Kunjungan PERKIM Kebangsaan Pererat Ukhuwah Ke PERKIM Cawangan Daerah Kuala Muda
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝐒𝐔𝐍𝐆𝐀𝐈 𝐏𝐄𝐓𝐀𝐍𝐈, 𝟓 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Satu kunjungan mesra telah diadakan oleh rombongan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan ke Perkim Cawangan Daerah Kuala Muda yang terletak di Jalan Pegawai, Kampung Teroi, Sungai Petani selepas solat Jumaat hari ini.
Kunjungan tersebut diketuai oleh 𝗣𝗲𝗴𝗮𝘄𝗮𝗶 𝗨𝗻𝗶𝘁 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗱𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗜𝗻𝘀𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗝𝗮𝗶𝘀 𝗠𝗮𝗿𝗶𝗮𝗽𝗽𝗮𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 bersama lima orang kakitangannya.
Ketibaan rombongan telah disambut mesra dan diraikan oleh 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗜𝗺𝗿𝗼𝗻 𝗞𝗼𝗰𝗵𝗲𝗺 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗵𝗺𝗮𝗱, 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗖𝗮𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗗𝗮𝗲𝗿𝗮𝗵 𝗞𝘂𝗮𝗹𝗮 𝗠𝘂𝗱𝗮 bersama Penolong Setiausaha Kehormat PERKIM Kuala Muda, Ustazah Juhana Halimah Johari.
Dalam ucapannya, Ustaz Jais Mariappan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak PERKIM Kuala Muda atas jemputan yang penuh hormat.
Beliau menekankan bahawa kunjungan ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah Islamiah selain memberi ruang untuk lebih mengenali perjalanan kerja dakwah di peringkat cawangan.
“Hubungan erat antara PERKIM Kebangsaan dan cawangan amat penting bagi memastikan kesinambungan gerak kerja dakwah, kebajikan serta pendidikan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kami hadir bukan atas kunjungan rasmi, tetapi sebagai saudara seagama yang mahu sama-sama berkongsi pengalaman dan kekuatan Islam,” jelas beliau.
Sementara itu, Ustaz Imron Kochem dalam ucapannya menzahirkan rasa gembira atas perhatian yang diberikan oleh PERKIM Kebangsaan.
Menurut beliau, kehadiran ini membuktikan sokongan padu yang amat bermakna buat barisan sukarelawan dan aktivis dakwah di peringkat daerah.
Kunjungan ini turut diisi dengan perbincangan mengenai penglibatan secara tidak langsung PERKIM Kuala Muda dalam program kebajikan akan diadakan esok.
Antara yang dibincangkan termasuk Program Ziarah Kebajikan Masyarakat yang akan diadakan pada 6 September 2025 bertempat di Pusat Penjagaan Fajar Gemilang, Bandar Aman Jaya.
Program tersebut bertujuan menyantuni masyarakat India yang kurang berkemampuan, sambil menyampaikan mesej kasih sayang sejagat melalui pendekatan Islam yang rahmah.
Selain itu, pada 7 September 2025 akan diadakan Dialog Harmoni dan Ziarah Masyarakat Majmuk India di Ladang Kongsi 6, Bedong.
Program ini dijangka menjadi platform membina persefahaman, mengurangkan jurang perbezaan serta memperkukuhkan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di daerah tersebut.
Selepas sesi perbincangan, rombongan telah dibawa meninjau fasiliti yang dimiliki PERKIM Kuala Muda. Antara yang dilawati termasuk Pejabat PERKIM Kuala Muda, rumah transit lelaki dan perempuan serta sebuah dewan serbaguna yang sering digunakan untuk program dakwah, kuliah, dan aktiviti kebajikan.
Tidak ketinggalan, rombongan turut melawat rumah tamu yang disediakan untuk kegunaan tetamu luar serta gerai Kopi Tamu yang berfungsi sebagai ruang interaksi santai bersama masyarakat setempat.
Kehadiran fasiliti ini menunjukkan bahawa PERKIM Kuala Muda bukan sahaja menumpukan kepada aspek dakwah tetapi turut mengembangkan peranan sosial dalam membina hubungan yang inklusif dengan komuniti.
Dalam perkongsian lanjut, Ustaz Imron Kochem menekankan realiti kerja lapangan dakwah yang penuh cabaran.
Beliau turut berkongsi pengalaman dan cabaran dalam mengurus mualaf dalam keadaan nazak, konflik keluarga bukan Islam dalam isu pengurusan jenazah.
Katanya, semua pengalaman ini membuktikan bahawa kerja dakwah memerlukan bukan sahaja ilmu dan keberanian tetapi juga hikmah, kesabaran dan jaringan kerjasama yang kukuh dengan pihak berkuasa serta NGO lain.
“Kami tidak mampu bergerak sendiri tetapi dengan sokongan PERKIM Bahagian Negeri Kedah dan PERKIM Kebangsaan, kami lebih yakin bahawa cabaran ini dapat ditangani bersama.
“Apa yang penting, saudara baharu Islam mendapat pembelaan sewajarnya, maruah mereka dipelihara dan masyarakat majmuk dapat melihat wajah Islam yang sebenar, iaitu agama yang penuh kasih sayang dan keadilan,” tambah beliau.
Dengan kunjungan ini, diharapkan usaha mendekati masyarakat majmuk menjaga kebajikan mualaf dan memperkukuhkan dakwah Islamiah di daerah Kuala Muda akan lebih teratur, bersepadu dan berkesan pada masa hadapan.
Seusai kunjungan, rombongan PERKIM menuju ke Jalan Permatang Gedong untuk mengadakan mesyuarat bersama 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗣𝗲𝗿𝘀𝗮𝘁𝘂𝗮𝗻 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺𝗶𝗮𝗵 𝗗𝗮𝗻 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗷𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗦𝗮𝘂𝗱𝗮𝗿𝗮 𝗕𝗮𝗿𝘂 𝗜𝗻𝗱𝗶𝗮 𝗦𝗲-𝗠𝗮𝗹𝗮𝘆𝘀𝗶𝗮 (𝗔𝗹-𝗛𝗶𝗱𝗮𝘆𝗮𝗵), 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗡𝗮𝗶𝗺 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 bagi membincangkan persiapan dua program iaitu Program Kebajikan Masyarakat Majmuk India serta Dialog Harmoni dan Ziarah Masyarakat Majmuk India.
Mesyuarat yang diadakan di sebuah restoran itu membincangkan persiapan terakhir bagi kelancaran kedua-dua program masyarakat majmuk India anjuran bersama PERKIM Kebangsaan dan MAIWP dengan kerjasama Al-Hidayah.
Kakitangan PERKIM Kebangsaan juga selaku urus setia program iaitu Azura Abdul Rahman, Norlailialpin Suratman, Mualish Shah Haji Mohd Anuar dan sukarelawan Mohd Firdaus Pompeyo Abdullah.

