Aktiviti DakwahKerjasama

PERKIM, JAIS Anjur Wacana Dakwah Bersama Masyarakat Sabak Bernam

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada kaum yang kafir.” (al-Maidah: 67). 

Baru-baru ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Perkim Bahagian Negeri Selangor dan Perkim Cawangan Sabak Bernam menganjurkan ‘Program Wacana Integrasi Dakwah Perkim Bersama Pemimpin Masyarakat’ bertempat di Hay Resort, Jalan Taman, Sabak Bernam, Selangor pada 22 hingga 23 Februari 2014 lalu.

Program tersebut disertai 70 peserta yang terdiri daripada ketua kampung, nazir masjid, ahli jawatankuasa surau dan masjid, pelajar maahad tahfiz, bakal pendakwah serta masyarakat setempat.


yusoffPenyelaras Program, Ustaz Mohd. Yusoff Ahmad berkata, program tersebut diadakan bertujuan untuk memperkenalkan peranan Perkim dan Jais kepada peserta dengan lebih dekat.“Selain itu ianya memupuk jalinan silaturahim dan ikatan ukhwah di antara Perkim dan masyarakat,” katanya.

“Program tersebut memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang kegiatan dakwah yang telah dan sedang dijalankan oleh Perkim dan Jais,” ujar Mohd. Yusoff selaku Pegawai Dakwah Perkim Bahagian Negeri Selangor.

Jelasnya, program itu turut membentangkan kaedah penyampaian dakwah secara berkesan serta memasyarakatkan Perkim dan masyarakat setempat agar mudah untuk menggerakkan kerja-kerja dakwah.

Slot ceramah bertajuk ‘Fungsi dan Peranan Perkim’ disampaikan oleh Penolong Penyelaras Program, Amran Abdullah dan Pegawai Dakwah dan Inovasi, Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Amran dan Farhan turut memberikan penjelasan kepada peserta mengenai latar belakang Perkim, misi, visi, organisasi, prosedur pengislaman, program dakwah, kebajikan, pendidikan, Saudara Muslim, Majlis Permuafakatan Kelab Perkim Universiti (Mampu), Sahabat Perkim dan lain-lain melalui persembahan multimedia.

nakhaieNaib Yang Dipertua Perkim 4, Datuk Hj Mohd. Nakhaie Hj Ahmad membentangkan tajuk “Cabaran Terhadap Umat Islam Masa Kini”.

Beliau dalam pembentangannya berkata, cabaran pada diri sendiri ialah akal dan nafsu. Sekiranya diri kita dikawal oleh nafsu, mereka akan menjadi golongan yang melakukan kejahatan dan ingkar manakala jika diri mereka dikuasai oleh akal dengan petunjuk Allah SWT beserta jihad atau usaha, mereka akan tergolong di kalangan orang yang beriman.

“Apabila kita dapat mengalahkan nafsu dengan kekuatan akal kita, maka kita menghasilkan satu jiwa yang tenang iaitu jiwa mutmainnah,” kata Mohd. Nakhaie yang juga Pengerusi Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan.

“Kita mestilah mempertahankan diri, membina benteng kekuatan untuk menegakkan kebenaran dan menguatkan iman sekali gus melahirkan jiwa yang tenang,” ujarnya.

“Cabaran yang paling besar ialah berhadapan dengan golongan Kristian, Yahudi, Liberal dan Komunis,” kata beliau sambil memetik Surah al-Baqarah, ayat 120: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”.

“Janganlah terperangkap dengan rancangan halus Islam Liberal dan janganlah tinggalkan al-Quran dan Sunnah serta para ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah,” pesan Mohd. Nakhaie.

Jelasnya, umat Islam perlu bijak menangkis cabaran dan rintangan yang boleh merosakkan akidah secara senyap seperti fahaman liberalisme, pluralisme, sekularisme dan sosialisme.

Walaupun di Amerika Syarikat majoritinya penganut Kristian, tetapi pemerintahan negara tersebut dikuasai oleh orang Yahudi.

