Sambutan Aidilfitri PERKIM Kebangsaan Himpunkan 250 Mualaf, Semarakkan Ukhuwah
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟯𝟭 𝗠𝗔𝗖 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Sambutan Aidilfitri PERKIM Kebangsaan bersama mualaf berlangsung meriah apabila menghimpunkan lebih 250 saudara baharu daripada pelbagai latar belakang di Dewan Seminar Aras 1, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.
Majlis anjuran PERKIM Kebangsaan itu diacarakan oleh Eksekutif Media PERKIM Kebangsaan, Firdaus Lokman Tah bersama Eksekutif Dakwah 3 PERKIM Kebangsaan Nur Syahirah Musa, sebelum diteruskan dengan bacaan doa pembuka yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Jogi Panjaitan Maruli.
𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗔𝗴𝘂𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗗𝗿. 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗠𝗮𝗿𝘇𝘂𝗸𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗢𝗺𝗮𝗿 turut hadir bagi meraikan para mualaf daripada pelbagai kaum termasuk Cina, India, Punjabi, Iban, Kadazan, Murut, Bidayuh dan Dusun, selain warga negara dari Filipina, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Myanmar menyerlahkan keindahan kepelbagaian dalam Islam serta memperkukuh semangat perpaduan ummah.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah wakil daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Premier Sarawak, Global Unity Network (UNITY) serta Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan (JAM’IYAH).
Selain itu, PERKIM Kebangsaan turut menjemput penyewa di Bangunan PERKIM termasuk PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sentul, Yayasan Taqwa MAIWP, Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Gabungan Dakwah Malaysia (GDM), Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) serta Penubuhan Penerbit dan Pengedar Dakwah Islamiah Malaysia (PEDIM).
𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗗𝗿. 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗥𝗶𝗱𝗵𝘂𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 dalam ucapannya mengingatkan umat Islam agar tidak leka dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri, sebaliknya terus mendoakan kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia yang sedang berdepan konflik.
Menurut beliau, umat Islam perlu bersatu tanpa mengira perbezaan mazhab dan sentiasa mendoakan kesejahteraan negara-negara Islam yang terjejas.
“Dalam kita bergembira, jangan lupa saudara-saudara kita yang sedang diuji. Panjatkan doa kepada Allah SWT agar mereka diberikan kemenangan dan keselamatan,” kata Dr. Ridhuan Tee.
Sementara itu, 𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗗𝗮𝘁𝘂𝗸 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗡𝗮𝗸𝗵𝗮𝗶𝗲 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗵𝗺𝗮𝗱 menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh umat Islam khususnya saudara baharu.
Beliau berharap agar semua terus dikurniakan kehidupan yang aman dan tenteram serta mensyukuri nikmat keamanan yang dinikmati di negara ini.
“Dalam keadaan dunia yang masih berdepan pelbagai cabaran, kita di Malaysia amat bertuah kerana dapat menyambut Aidilfitri dalam suasana harmoni dan penuh kesyukuran,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Datuk Nakhaie berkesempatan menyampaikan duit raya PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan kepada lebih 100 mualaf.
𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗶𝘁𝗿𝗶 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 pula mengingatkan agar umat Islam tidak melupakan golongan kurang bernasib baik dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri.
Ustaz Fitri Abdullah turut memohon maaf atas sebarang kekurangan pihak PERKIM serta berjanji akan terus menambah baik perkhidmatan dari semasa ke semasa.
𝗕𝗲𝗻𝗱𝗮𝗵𝗮𝗿𝗶 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗗𝗮𝘁𝘂 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗲𝗿𝘀𝗮𝗹 𝗔𝗯𝗮𝗻𝗴 𝗥𝗼𝘀𝗹𝗶 dalam ucapannya menegaskan bahawa Aidilfitri merupakan simbol kemenangan selepas sebulan menahan hawa nafsu sepanjang Ramadan.
Menurut beliau, umat Islam perlu memanfaatkan sambutan ini untuk memperkukuh perpaduan tanpa mengira latar belakang sama ada mualaf, mukalaf mahupun yang dilahirkan sebagai Muslim.
Turut menyampaikan ucapan ialah Naib Yang Dipertua PERKIM, YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim yang menyeru umat Islam agar saling bermaafan serta terus mendoakan kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia termasuk di Palestin dan Iran.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai juadah Aidilfitri seperti lemang, dendeng daging, nasi himpit, sate, nasi hujan panas, rendang ayam dan air detox.
Dalam pada itu, Datu Mersal turut menyambut keberangkatan tiba 𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗺𝗲𝗿𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗽 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗧𝘂𝗻𝗸𝘂 𝗣𝘂𝗮𝗻 𝗦𝗿𝗶 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗮𝗵 𝗡𝗼𝗼𝗿 𝗛𝗮𝘆𝗮𝘁𝗶 𝗧𝘂𝗻𝗸𝘂 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻 𝗣𝘂𝘁𝗿𝗮 𝗔𝗹-𝗛𝗮𝗷.
Tunku Noor Hayati kemudian berkenan melawat gerai-gerai Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) yang menawarkan pelbagai juadah termasuk cendol, dim sum, bakso, mi kari, kek, popia, nasi goreng, kerabu Thai, somtam, rojak buah, wade, sandwic serta aneka minuman.
Turut diadakan pertandingan pakaian tradisional dalam dan luar negara serta pertandingan gerai tercantik dan makanan terbaik yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan peserta.
Tunku Noor Hayati berkenan menyampaikan hadiah barangan elektrik kepada pemenang pertandingan pakaian tradisional kategori wanita iaitu Noor Azlina Abdullah, diikuti Wani Saleha Abdullah sebagai naib juara dan Siti Fatimah Yusof di tempat ketiga.
Bagi kategori lelaki, hadiah disampaikan oleh Ustaz Fitri kepada juara Iyas Abdullah, manakala tempat kedua dimenangi Mohd Firdaus Pompeyos Abdullah dan tempat ketiga oleh Muhammad Hemnan Abdullah.
Sementara itu, Dr. Ridhuan Tee menyampaikan hamper kepada pemenang pertandingan gerai tercantik iaitu KPIPK Pertengahan sebagai johan, diikuti KPIPK Asas dan KPIPK Lanjutan.
Dr. Shahidan Kassim pula menyampaikan hamper kepada pemenang pertandingan makanan terbaik iaitu KPIPK Asas sebagai johan, diikuti KPIPK Tahsin dan KPIPK Bimbingan Khas.
Majlis berakhir dengan acara memotong kek dan pulut kuning oleh Dr. Shahidan Kassim, Dr. Ridhuan Tee, Ustaz Fitri dan Tunku Noor Hayati sebelum sesi bergambar kenangan bersama warga kerja PERKIM Kebangsaan, sekali gus menutup tirai sambutan dalam suasana penuh kemeriahan dan ukhuwah.

Gerai KPIPK Tahsin menyajikan beberapa juadah di Majlis Sambutan Aidilfitri PERKIM Kebangsaan Bersama Mualaf.

Ketibaan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Dr Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar di majlis tersebut.

Dato’ Dr. Marzuki menikmati juadah Aidilfitri bersama Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg. Datuk Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad.

Ustaz Jogi Panjaitan memimpin bacaan doa pembuka majlis.

Urus setia mencedok juadah makanan kepada mualaf.

Mualaf pelbagai bangsa hadir menikmati pelbagai juadah makanan di majlis hari raya anjuran PERKIM Kebangsaan.

Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg. Datu Haji Mersal Abang Rosli bersalaman bersama mualaf ketika ketibaannya di majlis tersebut.

Tetamu kehormat PERKIM beramah mesra sambil menikmati pelbagai juadah Aidilfitri.

Pengarah Pentadbiran PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad bergambar kenang-kenangan bersama warga RISEAP.

Dato’ Nakhaie diiringi Datu Mersal menyampaikan duit raya kepada mualaf.

Lebih 100 mualaf menerima duit raya PERKIM Wilayah Persekutuan daripada Datuk Nakhaie.

Dr. Ridhuan Tee mengingatkan umat Islam agar tidak leka dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri, sebaliknya terus mendoakan kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia.

Datuk Nakhaie dalam ucapannya berkata, dalam keadaan dunia yang masih berdepan pelbagai cabaran, kita di Malaysia amat bertuah kerana dapat menyambut Aidilfitri dalam suasana harmoni.

Ustaz Fitri pula mengingatkan agar umat Islam tidak melupakan golongan kurang bernasib baik dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri.

Menurut Datu Mersal, umat Islam perlu memanfaatkan sambutan ini untuk memperkukuh perpaduan tanpa mengira latar belakang sama ada mualaf, mukalaf mahupun yang dilahirkan sebagai Muslim.

Pegawai-pegawai dari Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur turut hadir dalam sambutan Aidilfitri.

Gerai mualaf yang menyediakan pelbagai jenis menu seperti bakso, dim sum, kuih muih dan lain-lain.

Keberangkatan tiba Naib Yang Dipertua PERKIM merangkap Ketua Wanita PERKIM, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajjah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di gerai-gerai mualaf.

Tunku Noor Hayati bersama Naib-Naib Yang Dipertua PERKIM, Ustaz Fitri dan Dr. Ridhuan Tee menikmati juadah Aidilfitri.

Saudara baharu memperagakan pakaian mereka dalam pertandingan pakaian tradisional mualaf.

Naib Yang Dipertua PERKIM, YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim bergambar bersama mualaf ketika melawat ke gerai-gerai mereka.

Dr. Shahidan menyeru umat Islam agar saling bermaafan serta terus mendoakan kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia termasuk di Palestin dan Iran.

Tunku Noor Hayati berkenan menyampaikan hadiah barangan dapur kepada juara pertandingan pakaian tradisional kategori wanita.

Ustaz Fitri menyampaikan hadiah barangan dapur kepada juara pertandingan pakaian tradisional kategori lelaki.

Dr. Ridhuan Tee menyampaikan hamper kepada juara pertandingan makanan terbaik.

Naib-Naib Yang Dipertua menyampaikan hamper kepada juara pertandingan gerai tercantik.

Dr. Shahidan menyampaikan hamper kepada pengunjung paling sporting.

Naib-Naib Yang Dipertua PERKIM berkesempatan memotong kek dan pulut kuning sempena Hari Raya Aidilfitri.

Warga kerja PERKIM Kebangsaan bergambar kenang-kenangan di pentas yang dihiasi perhiasan Aidilfitri.

Warga kerja PERKIM Kebangsaan berkesempatan bergambar bersama-sama Naib-Naib Yang Dipertua PERKIM.



