Lipat Gandakan Amal Ibadah Di Akhir Ramadan
KUALA LUMPUR, 7 APRIL 2023 – “Ramadan hampir melabuhkan tirainya dan janganlah kita lupa ibadat-ibadat khusus seperti solat sunat tarawih, sedekah, tadarus serta doa mohon keampunan kepada Allah SWT kerana ia tidak sama fadhilatnya selain di bulan Ramadan,” kata Datuk Nordin.
Datuk Nordin atau YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim selaku Penolong Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) berkata ketika menyampaikan ucapannya di Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warganya di perkarangan ruang legar Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, di sini.
Majlis perjumpaan setiap bulan itu menghimpunkan lebih 40 warga PERKIM itu terdiri daripada kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).
Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah memulakan majlis dengan bacaan doa.
Datuk Nordin berpesan kepada warganya supaya sering berdoa di hujung Ramadan agar disampaikan umur dan dipertemukan pada bulan Ramadan akan datang.
Katanya, Ramadan hampir melabuhkan tirainya dan kita janganlah lupa ibadat-ibadat khusus seperti solat sunat tarawih, sedekah, tadarus serta doa mohon keampunan kerana ia tidak sama fadhilatnya selain di bulan Ramadan.
Tambah Datuk Nordin lagi, jika hendak tunggu Ramadan akan datang, ia belum tentu kita sempat kerana berkemungkinan kita sudah tiada.
Beliau mengajak warga PERKIM melaksanakan ibadah walaupun sesibuk mana pun kita di bulan Ramadan dan jangan pernah sesekali meninggalkan solat sunat tarawih sama ada lapan rakaat atau 20 rakaat kerana ibadah khusus tersebut tidak ada di bulan lain.
Ujarnya, walaupun tarawih sama cara dengan solat sunat yang lain, tetapi ia berbeza dari sunatnya. Begitu juga dengan puasa, jika berpuasa pada bulan lain tidak sama kita berpuasa di bulan Ramadan yang begitu tinggi nilai ganjarannya.
Dato’ Nordin turut mengajak warganya bermuhasabah dengan perkemaskan diri supaya mendapat sesuatu yang terbaik untuk Ramadan kali ini.
Katanya, gunakan nikmat rezeki yang ada dengan berjimat cermat, walaupun kita memperolehi sedikit rezeki jangan lupa untuk menyimpan untuk dunia dan akhirat khususnya di bulan Ramadan.
“Jika kita simpan RM1 untuk akhirat, kita akan dapat RM700 kelak kerana Allah akan gandakan 700 kali ganda. Simpanlah juga wang di dunia untuk simpanan jika berlaku sebarang kecemasan,” ucap beliau
Beliau mengakhiri ucapannya dengan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua warga PERKIM Kebangsaan. Semoga lebaran Aidilfitri disambut seisi keluarga dengan keceriaan dan penuh barakah.
Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun dalam ucapannya juga menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin kepada warganya.
“Saya amat bersyukur kehadrat Allah SWT kerana telah memberikan kesihatan yang baik kepada saya.
“Saya mengharapkan kesihatan yang baik ini dapat saya teruskan untuk membolehkan saya membuat kerja-kerja amal, turun padang dan sebagainya,” hasrat Dato’ Hanif.
Jelas beliau, bulan Ramadan tidak menjadi penghalang kepada saya untuk melakukan kerja-kerja amal, turun padang di Kemboja baru-baru ini dalam menyantuni para asnaf miskin bandar dengan mengunjungi serta memberikan sedikit bantuan.
Menurut Dato’ Hanif, minggu hadapan kita akan menyantuni golongan miskin bandar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang dan Kampung Dato’ Senu sekitar Kuala Lumpur.
Beliau juga mengadakan program membantu pelajar-pelajar miskin di Akademi Islam Universiti Malaya (UM) dengan menaja 600 pelajar berbuka puasa.
Jelas Dato’ Hanif lagi, 300 daripada pelajar di akademi tersebut dibantu menampung wang tambang untuk balik kampung.
Majlis diserikan lagi dengan amanat disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBHg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Dr Yusof Noor dalam amanatnya mengucapkan rasa syukur kerana dapat dipertemukan sekali lagi di perhimpunan bulanan.
Banyak urusan yang kita jalankan dengan baik dalam bulan ini dan bulan lepas, saya ucapkan terima kasih kepada semua warga PERKIM Kebangsaan yang telah menjalankan tugas dengan baik.
Saya harap akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang dengan lebih baik lagi.
Dr Yusof Noor memaklumkan bahawa Setiausaha Kerja Pentadbiran dan Program PERKIM Kebangsaan, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik telah mengundurkan diri daripada perkhidmatannya disebabkan keadaan kesihatan keluarganya.