Cabaran paling besar ialah di dalam diri kita iaitu pengawalan nafsu dan setiap orang perlu membina kekuatan dalaman. Jika dalaman diri tidak teguh, ianya mudah dipengaruh.

Cabaran di luar seperti kewangan, ekonomi dan politik merupakan cabaran yang hebat tetapi cabaran dalaman merupakan cabaran yang paling besar dan ianya perlu dielak dari diruntuhkan atau tergadai.

Kesedaran politik dicetuskan oleh pemimpin-pemimpin Islam seperti Syeikh Muhammad Abduh, Jamal Addin al-Afghani dan Amir Shakib Arsalan yang memperjuangkan kebangkitan Islam untuk memerdekakan negara Islam apabila mereka dizalimi lebih 400 tahun oleh penjajah.

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (al-Hujurat: 10)

Kalau umat Islam tiada kekuatan jiwa, dalaman diri tidak betul, tiada keikhlasan, kejujuran makin luntur dan tidak menguasai ilmu maka umat Islam akan menjadi lemah dan makin bertambah lemah jika tidak ada perpaduan atau tidak bersatu.

Di dalam landasan ibadat terdapat tanda-tanda peningkatan iaitu kefahaman ilmu, amalan-amalan dan keimanan kerana tujuan kita diciptakan adalah untuk beribadah kepada-Nya.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (al-Anfal: 2)

Orang Islam di Turki menghayati ajaran Islam dalam lingkungan adat semata-mata dan tidak bergerak menuju kepada ibadat yang menyebabkan keruntuhan Islam yang terbesar.

Pendekatan dakwah di dalam politik ialah mengislamkan kuasa iaitu mengajak orang yang berkuasa seperti menteri, wakil rakyat, pihak pembangkang, kakitangan kerajaan dan rakyat berada di atas landasan beribadah kepada Allah.

Beliau memetik kata-kata jihad Rab’ie bin Amir iaitu sahabat Rasulullah SAW apabila bertemu Panglima Parsi bernama Rustum dalam perang Qadisiyah: “Kami diutuskan oleh Allah SWT adalah untuk mengeluarkan manusia daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah Taala. Kami diutus untuk membebaskan manusia daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam.”

zaki-arshadTimbalan Pengarah Jais, Ustaz Hj Mohd. Zaki Arshad turut menyampaikan slot ceramah bertajuk ‘Kerjasama Dakwah di antara Jais dan Perkim’ kepada peserta.

Mohd. Zaki dalam ceramahnya berkata, kerana cintanya beliau kepada Perkim, beliau hadir untuk berkongsi pengalamannya bersama peserta.

“Perkim merupakan organisasi Islam yang terawal dalam mengambil tanggungjawab dan peranan terhadap Saudara Muslim khususnya yang memeluk Islam di negeri Selangor,” jelasnya.

“Saya mencadangkan di bawah zakat adanya asnaf mualaf supaya bantuan dapat disalurkan kepada Saudara Muslim seperti bantuan perkahwinan, persekolahan, berkhatan dan pelbagai lagi,” kata beliau yang menjawat sebagai Penolong Pengarah Baitulmal Zakat Negeri Selangor di Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada tahun 1983.

Pada tahun 1986 pula, beliau menyusun asnaf zakat ini sehingga kepada sebelas pecahan dan diterima oleh Mais. Asnaf tersebut telah dilaksanakan sehingga ke hari ini.

“Kita juga ada menghantar pelajar-pelajar dari Sabah dan membawanya ke Semenanjung Malaysia untuk mengikuti kursus dan latihan yang diberikan bertempat di Institut Dakwah Islamiah Perkim (Idip), Pengkalan Chepa, Kelantan dan antara yang berjaya ialah Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah,” ujar Mohd. Zaki.

“Ini adalah di antara penglibatan saya bersama Perkim dalam meningkatkan kualiti saudara baru secara langsung ataupun secara tak langsung,” jelasnya.

