Iftar MAIWP Bersama PERKIM dan Saudara Muslim
Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa ”. (al-Baqarah: 183)
Sehubungan itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganjurkan Iftar MAIWP Bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan bertempat di Tingkat 1, Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 23 Julai 2014 lalu.
Ianya dihadiri seramai 200 orang yang terdiri daripada Saudara Muslim berketurunan Cina, India, Murut, Kadazan, Bidayuh, Siam, Kemboja dan Filipina.
Program tersebut dimulakan dengan takzirah bertajuk ’10 Terakhir Ramadan’ yang disampaikan oleh Bahagian Pembangunan Insan MAIWP, Ustaz Abdul Rauf Abdul Aziz.
Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif MAIWP, Saharuddin Sarwan berkata, MAIWP mula beroperasi di Bangunan Perkim pada tahun 2009 dan sebelum itu ianya terletak di Wisma Baitulmal, Kuala Lumpur.
Katanya, sempena Ramadan yang mulia ini, MAIWP mengambil kesempatan menganjurkan majlis berbuka puasa bersama warga Perkim dan ianya bertambah bermakna dengan penglibatan Saudara Muslim di bawah kelolaan Perkim.
Saharuddin yang mewakili Ketua Pengarah Eksekutif MAIWP, Datuk Zainal Abidin Jaafar berharap, agar program tersebut, dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara MAIWP dan Perkim di samping akan memudahkan tugasan harian.
Jelasnya lagi, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor pernah menyandang jawatan Pengerusi MAIWP pada tahun 1987 sehingga 1995, ketika beliau menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Kata Saharuddin, penubuhan Institut Kemahiran Baitulmal, Darul Kifayah dan Darus Saadah juga adalah antara cetusan Dr. Yusof Noor.
Selain itu, aktiviti utama MAIWP ialah berperanan untuk mengutip dan mengagihkan zakat. Di dalam melaksanakan kutipan zakat, MAIWP telah melantik amil korporat iaitu Pusat Pungutan Zakat (PPZ) yang juga merupakan anak syarikat MAIWP.
PPZ menjalankan kutipan zakat dan kutipan tersebut diserahkan kepada MAIWP, kemudian kutipan itu diagihkan melalui Baitulmal.
Jelasnya, sehingga kini terdapat sebanyak 28 jenis skim bantuan zakat yang ditawarkan termasuk bantuan kepada Saudara Muslim.
“Antara skim bantuan zakat yang terbesar ialah bantuan kewangan bulanan, di mana bantuan tersebut diberikan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf,” ujar Saharuddin.
Katanya, setakat ini terdapat lebih 19,000 penerima bantuan di mana mereka menerima RM700 setiap bulan yang dimasukkan ke dalam akaun bank.
MAIWP juga mempunyai Skuad Jejak Asnaf Baitulmal yang telah diwujudkan pada tahun 2012 berperanan turun padang ke seluruh ceruk di Wilayah Persekutuan untuk mencari mereka yang tercicir daripada menerima bantuan zakat.
Aktiviti MAIWP yang kedua ialah Pembangunan Modal Insan. MAIWP setakat ini mempunyai tujuh institusi pendidikan iaitu tadika-tadika Islam, Sekolah Menengah Agama MAIWP, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Institut Kemahiran Baitulmal. Institut Profesional Baitulmal dan Kolej Antarabangsa Sains Perubatan Pusrawi (PICOMS).
Institut Kemahiran Baitulmal yang beroperasi di Kampung Pandan adalah cetusan idea daripada Tan Sri Dr. Yusof Noor. Pada awalnya, ia dikenali sebagai Pusat Latihan Fakir Miskin sebelum ia ditukar nama pada tahun 1995.
Institusi-institusi pendidikan ini juga merupakan salah satu program agihan zakat baru secara tidak langsung.
Aktiviti ketiga adalah perlindungan dan kebajikan, sehingga kini MAIWP telah menubuhkan Darul Kifayah iaitu kompleks perlindungan anak-anak yatim termasuk anak-anak asnaf fakir dan miskin.
MAIWP juga menubuhkan Darus Saadah iaitu pusat perlindungan dan pemulihan kepada gadis dan wanita yang terjebak dalam gejala sosial.
Darus Sakinah iaitu sebuah pondok pengajian kepada warga tua yang berkonsepkan ciri-ciri moden ditubuhkan MAIWP.
