Aktiviti Dakwah

300 Mualaf Terima Sumbangan Raya PERKIM di Majlis Tadarus Al-Quran

KUALA LUMPUR, 17 APRIL 2023 – “Hari ini merupakan hari penting mengikut agama Islam kerana hari turunnya mukjizat Al-Quran pada malam 27 Ramadan,” kata Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Kata Dr Yusof Noor, kini seramai dua juta umat Islam berhimpun di tanah suci Mekah untuk menyambut malam 27 Ramadan.

Beliau berkata ketika berucap di Majlis Tadarus Al-Quran sempena Nuzul Al-Quran dan Pengagihan Wang Zakat Kepada Asnaf Mualaf dan Fakir Miskin bertempat di Surau PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah di sini.

Seramai 350 orang hadir terdiri daripada saudara baru berketurunan Cina, India, Iban, Bidayuh, Murut dan warga dari negara Filipina, Indonesia serta asnaf fakir miskin dan Kumpulan Tadarus Al-Quran Surau PERKIM.

Jelasnya, setibanya waktu Maghrib, maka bermulalah malam kemuliaan 27 Ramadan seperti mana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Qadr, ayat 1 hingga 3 bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.”

Tambah beliau, sebarang amalan yang dilakukan pada malam tersebut akan digandakan kepada seribu bulan, contohnya jika kita membaca Al-Quran pada malam tersebut sama seperti kita membaca Al-Quran selama 83 tahun 4 bulan.

“Kalau tidak kerana Al-Quran Al-Karim, kita tidak bertemu di sini dan Al-Quran menjadi pengikat kita kerana ia adalah sebuah kitab yang merakamkan kalimah Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril seterusnya disampaikan kepada kita.

“Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana menjadi satu umat yang diikat oleh Al-Quran untuk bertemu dan bersilaturahim pada hari ini,” ujarnya.

Kata Dr Yusof Noor lagi, mulai tahun ini sesiapa sahaja yang mengucap dua kalimah syahadah di PERKIM, akan dihadiahkan satu naskah Al-Quran yang dicetak khas untuk saudara baru.

Kemuliaan Al-Quran itu apabila kita membaca satu huruf daripada ayat-ayatnya akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Dari Ibnu Mas’ud RA berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Barang siapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif laam mim itu satu huruf, tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf, dan mim itu satu huruf.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Ujar beliau, kita pegang Al-Quran itu sehingga menjadi sahabat yang dekat dengan hati kita selama-lamanya kerana selepas kita mati pun Al-Quran itu akan menjadi pendamping dan syafaat kepada kita.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua saudara baru kerana bersama-sama di dalam agama ini kerana ini adalah agama daripada Allah SWT dan kita bersyukur kerana menjadi orang Islam yang baik,” katanya.

Dr Yusof Noor turut berkongsi doa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW di akhir Ramadan iaitu: Yaa Allah, sesungguhnya kami memohon keredaan-Mu dan syurga, dan kami berlindung dari kemurkaan-Mu dan seksa api neraka.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad)

Di akhir ucapan, beliau mengajak hadirin mendoakan umat Islam yang diserang dan diseksa di Palestin ketika sedang berpuasa di bulan Ramadan dan beliau mengharapkan agar dapat berjumpa lagi pada Ramadan yang akan datang.

Terdahulu, saudara baru dibahagikan kepada 15 kumpulan untuk bertadarus Al-Quran di mana setiap kumpulan diketuai oleh munabbih bersama-sama membaca dua juzuk al-Quran.

Selama dua jam bertadarus bersama saudara baru, diadakan Majlis Khatam Al-Quran dan doa khatam al-Quran disempurnakan oleh Penolong Pengarah Wilayah Tengah Yayasan Al-Baghdadi Malaysia, Muhammad Sulhi Hasbullah.

Dr Yusof Noor diiringi Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun menyampaikan sumbangan 10 naskhah Al-Quran Edisi Khas kepada 10 saudara baru.

Disusuli dengan penyampaian saguhati kepada Kumpulan Tadarus Al-Quran Harian Surau PERKIM dan munabbih Tadarus Al-Quran.

Majlis berakhir dengan penyampaian wang zakat wakalah QSR Brands Holding (M) Bhd sebanyak RM50 masing-masing kepada 300 saudara baru disampaikan oleh Dr Yusof Noor.

QSR Brands turut menaja makanan ayam goreng Kentucky Fried Chicken kepada 300 saudara baru yang berbuka puasa.

Saudara baru turut menunaikan solat fardu Maghrib, Isyak dan tarawih.


Saudara baru menyertai Majlis Tadarus al-Quran anjuran PERKIM Kebangsaan.


Peserta Tadarus Al-Quran dibahagikan kepada 15 kumpulan.


Sulhi memimpin Majlis Khatam Al-Quran dan doa khatam Al-Quran.


Peserta tadarus berkesempatan mengambil gambar bersama kumpulan mereka.


Muhammad Jais memimpin bacaan doa majlis.


Saudara baru menadah tangan dan mengaminkan doa yang dibaca.


Dr Yusof Noor mengingatkan hadirin bahawa 27 Ramadan merupakan hari penting di dalam Islam.


Dr Yusof Noor menyampaikan senaskah Al-Quran Edisi Khas kepada saudara baru.


Ahli Kumpulan Tadarus Al-Quran Surau PERKIM menerima saguhati dari Dr Yusof Noor.


Peserta Tadarus Al-Quran mualaf menerima saguhati daripada Dr Yusof Noor.


Ketua Kumpulan Tadarus Al-Quran atau pun digelar munabbih menerima cenderahati daripada Dr Yusof Noor.


Dr Yusof Noor menyampaikan zakat wakalah QSR Brands kepada ansaf fakir miskin.


Saudara baru menerima zakat wakalah QSR Brands Holding M Bhd disampaikan oleh Dr Yusof Noor.

Related Articles

Back to top button