PERKIM Anjur Program Tingkat Profesionalisme Pengajar Islam Zon Timur
oleh: NUR SYAHIRAH MUSA
KHAMIS, 14 SEPTEMBER 2022 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah menganjurkan Program Peningkatan Profesionalisme Pengajar Pendidikan Islam PERKIM Bahagian-Bahagian Zon Timur bertempat di Hotel Mega View, Kuantan, Pahang pada 12 hingga 14 September lalu.
Program yang mendapat kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Pahang dan Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Islam (IPG KPI) Bangi itu menghimpunkan seramai 30 orang yang terdiri daripada guru-guru kelas PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, PERKIM Bahagian Negeri Terengganu dan PERKIM Pahang.
Program itu bertujuan peserta dapat mengetahui teknik mengajar matapelajaran seperti Sirah, Akidah, Akhlak dan al-Quran.
Selain itu peserta juga diberi tunjuk ajar dan cara mengajar menggunakan buku teks Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan terbitan PERKIM Kebangsaan sendiri sekali gus memahami teknik-teknik pengurusan kelas yang berkesan.
Program selama tiga hari dua malam itu dibimbing oleh pensyarah-pensyarah daripada IPG KPI yang diketuai oleh YBhg Dr Paharudin Arbain, Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral dengan penuh komited.
Pensyarah IPG KPI yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan komitmen ialah Dr Farah Ilyani Zakaria, Faridon Baharim, Maryati Mohd Amin serta Rabihah Mohd Ghazali.
Majlis diserikan lagi dengan ucapan perasmian penutup oleh YBhg Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan.
Tan Sri SUA dalam ucapannya berkata, program itu sebenarnya telah diatur lama semenjak dua tahun lalu, tetapi tergendala akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara.
Katanya, PERKIM telah melaksanakan program tersebut dibahagikan mengikut peringkat zon iaitu zon utara melibatkan PERKIM Bahagian Negeri Kedah, PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang dan PERKIM Bahagian Negeri Perlis bertempat di Alor Setar, Kedah.
Manakala zon selatan yang melibatkan PERKIM Bahagian Negeri Johor, PERKIM Bahagian Negeri Melaka dan PERKIM Bahagian Negeri Sembilan telah dilaksanakan di Melaka.
Kini kita melaksanakan di zon timur yang mendapat kerjasama yang amat padu dengan pihak IPG KPI, Bangi.
Jelasnya, IPG KPI membantu para pendidik atau pengajar kelas-kelas PERKIM mengenalpasti teknik dan pedagogi yang betul serta tepat khususnya kepada saudara baru.
Tan Sri Dr Yusof Noor berharap, PERKIM akan menjadi pusat maklumat tentang saudara baru (one stop center).
Pihak IPG KPI juga dalam proses menyiapkan pedagogi khusus untuk saudara baru dengan bantuan PERKIM Kebangsaan.
Kita dah ada modul khusus untuk kelas-kelas PERKIM yang dibuat dengan kerjasama pihak-pihak berkepentingan lain.
Tambah Dr Yusof Noor lagi, dengan adanya program itu ia memperkemaskan lagi dalam penyampaian modul-modul tersebut.
Diharap program tersebut meningkatkan kredibiliti tenaga pengajar kelas PERKIM dalam meningkatkan pembangunan ilmu dan pengetahuan para mualaf seiring dengan tugas dakwah yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Pengerusi Bahagian Negeri Terengganu merangkap Naib Yang Dipertua, YBhg Prof Dr. Ramle Abdullah; Pengerusi Bahagian Negeri Pahang merangkap Ahli Majlis Kebangsaan, YB Dato Seri Hasan Arifin; Bendahari Kehormat, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun, Setiausaha Kerja (Pentadbiran dan Program), Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja (Bahagian dan Cawangan) , Zulkefli Arifin dan Setiausaha Kehormat Bahagian Negeri Kelantan, Haji Mohamad Nazir Che Ibrahim,.
Tan Sri SUA berkesempatan menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta di akhir majlis.