Gotong-Royong Bersihkan Bangunan PERKIM

KUALA LUMPUR, 23 DISEMBER 2021 : Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor bersama lebih 50 pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan, Pusat Komuniti Strok PERKIM (SCORE) dan Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) bergotong-royong membersihkan Bangunan PERKIM.
Kawasan Bangunan PERKIM terkesan akibat banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur pada 18 Disember lalu menjadikan air banjir tersebut meninggalkan kesan lumpur, selut dan sampah yang perlu dibersihkan.
Kakitangan PERKIM bersama-sama menyapu lantai menggosok longkang yang terkesan dengan lumpur, setelah itu lantai tersebut digosok pula dengan air sabun serta ia kemudiannya disembur dengan pancuran air dan ditarik dengan air sesudah ia didapati benar-benar bersih.
Selain kawasan parkir di LG, ruang legar G Bangunan PERKIM juga turut dibersihkan dibantu oleh petugas pembersihan.
Keriangan dan keceriaan terlihat di wajah kakitangan apabila mereka sendiri dapat membersihkan kawasan tempat kerja mereka seperti membersihkan rumah sendiri.
Turut serta, Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Pengarah Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Unit Hubungan Dalam dan Luar Negara, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Setiausaha Kerja (Pentadbiran dan Program), Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja (Bahagian & Cawangan), Zulkefli Arifin.
Sebelum itu, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor telah menyampaikan ucapan dan amanat kepada kakitangan PERKIM.
Selain itu, PERKIM dalam persediaan mengatur strategi untuk membantu orang ramai yang terkesan daripada banjir tempoh hari dengan Misi Bantuan Mangsa Banjir PERKIM Pusat.
📷 : DATUK HAJI HASBULLAH L.ISA & FLT