Aktiviti Dakwah

PERKIM Korban 7 Lembu, Seekor Kambing Untuk Mualaf dan Asnaf

oleh : SRZ

KUALA LUMPUR, 1 JULAI 2023 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah menganjurkan Majlis Ibadah Korban 1444H Bersama Saudara Muslim dan Asnaf bertempat di Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah di sini.

Ia dihadiri seramai lebih 400 orang terdiri daripada saudara Muslim dari keturunan Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh serta warganegara Indonesia, Filipina, Bangladesh, Pakistan dan asnaf.

Program tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Dr Yusof Noor memulakan ucapan dengan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua hadirin.

Katanya, Aidiladha merupakan perayaan terbesar bagi umat Islam di mana sebanyak lebih dua juta umat Islam merayakan Hari Raya Haji di Mekah kerana Allah SWT berfirman di dalam Surah Ali Imran ayat 19 bermaksud: “Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam.”

Tambah Dr Yusof Noor, kecantikan Islam ialah di mana pada setiap lima waktu sehari semalam seluruh umat Islam berkata-kata secara langsung dengan Allah SWT melalui solat, zikir dan wiridnya.

Kata beliau, kita bersyukur kerana telah menjadi orang Islam dan ada yang baharu memeluk Islam. Kita bersyukur Allah akan menambahkan rezeki bukan hanya wang ringgit semata-mata tetapi mendapat nikmat kesihatan, aman dan sejahtera.

“Dalam Islam kita akan mendapat banyak nikmat di antaranya ialah menikmati daging korban.

“Hari ini kita boleh sembelih tujuh ekor lembu dan diharap akan berganda pada masa akan datang.

“Bila kita sudah menjadi orang Islam, kita adalah merupakan bersaudara tanpa mengira kaum dan bangsa,” ucapnya.

Ibadah suci ini menekankan perpaduan Islam yang dibina atas dasar takwa bagi mengharmoni dan memantapkan hubungan sesama saudara Muslim yang terdiri daripada pelbagai kaum sejajar dengan cogankata PERKIM iaitu ‘Islam Itu Persaudaraan’.

Beliau memetik hadis dari Hadis Riwayat Ahmad ketika ditanya oleh sahabat Rasulullah SAW bermaksud: “Wahai Rasulullah! Sampaikanlah suatu perkataan kepadaku dan peringkaslah mudah-mudahan aku memahaminya.’ Rasulullah SAW bersabda, ‘Jangan marah’. Lalu aku mengulanginya berkali-kali, semuanya dibalas Rasulullah dengan sabda, ‘Jangan marah.”

Majlis diserikan lagi dengan pengagihan 330 daging korban lembu kepada saudara baharu dan asnaf disampaikan oleh Dr Yusof Noor diiringi oleh Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin serta Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa.


Menurut Pegawai Unit Pembangunan Dakwah dan Operasi PERKIM Kebangsaan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah, sebanyak tujuh ekor lembu telah dikorbankan.

Salah seekor daripadanya telah disembelih pada Hari Raya Aidiladha pertama yang merupakan sumbangan PERKIM Kebangsaan kepada Pusat Pendidikan Muhajirin Rohingya PERKIM di Pandan Indah manakala empat ekor lembu daripadanya adalah penyertaan korban daripada pelajar-pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) dan dua ekor lembu lagi merupakan penyertaan daripada orang ramai.

Selebih enam ekor lembu dan seekor kambing telah disembelih seawal jam 2.00 pagi di Ladang Penternakan Lembu Aadriana, Kampung Sungai Pusu, Gombak.

Jais telah mengetuai aktiviti penyembelihan bersama enam urus setia PERKIM Kebangsaan dan lima pelajar KPIPK.

Jais yang juga Penyelaras Program berkata, ibadah itu secara tidak langsung dapat memupuk semangat berkorban sesama Muslim dengan menjaga hubungan persaudaraan, bersatu hati, menghindari sikap mementingkan diri agar membentuk kekuatan yang perlu difahami dan dijunjung oleh setiap Muslim.