Akrabnya beliau kepada Saudara Muslim, beliau telah berjaya membuat pelbagai program khas dan aktiviti Saudara Baru selama tiga tahun sehingga pusat tersebut menjadi masjid pada tahun 1994 ketika beliau ditempatkan di Pusat Dakwah.

Berdasarkan pengalaman beliau ketika menyandang jawatan Pengarah Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Sarawak, beliau merentasi sungai, mendaki bukit, menuruni lurah untuk mendekati Saudara Muslim dan membina lima buah surau tambahan daripada 40 buah surau yang ditinjaunya.

Pengalaman yang tidak boleh dilupakan bersama Saudara Muslim ialah ketika waktu berbuka puasa bersama mereka di mana juadah berbuka dibawa dari Kuching dengan menaiki kenderaan sehingga dua jam, kemudian kami bertarawih, moreh dan membimbing mereka dengan kelas Fardu Ain sehingga larut malam berbekalkan mesin penjana kuasa sekiranya tiada bekalan elektrik.

Berbeza pula pengalaman Mohd. Zaki ketika berada di Sabah pada tahun 2011, mereka memeluk Islam secara berkelompok berbanding di Sarawak yang memeluk hanya beberapa orang sahaja. Apabila satu kampung mengucap dua kalimah syahadah ketika di Sabah, mereka mengekalkannya sehingga 20 ke 30 tahun dan kita kekurangan tenaga pengajar ilmu agama.

Mohd. Zaki turut menyarankan masjid dan surau turut membantu Saudara Muslim serta mengesan tempat tinggal mereka sekali gus melibatkan mereka dengan aktiviti masjid dan surau sebagai kariah. Program seperti ini juga dapat membantu masyarakat Islam supaya prihatin dengan Saudara Muslim di kawasan mereka.

“Selain daripada tabung khairat kematian di surau atau masjid, perlu juga diwujudkan tabung khairat kebajikan bagi membantu anak yatim, fakir miskin, mualaf dan menampung keperluan lain seperti keperluan permulaan persekolahan, perubatan dan lain-lain lagi.

Jelasnya lagi, Jais menyalurkan peruntukan kepada Perkim Bahagian Negeri Selangor dan organisasi Islam yang lain melalui Pusat Zakat Selangor (PZS) di mana peruntukan bagi Saudara Muslim adalah sebanyak RM 40 juta sehingga RM 70 juta diperuntukkan kepada mereka berbanding dahulu sebanyak RM 400 ribu sahaja.Antara usaha yang perlu diteruskan kepada Saudara Muslim ialah mengedarkan bahan bacaan yang dicetak seperti buku berkaitan ajaran sesat yang telah difatwakan haram dan syiah sebagai panduan kepada mualaf atau orang ramai.

Setiausaha Kehormat Perkim Cawangan Sabak Bernam, Dr. Mohd. Hisham Surgi turut membentangkan tajuk ‘Cabaran dan Kerjasama Dalam Penyampaian Dakwah Masa Kini’.Dr Hisham dalam pembentangannya turut mempamerkan usaha-usaha dakwah, kebajikan dan pendidikan yang dilaksanakan serta mendapat perhatian masyarakat dan media.Beliau menceritakan kisah suka duka dan pahit getir serta keprihatinannya terhadap Saudara Muslim di Sabak Bernam.

Program tersebut turut mengadakan solat fardu berjemaah, latihan dalam kumpulan (LDK), persembahan kumpulan, sesi soal jawab dan kuliah selepas solat.Bagi mencambahkan lagi ilmu peserta dengan mini forum bertajuk ‘Persiapan Sebagai Seorang Pendakwah’ dipengerusikan oleh Muhammad Farhan Tee Abdullah serta ahli panelnya ialah Ustaz Ghazali Omar selaku guru agama dan Ustaz Muhammad Fitri Abdullah selaku pendakwah bebas.

zainal-abidinPengarah Dakwah dan Inovasi Perkim, Datuk Zainal Abidin Ab Kadir turut merasmikan penutupan program dan menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta.