Aktiviti keempat ialah Pembangunan Hartanah di mana ianya berperanan merancang dan menambahkan aset umat Islam di Wilayah Persekutuan melalui dengan Hartanah.
Telah banyak projek yang dibangunkan oleh MAIWP merangkumi projek institut pendidikan, masjid dan projek kormesil yang memberikan keuntungan kepada MAIWP untuk dipulangkan semula kepada umat Islam.
Antara projek-projek MAIWP yang mendapat pengiktirafan ialah pembinaan Imarah Wakaf MAIWP, Jalan Perak, Kuala Lumpur yang merupakan menara kelas A setinggi 24 tingkat di wakafkan kepada MAIWP oleh Allahyarham Ahmad Dawjee Dadabhoy.
Pada bulan Ramadan ini, MAIWP telah menyalur pelbagai sumbangan zakat di antaranya penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada empat buah hospital besar di Wilayah Persekutuan iaitu di Hospital Putrajaya, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Baru-baru ini juga, MAIWP telah mengadakan Iftar Perdana Asnaf Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi MAIWP.
Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dalam ucapannya mengucapkan ribuan terima kasih kepada MAIWP kerana telah menganjurkan program tersebut dan diharap ianya menjadi program tahunan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada MAIWP kerana ianya merupakan di antara majlis agama Islam yang paling cepat dan berjaya meningkatkan kualiti pentadbiran.
Ia menjadi progresif dalam mengemaskini dan pentadbiran kerana MAIWP terletak di ibukota iaitu pintu masuk negara Malaysia sudah tentu mencerminkan yang terbaik.
“Saya pernah meminta perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Almarhum Sultan Azlan Shah ibni Almarhum Sultan Idris Shah supaya menambah satu provisyen di dalam akta enakmen majlis konsul wilayah untuk membenarkan perlantikan amil tambahan iaitu selain amil fitrah,” jelas Dr. Yusof Noor.
Jelasnya lagi, ini adalah untuk memantapkan institusi zakat menerusi zakat harta dan daripada masa itulah ditubuhkan syarikat Harta Suci Sdn. Bhd.
Syarikat Harta Suci itulah dijadikan syarikat untuk menjalankan operasi untuk memungut zakat yang dikenali sebagai PPZ.
Ketua Persatuan Saudara Baru, Allahyarham Umar Thuan Hj Umar Thean menjadi pengasas di dalam jawatankuasa Harta Suci dan menjadi agen kepada pungutan zakat harta di Wilayah Persekutuan.
Di kesempatan itu, Dr. Yusof Noor turut menyampaikan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh Muslimin dan Muslimat.
Beliau turut berpesan supaya mereka dapat menjaga keselamatan dan kesihatan di sepanjang musim perayaan.
Turut diadakan penyampaian sumbangan makanan berbuka puasa kepada golongan gelendangan di hadapan Bangunan Perkim.
Majlis diserikan lagi dengan penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada Saudara Muslim dan pengawal keselamatan yang disampaikan bersama oleh Dr. Mohd. Yusof Noor dan Saharuddin.
Turut hadir, Bendahari Kehormat Perkim; Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim, Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim; Datuk Hasbullah L. Isa, Pengarah Unit Dakwah dan Inovasi Perkim; Datuk Zainal Abidin Ab. Kadir dan Timbalan Pengarah Unit Dakwah dan Inovasi Perkim; Hj Abdul Hanif Harun.
Saudara Muslim yang hadir di Iftar MAIWP Bersama Perkim.
Antara penerima bantuan Aidilfitri hadir di majlis tersebut.
Ustaz Abdul Rauf menyampaikan tazkirah di awal majlis tersebut.
Saharuddin menyampaikan ucapan aluan dan memberi penerangan mengenai peranan dan fungsi MAIWP.
Dr. Mohd. Yusof Noor menyampaikan ucapan di majlis Iftar MAIWP Bersama Perkim.
Dr. Mohd. Yusof (berbaju biru) menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada Saudara Muslim.
Salah seorang Saudara Muslim menerima sumbangan Aidilfitri MAIWP dan Perkim daripada Dr. Mohd. Yusof Noor (berbaju biru).
Pengawal keselamatan turut menerima sumbangan Aidilfitri MAIWP daripada Saharuddin (berbaju merah).
Dr. Yusof Noor (kanan) menyampaikan plak cenderahati kepada Saharuddin (kiri).
Gandingan kerjasama MAIWP dan Perkim menyampaikan makanan berbuka puasa kepada golongan gelandangan di hadapan Bangunan Perkim.