Aktiviti Dakwah

Pemuda Cina Kaji Mendalam Sebelum Peluk Islam

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 13 JULAI 2023 – “Saya telah banyak membuat kajian, bacaan dan pemahaman mengenai Islam secara tidak langsung ia menjadikan saya untuk lebih dekat dengan agama Allah SWT,” kata Iskandar Khoo.

Iskandar Khoo atau nama Islamnya Iskandar Khoo Kuan berkata, Islam itu merupakan satu cara hidup yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepada umat Islam.

Beliau dilahirkan dalam bangsa Cina tertarik dengan Islam setelah membaca banyak bahan seperti Al-Quran, buku, warkah, majalah dan risalah mengenai Islam.

Melalui bacaan terjemahan Al-Quran dan cara kehidupan Islam membuatkan beliau mengambil keputusan untuk hadir ke Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah untuk melafazkan dua kalimah syahadah.

Iskandar Khoo mengikrarkan Rukun Islam yang pertama di hadapan Pengerusi PERKIM Cawangan Datuk Keramat, Ustaz Mohamad Suhaimi Abd Aziz.

Pengislaman Iskandar Khoo turut disaksikan kakitangan Unit Pembangunan Dakwah dan Operasi PERKIM Kebangsaan, Ustaz Haji Amran Anbarasu Abdullah.

“Terasa Islam itu lebih dekat lagi apabila saya melafazkan dua kalimah syahadah,” ujar Iskandar Khoo dalam perasaan syukur dan gembira.

Beliau yang merupakan seorang ejen hartanah berharap, perjalanan beliau sebagai seorang Muslim boleh mendekatkan iman dan memberi panduan yang lebih baik dalam kehidupannya.

Menurut Iskandar Khoo, perkara memeluk Islam itu telah dirujuk dahulu dengan bapanya sebelum ke PERKIM dan bapanya tidak menghalang beliau meneruskan hasratnya.

Beliau turut berkongsi kisah yang aneh, sewaktu beliau tidur dengan lena beberapa jam, beliau terjaga disebabkan kedengaran azan dan menyangkakan telah masuk waktu subuh, tetapi laungan tersebut didengarinya pada jam 3 pagi membuatkan beliau bingung dan tertanya siapakah yang azan.

Semenjak itu Iskandar Khoo mendalami dan meneliti cara hidup Islam dengan melihat dasar kehidupan berpaksikan agama Islam yang menjadi panduan hidupnya kini sehingga ke akhir hayat.

Katanya, memilih agama Islam itu merupakan pilihan peribadi seseorang kerana Islam itu adalah dasar yang membentuk perbuatan, perlakuan, pemikiran dan tindak tanduk kita.

“Islam itu merangkumi segala-gala aspek dan Allah SWT telah memberikan saya hidayah dan petunjuk yang menjadikan saya mempercayai 100 peratus agama Islam sekali gus menjadikan Islam sebagai jalan kehidupan,” ujar Iskandar Khoo dengan penuh rasa syukur.

Sebelum itu, Ustaz Suhaimi memberikan penerangan mengenai Rukun Iman, Rukun Islam serta tugas dan tanggungjawab sebagai seorang Islam kepada Iskandar Khoo manakala Ustaz Amran melakukan pendaftaran pengislaman.

Iskandar Khoo turut menerima beg Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengandungi kit pengislaman seperti al-Quran, sejadah, kain pelekat, buku fardu ain, buku Iqra’ dan lain-lain disampaikan oleh Ustaz Suhaimi.

Ustaz Amran turut menyampaikan al-Quran PERKIM Edisi Khas Saudara Baharu kepada Iskandar Khoo di akhir majlis.


Iskandar Khoo melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Ustaz Suhaimi.


Ustaz Suhaimi memimpin bacaan doa kesyukuran selepas memeluk Islam.


Ustaz Amran (kanan) menyampaikan beg MAIS yang mengandungi kit pengislaman saudara baharu.


Kegembiraan terserlah di wajah Iskandar Khoo sambil menunjukkan surat pengislamannya.


Ustaz Amran (kanan) menyampaikan al-Quran PERKIM Edisi Khas Saudara Baru kepada Iskandar Khoo.


Iskandar Khoo diapit oleh Ustaz Amran dan Ustaz Suhaimi ketika mengambil gambar kenangan di hadapan pejabat PERKIM.

Related Articles

Back to top button