DRB-HICOM Santuni Mualaf PERKIM Di Aidilfitri

oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Syukur sekali lagi kerana kita berjaya membendung nafsu diri di bulan Ramadan dan kini meraikan Aidilfitri di bulan Syawal,” kata Ketua Strategik Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Mahmood Abdul Razak.
Beliau mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah kurnia dan keizinan-Nya kerana dapat menghimpunkan bersama dalam suasana yang gembira ini.
Mahmood berkata ketika menyampaikan ucapannya di Majlis Sinar Aidilfitri Bersama Saudara Baharu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) anjuran DRB-Hicom Berhad bertempat di Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM (IDIP-KL), Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 19 Jun 2019 lalu.
Majlis tersebut menghimpunkan 100 saudara baharu terdiri daripada keturunan Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh dan warga dari negara Filipina, Thailand dan Indonesia.
Turut hadir Bendahari Kehormat PERKIM, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Pengarah IDIP-KL, Dato’ Abdul Hanif Harun; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, Dato’ Ahmad Mustafa; Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM, Mamat Che Chik dan Setiausaha Kerja PERKIM, Zulkefli Arifin.
Menurut Mahmood, umat Islam dituntut mengeratkan silaturahim di antara ahli keluarga, kaum kerabat, sahabat handai, jiran tetangga di samping membina suatu persaudaraan yang baharu bersama umat Islam di Aidilfitri.
Jelasnya, Islam adalah agama yang mementingkan dua perkara iaitu hubungan dengan Allah (habluminAllah) dan hubungan sesama manusia (habluminannas).
Konsep persaudaraan dalam Islam bukan sahaja terbatas kepada kekeluargaan sahaja tetapi ia melangkau kepada warisan bangsa, keturunan, warna kulit dan negara.
Tambahnya, inilah ikatan persaudaraan yang wujud di antara umat Islam seluruh dunia malah objektif utama syariat Islam ialah memelihara keutuhan ukhuwah sesama kita di mana jua kita berada walau apa keadaan sekali pun.
Tanpa keutuhan dan perpaduan di antara umat Islam, objektif dan intipati yang cuba dilaksanakan akan sukar untuk dicapai dan diteruskan.
“Hari ini kita akan berkongsi kegembiraan Aidilfitri bersama 100 saudara baharu yang datang dari pelbagai latarbelakang,” ujarnya.
Walaupun penerima sumbangan merupakan dari asnaf mualaf, dalam masa yang sama mereka juga tergolong dalam golongan fakir, miskin dan ibu tunggal.
Jelasnya, DRB-HICOM amat berbesar hati dan bersyukur kerana Islam menggalakkan untuk bantu-membantu mualaf yang serba kekurangan serta meraikan bersama hari kemenangan umat Islam.
“Sebagai sebuah syarikat korporat ia menjadi satu tanggungjawab kita untuk membantu mereka yang memerlukan khususnya saudara kita yang baru berjinak-jinak dengan Islam di samping berkongsi rezeki yang Allah SWT berikan dalam meraikan Aidilfitri dengan suasana yang gembira dan tenang.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dalam ucapannya turut berterima kasih kepada DRB-HICOM kerana telah memilih PERKIM dan IDIP-KL untuk memanfaatkan Syawal yang mulia dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada mereka yang baru mengenal Islam.
Saudara baharu lebih mesra memilih PERKIM untuk mendapatkan kefahaman dan pendidikan Islam walaupun terdapat organisasi Islam yang lain.
Kata Dr. Yusof Noor, Bangunan IDIP-KL telah dirasmikan oleh Perdana Menteri merangkap Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad beberapa bulan lalu bertujuan sebagai institusi pendidikan dakwah antarabangsa dalam memberikan kefahaman Islam kepada golongan profesional dan korporat sama ada Islam atau belum Islam.
Tambahnya, DRB-HICOM merupakan syarikat infrastruktur Malaysia yang terlibat dalam industri pembuatan, pemasangan dan pengedaran kenderaan.
DRB-HICOM juga memberi peluang kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang automotif di Universiti Automotif Malaysia DRB-HICOM (DHU) yang teletak di Pekan, Pahang yang merupakan satu-satunya institusi dalam negara ini yang memberikan penekanan kepada automotif.
Saya berfikir bahawa jika PERKIM dapat menjalikan kerjasama bersama DRB-HICOM dalam melaksanakan pengurusan strategik kerana ada baiknya PERKIM seluruh Malaysia dapat mempromosikan kenderaan DRB-HICOM sejajar dengan misi serta visi PERKIM dalam memperluaskan dakwah, kebajikan dan pendidikan.
Kata Dr. Yusof Noor lagi, DRB-HICOM telah banyak berjasa dan berbakti kepada negara dalam membekalkan kenderaan dan jentera kepada pihak ketenteraan.
Saya mendoakan semoga DRB-HICOM akan terus berjaya menjadi salah satu daripada badan yang unnggul dan boleh berdaya saing dengan badan-badan seumpama dengannya di negara lain.
“Kita perlulah bersyukur kepada Allah SWT pada setiap masa kerana dapat menunaikan amal ibadah di Ramadan lalu dan Aidilfitri merupakan kejayaan bagi orang yang berpuasa dalam menzahirkan kesyukuran,” katanya.
Aidilfitri juga adalah hari yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk umat Islam bergembira dan meraikannya seperti mana yang telah dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Kita juga dituntut mengucapkan selamat dan mendoakan di antara satu sama lain dengan ungkapan ‘Taqabalallahu minna wa mingkum’ bermaksud: ‘Semoga Allah SWT menerima amalan (amalan dibulan Ramadan) kami dan kamu’.
Beliau mengajak bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan kerana pastinya mereka yang menerima bantuan itu semestinya akan bersyukur kepada Allah SWT sekali gus membantu usaha-usaha yang dilakukan oleh badan yang berkenaan.
Dr. Yusof Noor berharap agar majlis seperti ini diadakan dari semasa ke semasa bagi menyerikan wajah-wajah saudara baharu dengan sumbangan kebajikan yang disampaikan di Aidilfitri sekali gus ia dapat mendekatkan lagi diri kepada Allah SWT kerana Allah SWT berfirman dalam Surah Saba, ayat 34 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; Dia jua sebaik-baik pemberi rezeki.”
Katanya, sekiranya terdapat mualaf di kalangan DRB-HICOM, PERKIM akan memberi perkhidmatan kepada mereka dalam meningkatkan pendidikan Islam bagi membentuk Muslim sejati sekali gus menjadi Mukmin bertakwa.
Mahmood dan Dr. Yusof Noor turut menyampaikan sumbangan kain pelekat, telekung, sejadah dan wang hari raya kepada 100 saudara baharu.
Tetamu kehormat dan saudara baharu menikmati pelbagai juadah jamuan Aidilfitri disediakan seperti lemang, ketupat, rendang, sate, nasi tomato, ayam masak merah, sotong pedas, ayam kurma, daging kari dan kuih-kuih raya di akhir majlis.
Sesi pendaftaran Majlis Sinar Aidilfitri Saudara Baharu PERKIM di IDIP-KL.
Antara 100 penerima sumbangan yang terdiri di kalangan saudara baharu pelbagai bangsa.
Asyraf Murtadha Azahar selaku pelajar latihan industri KUIZM menyampaikan doa pembuka majlis.
Mualaf mengaminkan ketika doa pembuka majlis dibacakan.
Mahmood selaku Ketua Komunikasi Strategik DRB-HICOM menyampaikan ucapan aluan kepada hadirin.
Dr. Yusof Noor berterima kasih kepada DRB-HICOM dalam penganjuran majlis Sinar Aidilfitri dan berhasrat menjalinkan kerjasama bersama PERKIM.
Saudara baharu mendengar amanat dan nasihat dari ucapan yang disampaikan.
Mahmood (kanan) menyampaikan sumbangan beg cenderamata berisi kain pelekat dan sejadah kepada mualaf.
Dr. Yusof Noor (tengah) menyampaikan sumbangan wang Aidilfitri DRB-HICOM kepada saudara Muslim.
Saudara baharu menerima beg cenderamata berisi telekung dan sejadah dari Mahmood (kanan).
Saudara baharu menerima sumbangan wang raya Aidilfitri DRB-HICOM dari Dr. Yusof Noor (kanan).
Tetamu kehormat dan saudara baharu bergambar kegembiraan menerima sumbangan dari DRB-HICOM.
Mualaf menikmati pelbagai juadah jamuan Aidilfitri yang disediakan di akhir majlis.