Aktiviti Dakwah

Dakwah Tanggungjawab Kita – Dato’ Wan Mohamad

KUALA LUMPUR, 23 JUN 2023 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah menganjurkan Siri Kuliah Dakwah Perdana (SKOP) bertempat di Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), Jalan Sultan Azlan Shah, ibu negara.

SKOP merupakan siri kuliah perdana yang diadakan pada hari Jumaat minggu terakhir setiap bulan yang disampaikan oleh tokoh ilmuan semasa.

Siri keempat ini PERKIM mengundang khas Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), YBhg Dato’ Wan Mohamad Dato Sheikh Abd Aziz untuk berkongsi bersama para peserta mengenai tajuk Realiti Dalam Berdakwah.

Siri kuliah itu telah dihadiri seramai lebih 70 orang terdiri daripada kakitangan PERKIM Kebangsaan, IDIP-KL, Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE), PERKIM Cawangan Selayang Baru, PERKIM Cawangan Tasik Putri Rawang, PERKIM Cawangan Nilai, Majlis Dakwah Islam Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) dan Pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK).


Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor
dalam ucapan aluannya berkata, Dato Wan merupakan satu-satunya Mantan Ketua Pengarah JAKIM yang ditempatkan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Katanya, IKIM merupakan sebuah institut Islam di dalam Malaysia dekat dengan hati mereka yang melihat dan mengikuti perkembangan Islam di Malaysia kerana ia berasal daripada gagasan yang telah dibincangkan oleh kabinet suatu masa dahulu.

Menurut Dr Yusof Noor, IKIM ditubuhkan khusus untuk menghargai pemikiran Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi memperkenalkan pelbagai usaha untuk memperlihatkan Islam itu sebagai agama universal serta Islam adalah agama yang dekat dengan rakyat Malaysia.

Usaha dakwah yang dibuat oleh PERKIM ini adalah untuk memberi kefahaman Islam yang lebih mendalam kepada penganutnya yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Di dalam al-Quran tidak ada disebut ayat “Wahai orang Islam” tetapi terdapat 89 kali disebut “Wahai orang-orang beriman” manakala terdapat 20 kali disebut “Wahai manusia.”

Cabaran kita ialah bagaimanakah hendak menebalkan keimanan yang kuat?


YBhg Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abd Aziz
dalam kuliahnya menyeru hadirin melaksanakan kerja dakwah dengan penuh kebijaksanaan dengan mengajak orang kepada Islam sama ada Muslim atau non-Muslim.

Antara tugas utama pendakwah ialah mengajak orang masuk Islam; mengajak ahli keluarga untuk bekerja demi Islam serta memanfaatkan ruang dan peluang untuk menjalankan kerja dakwah.

Katanya, dakwah merupakan tanggungjawab ke atas diri kita seperti menjadikan kerja kebajikan berteraskan dakwah atau kerja pendidikan berteraskan dakwah.

Dato’ Wan Mohamad merupakan anak kelahiran dari Kaherah Mesir pada tahun 1953. Beliau dibesarkan di Baling dan Alor Setar, Kedah serta bersekolah di Maktab Mahmud, Alor Setar.

Beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan lulus Sarjana Muda Pengajian Islam dan Kepujian serta Diploma Pendidikan, 1978.

Seterusnya beliau memperolehi Diploma Sains Pengurusan dari INTAN pada tahun 1989 serta menjadi ahli British Institute of Management United Kingdom.

Wan Mohamad memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Hal Ehwal di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada tahun 1978 dan kemudiannya memegang pelbagai jawatan serta pernah menjadi Atase Agama di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

Wan Mohamad kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun (2006-2011) serta dilantik dalam Panel Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Takaful Malaysia, Panel Perunding Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan lain-lain.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Setiausaha Kerja PERKIM Kebangsaan, Encik Zulkifli Arifin serta Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Pengajian Saudara Baharu, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.


Antara tetamu kehormat yang hadir di Kuliah Dakwah Perdana Siri 4.


Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan aluannya di SKOP Siri 4.


Ahli PERKIM bahagian dan cawangan hadir mengikuti siri kuliah perdana keempat.


Menurut Dr Yusof Noor, usaha dakwah yang dibuat oleh PERKIM untuk memberi kefahaman Islam yang lebih mendalam kepada penganutnya.


Dato’ Wan Mohamad menyeru hadirin melaksanakan kerja dakwah dengan penuh kebijaksanaan.


Ahli-ahli PERKIM termasuk saudara baharu mengikuti kuliah perdana yang dianjurkan PERKIM.


Dato’ Wan Mohamad menegaskan bahawa dakwah merupakan tanggungjawab ke atas diri kita.


Dr Yusof Noor (tengah) menyampaikan cenderahati sebuah buku Warisan dan Wawasan PERKIM kepada Dato’ Wan Mohamad.


Kepimpinan PERKIM dan hadirin bersama Dato’ Wan Mohamad bergambar kenang-kenangan di akhir program.

Related Articles

Back to top button