Zainal Abidin dalam ucapan berkata, umat Islam yang telah diperintahkan oleh Allah untuk menjaga agamanya dan sebagai pemerintah kita yang sepatutnya menguasai dunia pada hari ini yang menegakkan keadilan dan menentukan kesejahteraan umat seluruh dunia.

“Jika kita tidak berusaha menghadapi cabaran, Allah SWT akan menurunkan musibah seperti mana yang terjadi kepada negara lain tanpa kita sedari. Kita perlu bangkit bersama untuk menjaga umat Islam, agama Allah, nama Rasullullah dan negara Islam daripada dihancurkan,” ulas Zainal Abidin.

“Saya sungguh berasa bangga kerana di Sabak Bernam ini kita mempunyai ramai tokoh-tokoh agama dan pemimpin-pemimpin yang bersama-sama menggerakan usaha dakwah kepada masyarakat Islam atau bukan Islam serta mempertahankan Islam dan agama Allah,” katanya.

Terdapat banyak cadangan dan perancangan yang akan dilaksanakan dan disumbangkan ke arah mencapai matlamat mempertahankan umat Islam dan melahirkan umat Islam seperti yang terdapat di dalam Surah ali-Imran, ayat 110: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”.

Turut hadir, Pengerusi Perkim Cawangan Sabak Bernam, Hj. Jemari Ngarif.

01
Dr Hisham Surgi memberikan taklimat kepada peserta.

02
Antara peserta yang terlibat di dalam program tersebut.

05
Ustaz Amran menyampaikan slot ceramah bertajuk ‘Fungsi dan Peranan Perkim’ kepada peserta.

06
‘Fungsi dan Peranan Perkim’ merupakan slot ceramah yang disampaikan oleh Farhan.

07
Peserta mendengar ceramah yang disampaikan.

08
Datuk Nakhaie menyampaikan ceramah bertajuk ‘Cabaran Umat Islam Masa Kini’.

09
Hj Jemari (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Datuk Nakhaie (kiri).

10
Peserta bersama-sama menyumbang idea dalam sesi latihan dalam kumpulan.

11
Peserta membuat tugasan yang diberikan di dalam sesi LDK.

13
Muslimat turut juga memberikan pandangan di dalam sesi LDK.

14
Peserta menyiapkan tugasan yang diberikan untuk dipersembahkan.

15
Peserta melontarkan pandangan bagi menyiapkan tugasan yang diberikan.

16
Antara peserta mewakili kumpulan dalam sesi pembentangan.

17
Peserta menunaikan solat fardu berjemaah.

18
Hj Jemari menyampaikan kuliah selepas solat kepada peserta.

19
Peserta mendengar kuliah yang disampaikan.

21
Hj. Zaki menyampaikan slot ceramahnya bertajuk ‘Kerjasama Di Antara JAIS dan Perkim’ kepada peserta.

22
Peserta tekun mendengar ceramah yang disampaikan.

23
Datuk Zainal Abidin (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Hj Zaki (kiri).

24
Dr Hisham Surgi menyampaikan slot ceramahnya bertajuk ‘Cabaran dan Kerjasama Dalam Penyampaian Dakwah Masa Kini’ kepada peserta.

25
mini forum bertajuk ‘Persiapan Sebagai Seorang Pendakwah’ dipengerusikan oleh Farhan Tee (kiri) serta ahli panelnya ialah Ustaz Ghazali (tengah) dan Ustaz Muhammad Fitri (kanan).

26
Peserta mengaminkan doa yang dibacakan ketika bermulanya majlis perasmian penutup.

27
Datuk Zainal menyampaikan ucapan perasmian penutup kepada peserta.

28
Datuk Zainal (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil peserta, Dr Hisham (kanan).

29
Peserta bergambar kenang-kenangan di akhir program

LAGI GAMBAR PROGRAM>>>

 

Related Articles

Back to top button