Beliau mengajak warga PERKIM mendoakan supaya anggota keluarga Haji Mamat terus sihat dan dapat membantu keluarganya dengan masa yang lebih banyak lagi.
Dr Yusof Noor mendoakan semoga Haji Mamat terus diberikan oleh Allah SWT kesihatan dan kebaikan pada masa akan datang.
Tambah beliau, oleh kerana PERKIM merupakan penerima wang daripada kerajaan, kita akan memberikan saguhati kepada setiap kakitangan pentadbirannya sebagai insentif sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, kerajaan juga bersetuju memutuskan untuk menambah RM100 kepada gaji bulanan kakitangan khusus bagi tahun ini.
Beliau menyarankan kakitangan supaya berhati-hati apabila turun ke lapangan dan tidak mudah terpengaruh dengan orang yang tidak dipercayai.
Allah telah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 204 bermaksud: “Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).”
Kisah Akhnas menyatakan kepada Nabi Muhammad untuk memeluk Islam. Rasulullah SAW gembira dan mengalu-alukan pengislaman Akhnas kerana pertuturannya yang dikagumi.
Setelah memeluk Islam, Akhnas menuju ke kebun tanaman orang-orang Islam dan membakarnya sekali gus merosakkan kerana membenci akan orang Islam.
Padahal Akhnas baru sahaja memeluk Islam dengan menyatakan keikhlasannya dan kesungguhnya dengan Islam dan ajaran Nabi Muhammad SAW.
Kata Dr Yusof Noor, ia merupakan satu ayat peringatan untuk kita lebih berhati-hati dengan apa jua keadaan yang memungkinkan kita.
Jelasnya, jika Nabi Muhammad SAW pun menghadapi keadaan yang demikian, maka tentulah kehidupan kita ini akan bertemu dengan peristiwa-peristiwa seperti itu dengan lebih banyak lagi.
“Dalam urusan kita berdakwah, berhati-hatilah kerana mungkin akan ada orang yang mengambil kesempatan ke atas kita.
“Pada dasarnya kita memang baik sangka, tapi kita perlu lebih berhati-hati untuk mengelak daripada perkara demikian,” ujarnya.
Dr Yusof Noor berharap orang yang memeluk Islam di PERKIM adalah mereka yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari dan mendalami agama Islam.
“Kalau sekiranya mereka teralpa dengan keadaan, maka mungkin kita perlu mencari satu kaedah untuk kita menyelusuri kehidupannya selepas dia memeluk Islam.
“Antara yang kita ikhtiarkan selepas mereka yang bersyahadah di PERKIM dan menjadikan mereka lebih ingat kepada peristiwa memeluk Islam ialah dengan pemberian naskhah Al-Quran Edisi Khas Saudara Baru dan hadis-hadis.
“Al-Quran ini akan dipertambahkan dari semasa ke semasa tanpa had menerusi kaedah infak.
Jelas beliau, sesiapa yang hendak menolong saudara baru, maka dia infaklah untuk mencetak Al-Quran ini.
Katanya, Al-Quran Edisi Khas Saudara Baru juga akan diedarkan di tempat-tempat tertentu dan sekiranya pihak lain yang melakukan upacara syahadah boleh juga menginfakkan al-Quran ini.
Majlis berakhir dengan penyampaian saguhati Aidilfitri kepada warga PERKIM disampaikan oleh Dr Yusof Noor, Dato’ Hanif dan Datuk Nordin.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa serta Pengarah IDIP-KL, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.
Warga PERKIM menadah tangan ketika bacaan doa pembuka majlis dibacakan.
Kepimpinan PERKIM mengaminkan ketika doa dibacakan.
Datuk Nordin berpesan agar meningkatkan amalan tadarus, sedekah, doa di akhir Ramadan.
“Ramadan tidak menjadi penghalang untuk melakukan kerja-kerja amal lagi-lagi kebajikan di Kemboja,” kata Dato’ Hanif.
“Untuk menjadikan peristiwa pengislaman mualaf itu diingati, kita hadiahkan senaskah Al-Quran,” kata Dr Yusof Noor.
Dr Yusof Noor turut berpesan kepada warganya supaya berhati-hati terhadap orang yang mengambil kesempatan.
Dato’ Hanif menyampaikan saguhati Aidilfitri kepada Muhammad Farhan Tee Abdullah.
Dr Yusof Noor menyampaikan saguhati Aidilfitri kepada Nur Syahirah Musa.
Siti Fatimah Ladda Abdullah menerima saguhati Aidilfitri daripada Datuk Nordin.
Dr Yusof Noor menyampaikan saguhati Aidilfitri kepada Ahmad Hasaidi Said di Bangunan PERKIM, Kuala Lumpur.