Program itu memberikan pendedahan pelajar KPIPK yang menyertai ibadah korban dengan melihat sendiri binatang disembelih sekaligus bergotong-royong membantu untuk memotong untuk dihantar ke Bangunan PERKIM.

Ia bersandarkan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj, ayat 36 bermaksud: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan ia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.”

Sesungguhnya Allah SWT mensyariatkan ke atas Nabi Ibrahim ketika Allah menebus anak Nabi Ibrahim dengan seekor binatang sembelihan yang besar.

Dalam hadis riwayat Zaid bin Arqam, dikatakan kepada Rasulullah SAW: “Apa itu korban?” Baginda bersabda, ”Ia sunnah bapa kamu, iaitu Nabi Ibrahim,” Beliau bertanya lagi, ”Apakah padanya kebaikan kepada kami wahai Rasulullah ?” Baginda bersabda,”Setiap helai rambut adalah pahala.” Katanya lagi, ”Bagaimana pula dengan bulunya?” Baginda bersabda, ”Setiap helaian rambut daripada bulunya ialah pahala.'”

Tambah Jais, daging dan tulang korban yang telah dihantar kemudiannya dipotong dan dilapah daging untuk dibungkus dan dimasak untuk saudara Muslim dan asnaf.

Kata Jais lagi, semangat bergotong-royong yang ditunjukkan antara urus setia PERKIM Kebangsaan dan mualaf mewujudkan lagi ikatan ukhuwah Islamiah kerana kerjasama yang dibina memaparkan kesempurnaan Islam.

Mereka mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit bersama-sama menjayakan program itu dengan secara sukarela untuk memotong, melapah, mengerat, menimbang, membersih dan membungkus daging korban.

Ke semua aktiviti-aktiviti itu diadakan di ruang bawah Bangunan PERKIM.Ada juga yang ditugaskan untuk menyediakan sarapan, memasak daging korban dan membersihkan kawasan.

Saudara Muslim dan asnaf turut menikmati makanan segar seperti sup tulang lembu, daging masak rendang, sayur jelatah beserta sambal tempoyak yang menjadi hidangan istimewa makan tengah hari.

Turut hadir ialah Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Pengajian Saudara Baharu, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.


Jais (kanan, atas) mengetuai aktiviti penyembelihan haiwan korban.


Seawal jam 2.00 pagi, urus setia PERKIM menyertai aktiviti penyembelihan dan melapah di Ladang Aadriana, Gombak.


Urus setia PERKIM dan petugas korban melapah dan memotong lembu korban


Jais berpeluang untuk menyembelih seekor kambing akikah.


Ridhuan Zali memotong tulang lembu dengan sebilah kapak.


Hasaidi Said memotong lembu korban untuk mengasingkan daging daripada tulang.


Jais memotong tulang rusuk lembu.


Mualish Shah memotong tulang lembu dengan menggunakan mesin pemotong.


Mualaf, Firdaus Pompeyo memotong tulang lembu mengikut saiz kecil dengan menggunakan mesin grinder.


Urus setia PERKIM bersama mualaf bergotong-royong menyediakan bahan-bahan masakan.


Hamidah Ismail mengetuai pasukan memasak korban dengan menyediakan juadah rendang daging.


Mualaf bersama urus setia PERKIM menimbang daging korban seberat 1 kilogram dan dimasukkan ke dalam bekas.


Daging dan tulang lembu korban yang siap dibekaskan.


Dato’ Razali (dua dari kiri) berkesempatan membantu petugas memasak.


Dr Yusof Noor beramah mesra dengan mualaf dan asnaf yang hadir.


Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan ucapannya di program itu.


Lebih 300 orang terdiri daripada mualaf dan asnaf hadir di perkarangan Bangunan PERKIM.


Mualaf menerima agihan sumbangan daging korban daripada Dr Yusof Noor.


Tan Sri Setiausaha Agung menyampaikan agihan daging korban kepada mualaf.

Related Articles

Back to top button