PERKIM Kebangsaan Hadir Majlis Graduasi Tadika Inovasi Cerdik, Ziarah Kebajikan Balu Bekas Pegawai Dakwah PERKIM Perak
𝐒𝐔𝐍𝐆𝐀𝐈 𝐒𝐈𝐏𝐔𝐓 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan terus memperkukuh hubungan muhibbah dan kerjasama harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk menerusi penyertaan sebagai tetamu khas pada Majlis Graduasi Kali Ke-12 Tadika Inovasi Cerdik yang berlangsung di Dewan V. Meenachi Sundram, Ladang Sungai Krudda, di sini baru-baru ini.
Kehadiran PERKIM Kebangsaan ke majlis tersebut adalah hasil hubungan baik yang terjalin susulan penganjuran Program Ziarah Muhibbah Masyarakat Majmuk India di Estet Kampung Padang Krudda pada 17 Oktober 2025 yang dilaksanakan melalui pendekatan dakwah bil hal serta interaksi berterusan bersama komuniti setempat.
Program terdahulu itu bukan sahaja berjaya merapatkan silaturahim, malah membuka ruang kerjasama yang positif antara PERKIM Kebangsaan dan masyarakat tempatan, sehingga komuniti Estet Kampung Padang Krudda menjemput PERKIM Kebangsaan sebagai tetamu kehormat bagi majlis pendidikan kanak-kanak yang berprestij tersebut.
Bagi memenuhi undangan berkenaan, PERKIM Kebangsaan telah menghantar rombongan seramai empat orang yang diketuai oleh 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐈𝐈, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐉𝐚𝐢𝐬 𝐌𝐚𝐫𝐢𝐚𝐩𝐩𝐚𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐛𝐞𝐫𝐬𝐚𝐦𝐚 𝐤𝐚𝐤𝐢𝐭𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧𝐧𝐲𝐚, 𝐑𝐨𝐡𝐚𝐢𝐳𝐚 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐓𝐚𝐧, 𝐅𝐚𝐭𝐢𝐧 𝐀𝐤𝐦𝐚𝐥 𝐀𝐤𝐬𝐚𝐡 𝐝𝐚𝐧 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐅𝐚𝐫𝐝𝐥𝐲 𝐉𝐨𝐡𝐚𝐧.
Hadir sama daripada PERKIM Bahagian Negeri Perak, Hani Waran G Ratnasamy dan Pengerusi Pertubuhan Informasi Islam Negeri Perak (PIIN), Ustaz Mohamad Noor PK Osman.
Rombongan tiba di Dewan V. Meenachi Sundram pada jam 5 petang dan disambut mesra oleh Ketua Kampung, Pandian Krishnan bersama penduduk setempat dalam suasana penuh muhibbah dan hormat-menghormati.
Majlis tersebut dikendalikan oleh 𝗚𝘂𝗿𝘂 𝗕𝗲𝘀𝗮𝗿 𝗣𝘂𝘀𝗮𝘁 𝗧𝗮𝗱𝗶𝗸𝗮 𝗜𝗻𝗼𝘃𝗮𝘀𝗶 𝗖𝗲𝗿𝗱𝗶𝗸, 𝗧𝗵𝗮𝗻𝗮𝗹𝗮𝘁𝗰𝗵𝘂𝗺𝗶 𝗦𝘂𝗽𝗽𝗮𝘆𝗮𝗵 selaku pengacara majlis dan disusuli dengan dengan ucapan aluan oleh 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗞𝗮𝗺𝗽𝘂𝗻𝗴 𝗘𝘀𝘁𝗲𝘁 𝗞𝗮𝗺𝗽𝘂𝗻𝗴 𝗣𝗮𝗱𝗮𝗻𝗴 𝗞𝗿𝘂𝗱𝗱𝗮, 𝗣𝗮𝗻𝗱𝗶𝗮𝗻 𝗞𝗿𝗶𝘀𝗵𝗻𝗮𝗻.
Pandian dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian PERKIM Kebangsaan menghadiri majlis berkenaan serta mengiktiraf peranan organisasi itu dalam membina hubungan harmoni antara agama dan budaya dalam masyarakat majmuk.
Sebagai tanda penghargaan dan simbol penghormatan, Pandian telah mengalungkan bunga malai kepada Ustaz Jais Mariappan dan Fatin Akmal Aksah, sekali gus mencerminkan penerimaan dan keakraban hubungan antara PERKIM Kebangsaan dan komuniti setempat.
Pada majlis sama, Ustaz Jais Mariappan Abdullah dan Fatin Akmal turut diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah dan sijil kepada para pelajar Pusat Tadika Inovasi Cerdik yang telah menamatkan sesi pembelajaran mereka, sekali gus menyuntik motivasi kepada kanak-kanak serta ibu bapa yang hadir.