Rombongan PERKIM Kebangsaan tiba di Kompleks PERKIM Daerah Kuala Muda dekat Jalan Pegawai, Kampung Teroi.

Ustaz Imron Kochem mengalu-alukan dan meraikan ketibaan rombongan PERKIM Kebangsaan di pejabatnya.

Ustaz Imron Kochem berkongsi pengalaman dan cabaran dalam mengurus mualaf di PERKIM Kuala Muda.

Rombongan menikmati juadah istimewa makan tengah hari yang disajikan.

Antara fasiliti PERKIM Kuala Muda iaitu Rumah Transit PERKIM Keluarga, Lelaki dan Wanita.

Rombongan dibawa ke Pejabat PERKIM Kuala Muda.

Barisan ahli jawantankuasa terpapar di carta organisasi PERKIM Kuala Muda.

Sekitar di ruangan dalam pejabat PERKIM Kuala Muda.

Ustaz Imran Kochem menyampaikan bingkai gambar tulisan khat sebagai cenderahati kepada Ustaz Jais Mariappan.

Rombongan PERKIM bermesyuarat berkenaan Program Dialog Harmoni dan Ziarah Masyarakat Majmuk India bersama AL-HIDAYAH Kedah diketuai oleh Ustaz Naim Islam (kiri).



