Aktiviti Kebajikan

PERKIM Hadir Solat Jenazah Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Mantan Yang Dipertua PERKIM

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 21 FEBRUARI 2024 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah menghadiri solat jenazah mantan Yang Dipertua PERKIM keenam, Allahyarham Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud di Masjid Negara pada jam 10.24 pagi.

Jenazah Allahyarham sebelum itu dibawa dari hospital swasta, Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) tiba di Masjid Negara pada 9.30 pagi untuk dimandi dan dikafankan.

Setelah selesai dikafankan, jenazah Allahyarham dibawa oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan penuh istiadat ke Dewan Solat Masjid Negara untuk disembahyangkan.

Mengiringi jenazah adalah isteri bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, YABhg Toh Puan Raghad Kurdi Taib; anak Allahyarham yang juga Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Hajah Hanifah Hajar Taib Alsree dan keluarga.

Turut mengiringi, Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin dan Pengarah Komunikasi dan Media PERKIM Kebangsaan, Firdaus Lokman Tah.

Solat jenazah kemudiannya dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni turut disertai Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Polis Negara, YBhg Tan Sri Razarudin Husain serta kira-kira 100 hadirin terdiri daripada ahli keluarga, waris dan sahabat handai.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Dewan Syarahan Utama Masjid Negara untuk ahli keluarga dan rakan-rakan memberi penghormatan terakhir sebelum dibawa pulang ke Sarawak.

Suasana hiba menyelebungi keluarga dan sanak-saudara yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham yang juga merupakan bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor turut hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Kata Dr Yusof Noor, walaupun sibuk mentadbir dan memimpin kerajaan negeri Sarawak ketika menyandang jawatan Ketua Menteri Sarawak dari 1981 hingga 2014, Allahyarham turut memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memartabatkan syiar Islam khususnya di PERKIM ketika menyandang jawatan Yang Dipertua PERKIM keenam pada tahun 1989 hingga 2006.

Tambahnya, Allahyarham bersama isterinya terdahulu, Allahyarham Datuk Patinggi Puan Sri Hajah Laila Taib selaku Ketua Wanita PERKIM telah banyak menabur bakti dan berjasa dalam pengurusan hal ehwal dakwah, kebajikan dan pendidikan PERKIM serta menyuntik dana bagi usaha-usaha kebajikan PERKIM khususnya kepada saudara baru wanita, asnaf, orang Islam yang memerlukan.

Dr Yusof Noor turut merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Allahyarham kerana peranannya sebagai Yang Dipertua PERKIM keenam dalam usaha dan insentif melebarkan sayap Islam khususnya menerusi PERKIM dan amnya di negeri Sarawak.

Beliau berharap jalinan hubungan baik di antara PERKIM dengan kerajaan Negeri Sarawak akan diteruskan bagi mengembang syiar Islam di masa hadapan.

Jelas beliau, PERKIM turut merasai kehilangan negarawan yang besar buat negara dan segala jasa serta baktinya akan sentiasa terpahat di dalam lipatan sejarah negara.

Dr Yusof Noor berkesempatan bertemu dan merakamkan ucapan takziah kepada Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Sarawak, YB Datuk Hajah Hanifah Hajar Taib Alsree di atas pemergian bapanya yang tercinta.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Dr Yusof Noor turut menurunkan tandatangan dan menulis ucapan pada buku yang disediakan sambil diperhatikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkesempatan bertemu Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg Dato’ Hakimah Mohd Yusoff di akhir ziarah.

Allahyarham dijangka dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, di Subang untuk diterbangkan ke Kuching, Sarawak pada 1 tengah hari.


Jenazah Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud tiba di perkarangan Masjid Negara.


Jenazah Allahyarham dibawa ke Dewan Solat Masjid Negara untuk disembahyangkan.


Kelihatan isteri Allahyarham, YABhg Toh Puan Raghad Kurdi Taib (berselendang putih) dan anak Allahyarham, YB Dato’ Hajah Hanifah Hajar Taib Alsree (kanan) mengiringi jenazah.


Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni memberikan tatacara solat jenazah kepada jemaah.


Solat jenazah ke atas Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Masjid Negara.


Selepas jenazah disolatkan, kemudian imam memimpin bacaan doa.


Suasana sedih dan pilu menyelebungi keluarga dan sanak-saudara ketika imam membacakan doa.


Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Fadillah Yusof turut mengiringi jenazah Allahyarham ke Dewan Syarahan Utama Masjid Negara.


Angkatan Tentera Malaysia membawa jenazah ke Dewan Syarahan Utama Masjid Negara untuk memberi peluang kepada ahli keluarga, sahabat handai dan orang ramai penghormatan terakhir.


Anggota ATM membawa jenazah dengan penuh istiadat.


Imam-imam Masjid Negara mengalukan bacaan ayat suci Al-Quran Al-Karim untuk dihadiahkan kepada Allahyarham.


Dr Yusof Noor berdoa dan menghadiahkan al-Fatihah kepada mantan Yang Dipertua PERKIM keenam, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.


Dr Yusof Noor berkesempatan bersalaman dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.


Dr Yusof Noor berkesempatan menurunkan tandatangan dan ucapan takziah pada buku disediakan sambil diperhatikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Fadillah Yusof.


Tan Sri Setiausaha Agung PERKIM berkesempatan bertemu Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg Dato’ Hakimah Mohd Yusoff.


Dr Yusof Noor merakamkan ucapan takziah kepada anak Allahyarham, YB Dato’ Hajah Hanifah Hajar Taib Alsree yang juga Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Sarawak.

Related Articles

Back to top button