Aktiviti Dakwah

Himpunan Februari Erat Hubungan Pemimpin, Kakitangan PERKIM

oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


“Tentu ramai yang tertanya kenapa perjumpaan bulanan yang tidak pernah di buat sejak 60 tahun dahulu diadakan pada hari ini,” kata Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Tan Sri Dr Mohd. Yusof Noor.

Dr Mohd. Yusof Noor berkata ketika menyampaikan ucapannya pada Majlis Himpunan Bulanan Kakitangan PERKIM bertempat di podium ruang legar Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 7 Februari 2020 lalu.

Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua PERKIM, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad; Bendahari Kehormat PERKIM, Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Datuk Hasbullah L. Isa; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan, Dato’ Ahmad Mustafa; Pengarah Program dan Pentadbiran, Haji Mamat Che Chik serta Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin.

Seramai lebih 40 kakitangan PERKIM Kebangsaan, kakitangan PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE) turut berhimpun bersama-sama sambil memulakan majlis dengan menyanyikan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.

Menurut Dr Yusof Noor, PERKIM kini berada di ambang 60 tahun ianya ditubuhkan, mungkin ramai juga tidak menyedari bahawa kita sudah melangkah masuk ke tahun yang ke-60 dan secara kebetulan tentera-tentera PERKIM di pusat inilah yang mengayuh sampan perjalanan PERKIM yang sebahagiannya bermula daripada bawah.

“Mungkin ada yang sudah berkhidmat di sini sama dengan usia PERKIM, iaitu Haji Ishak Othman, seorang kakitangan yang paling lama berkhidmat di PERKIM,” katanya.

Kata Dr Yusof Noor, hari ini juga kita turut menyambut hari jadi PERKIM walaupun tarikh 8 Februari jatuh pada hari esok meskipun PERKIM pada asalnya diasaskan pada 19 Ogos 1960. PERKIM mengabadikan tarikh 8 Februari 1903 adalah bersempena kelahiran pengasas PERKIM, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai Hari PERKIM yang diterima secara rasmi oleh Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM.

“Saya rasa terpanggil untuk mengadakan majlis seperti ini pada setiap bulan seperti yang diamalkan oleh kebanyakkan agensi-agensi lain, sama ada kerajaan atau sektor swasta. Ia bukanlah perkara ganjil, namun ia menjadi ganjil khususnya buat PERKIM yang menguar-uarkan tentang persaudaraan, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu,” ujarnya.

Ulas beliau, dakwah yang paling baik ialah dakwah yang berteraskan kepada hikmah merupakan dakwah yang paling berkesan.

“Apa salahnya kita bekerja sambil kita memberikan senyuman seperti pemimpin kita yang selalu tersenyum. Jadi, kita perlulah senyum selalu kerana menurut hadis Riwayat Tirmidzi bermaksud: “Senyummu di depan saudaramu, adalah sedekah bagimu,” kata Dr Yusof Noor.

Ujar beliau lagi, jumlah umat Islam di Malaysia cuma ada 16 juta sahaja, jadi apa salahnya kakitangan yang hadir ini memberi peluang untuk sama-sama menjalinkan ukhuwah silaturahim dan menghidupkan jalinan mesra antara sesama mereka.

Kata beliau, jika PERKIM di peringkat negeri dapat mengadakan perhimpunan seperti ini dengan jumlah 159 orang, kita akan menjadi contoh kepada yang lain. Insha Allah, Allah SWT akan menolong kita serta menggerakkan hati kita untuk bermesra dengan yang lain.

Dr Yusof Noor turut menyampaikan cenderahati berbentuk dua naskah al-Quran terjemahan kepada kakitangan Amran Anbarasu Abdullah dan Siti Fatimah Ladda Abdullah yang merupakan kakitangan saudara baharu yang lama berkhidmat di PERKIM Kebangsaan.

Haji Ishak Othman memimpin bacaan surah Yasin, tahlil serta doa selamat untuk dihadiahkan pahalanya kepada Pengasas PERKIM, AlMarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan pemimpin-pemimpin PERKIM yang telah kembali ke rahmatullah.


Kakitangan PERKIM berhimpun dan menyanyikan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.


Kepimpinan PERKIM turut menyanyikan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.


Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan di Majlis Perjumpaan Bulan Februari Bersama Kakitangan PERKIM.


Himpunan diadakan di ruang legar Bangunan PERKIM.


Kakitangan PERKIM Kebangsaan, Wilayah Persekutuan, IDIP-KL dan SCORE mendengar ucapan yang disampaikan oleh Dr Yusof Noor.


Amran (kanan) menerima cenderahati senaskah al-Quran terjemahan daripada Dr Yusof Noor.


Dr Yusof Noor menyampaikan senaskah al-Quran terjemahan kepada  Fatimah Ladda (kanan).


Ishak (dua dari kiri) memimpin bacaan surah Yasin dan tahlil sempena Hari PERKIM Ke-60.


Kakitangan PERKIM bersama-sama membaca surah Yasin.


Kakitangan PERKIM bersama tetamu kehormat menghadiahkan bacaan surah Yasin kepada AlMarhum Tunku Abdul Rahman dan pemimpin PERKIM yang telah kembali ke rahmatullah.

Related Articles

Back to top button