagai jawatan dalam PERKIM Kebangsaan antaranya Pengarah Dakwah PERKIM, Pengarah International Da’wah Institute PERKIM-Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pengarah Unit Perhubungan Awam Dalam Dan Luar Negara.
Sumbangan beliau yang mengharumkan nama PERKIM dalam kerja-kerja kebajikan bukan sahaja di dalam Malaysia, malah beliau banyak membantu dalam pembangunan umat Islam diT Thailand, Vietnam, Indonesia dan Kemboja sehingga beliau dianugerahkan beberapa anugerah dan yang tertinggi ialah daripada Raja Kemboja iaitu Medal of MONYSARAPHOIN Level of MOHASEREIVOITH.
Beliau juga turut menyandang beberapa jawatan lain antaranya, Naib Pengerusi PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Pengerusi PERKIM Cawangan Bukit Damansara, Kuala Lumpur sejak tahun 2001 hingga sekarang Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid Saidina Umar Al Khattab Bukit Damansara Kuala Lumpur, Pengerusi Persatuan SAHABAT Pusat Perubatan Universiti Malaya Kuala Lumpur, dan Ahli Jawatankuasa ACCIN [Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs]
YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dilahirkan pada 27 Disember 1959 di Kg Sg Samak, Hutan Melintang, Teluk Intan, Perak merupakan Mantan Ketua Pengarah JAKIM. Beliau menamatkan perkhidmatan di JAKIM pada 27 Disember 2019.
Mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Izzuddin Shah Ipoh, dan Kolej Islam Kelang serta melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau mula berkhidmat di dalam sektor awam pada 31 Januari 1984 sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam. Berpengalaman berkhidmat dengan Kerajaan selama 32 tahun.
Pernah terlibat dengan program-program Dakwah dan kepimpinan kepada pelajar-pelajar Malaysia di London dan Australia, menjadi pemeriksa loji penyembelihan halal di luar Negara iaitu di Amerika Syarikat. Terlibat dengan program lawatan dakwah bil hal PERKIM ke China serta terlibat sebagai Jemaah Hakim Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarbangsa.
Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pentadbir Darul Quran, Kuala Kubu Baru dan Institut Kemahiran Islam Sarawak.
Mengikuti Kursus Leadership Programme di University Oxford, United Kingdom pada tahun 2013 dan mengikuti Kursus Pengurusan Penjawat-Penjawat Awam anjuran Razak School Of Government (RSOG) di Germany. Beliau juga pernah mewakili Malaysia dalam 17th Session Of The Working Group On The Universal Periodic Review Of The Human Rights Council pada 21 Oktober hingga 1 November 2013 di Geneva, Switzerland sebagai jurucakap rasmi Isu-isu Hak Asasi Manusia yang berkaitan dengan Hal Ehwal Ugama Islam.
Beliau turut melaksana pelbagai program dakwah, kebajikan dan pendidikan termasuk di Kemboja dan Vietnam melalui misi Ibadah Korban dan Projek Wakaf
Beliau juga turut menerima pelbagai anugerah dalam dan luar negara iaitu Pingat THEB DEN RANK daripada Royal Government of Cambodia Tahun 2012 daripada Perdana Menteri Hun Sen dan The BrandLaureate, World Halal Brand Leadership Award 2019 dalam bidang inovasi pengurusan Halal.
Terkini, beliau turut memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi sesi 2022-2025 dan Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI).