Penebar Roti Canai Lafaz Kalimah Syahadah
KUALA LUMPUR, 19 JUN 2023 – Hidayah seorang penebar roti canai, Anwar Raja selepas melafazkan dua kalimah syahadah di Bilik Hidayah, Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, Jalan Sultan Azlan Shah pada pagi Isnin.
Anwar Raja atau nama asalnya Selvaraj Ghandi melafazkan kalimah toyyibah itu di hadapan Pegawai Unit Pembangunan Dakwah dan Operasi PERKIM Kebangsaan, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong dan disaksikan oleh sahabatnya, Jamaluddin Ibrahim.
Anwar Raja, 45 yang berasal dari Tamil Nadu, India telah bermastautin selama 20 tahun di Malaysia dan kini beliau bekerja sebagai penebar roti canai di sebuah restoran mamak di Sri Serdang, Selangor selama beberapa tahun di mana sebelumnya beliau bekerja sebagai tukang kebun.
Menurut Anwar yang fasih berbahasa Melayu, beliau telah lama menyimpan hasrat untuk memeluk Islam kerana hatinya telah terpaut dengan ajaran agama Islam.
Hatinya bertambah tenang selepas memeluk Islam kerana telah lama beliau menunggu saat-saat itu sehingga sahabatnya membawa ke PERKIM Kebangsaan untuk disyahadah dan didaftarkan.
Seusai Anwar melafazkan syahadah dan pengertian dalam Bahasa Tamil, Sulaiman pula memberikan penerangan kepada Anwar pengertian Rukun Islam, Rukun Iman, tugas dan kewajipan sebagai seorang Islam.
Sulaiman juga memberikan penerangan kepada Anwar berkenaan tanggungjawab beliau terhadap keluarga bukan Islam serta kesan-kesan selepas pengislaman seperti larangan menyembah selain Allah dan larangan membuat perkara yang ditegah dalam Islam.
Di akhir majlis, Sulaiman menyampaikan senaskah Al-Quran Edisi Khas Saudara Baharu dan Beg Pengislaman Majlis Agama Islam Selangor yang mengandungi kit pengislaman seperti sejadah, buku fardu ain, iqra dan lain-lain kepada Anwar.
Sulaiman turut menyarankan Anwar mendalami ajaran Islam dengan menyertai Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan yang diadakan pada setiap hari di Bangunan PERKIM.
Sulaiman Ding memberi penerangan kepada Anwar Raja sambil turut didengari oleh Jamaluddin.
Anwar Raja berasa sangat gembira sebelum diislamkan.
Anwar Raja melafazkan dua kalimah syahadah dalam Bahasa Arab diikuti maksudnya dalam Bahasa Tamil.
Sulaiman Ding menyampaikan penerangan memeluk agama Islam kepada Anwar Raja.
Sulaiman Ding menyampaikan senaskah al-Quran Edisi Khas Saudara Baharu kepada Anwar Raja.
Anwar Raja menerima beg mengandungi kit pengislaman dan risalah Islam daripada Sulaiman Ding.