Menurut Ustaz Jais Mariappan, majlis seperti ini bukan sahaja meraikan kejayaan awal anak-anak, malah menjadi bukti bahawa pendidikan dan nilai kemanusiaan mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Tambah beliau, PERKIM Kebangsaan amat menghargai hubungan harmoni yang terjalin bersama komuniti di sini dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan demi masa depan generasi akan datang.”
Majlis tersebut diakhiri dengan sesi bergambar bersama para pendidik, pemimpin masyarakat serta penduduk Estet Kampung Padang Krudda sebagai kenangan dan simbol kejayaan kerjasama rentas komuniti yang terjalin dengan baik.
Pada keesokan harinya, rombongan PERKIM Kebangsaan meneruskan agenda kebajikan di Buntong, Ipoh, Perak dengan menziarahi kediaman keluarga 𝗔𝗹𝗹𝗮𝗵𝘆𝗮𝗿𝗵𝗮𝗺 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗹𝗶 𝗔𝗖 𝗗𝗶𝗻, 𝗯𝗲𝗸𝗮𝘀 𝗣𝗲𝗴𝗮𝘄𝗮𝗶 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝗲𝗿𝗮𝗸 yang telah kembali ke rahmatullah pada 22 Disember 2025 lalu.
Ziarah tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan atas jasa, pengorbanan dan sumbangan besar Allahyarham dalam membimbing serta membantu golongan mualaf di Negeri Perak sepanjang khidmat beliau bersama PERKIM.
Dalam kunjungan itu, PERKIM Kebangsaan turut menyampaikan sumbangan kewangan bagi meringankan beban keluarga yang ditinggalkan.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ustaz Jais Mariappan mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg. Dato’ Dr. Mohamad Marzuki Mohamad Omar kepada 𝗯𝗮𝗹𝘂 𝗔𝗹𝗹𝗮𝗵𝘆𝗮𝗿𝗵𝗮𝗺, 𝗪𝗮𝗵𝗮 𝗠𝗮𝘁 𝗧𝗮𝗶𝘀.
Ziarah kebajikan itu berlangsung dalam suasana sederhana, penuh kekeluargaan dan diakhiri dengan jamuan ringan yang disediakan oleh keluarga Allahyarham, mencerminkan semangat ukhuwah dan keprihatinan yang terus menjadi teras perjuangan PERKIM Kebangsaan dalam mendekati serta menyantuni masyarakat.

Ustaz Jais Mariappan menerima plak dan cenderahati daripada Pandian sebagai menghargai kehadiran PERKIM Kebangsaan sebagai tetamu khas.

Rombongan PERKIM di jemput ke pentas utama untuk bersama-sama menyampaikan sijil dan hadiah kepada murid-murid Tadika Inovasi Cerdik.
|
Ustaz Jais Mariappan menyampaikan hadiah kepada murid Tadika Inovasi Cerdik yang berjaya dalam peperiksaan akhir tahun.

Fatin Akmal menyampaikan hadiah dan sijil kepada murid yang telah menamatkan pembelajaran di Tadika Inovasi Cerdik.

Fatin Akmal bergambar bersama ahli keluarga dan murid-murid yang telah berjaya dalam aktiviti semasa sesi prasekolah mereka.

Wakil PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Bahagian Negeri Perak serta ketua penduduk bergambar bersama pelajar yang telah menamatkan sesi prasekolah 2025.

Rombongan PERKIM Kebangsaan bersama PERKIM Perak telah menziarahi kediaman Allahyarham Ustaz Haji Ali AC Din di Buntong, Ipoh, Perak baru-baru ini.

Ustaz Jais Mariappan mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham, Waha Mat Tais bersama anak lelakinya.



