Aktiviti Dakwah

Carlitos Pilih Islam Dengan Niat Ikhlas, PERKIM Sambut Pengislaman Jurutera Sepanyol

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟐𝟔 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Suasana penuh ketenangan dan keberkatan menyelubungi Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, Aras 4, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah semalam apabila seorang warga Sepanyol, Carlitos Riveros, 40, (bukan nama sebenar) telah melafazkan dua kalimah syahadah dalam satu majlis pengislaman yang disaksikan oleh pihak PERKIM serta kenalan terdekat.

Carlitos hadir ditemani teman wanitanya bersama saksi pengislaman pertama, Tuan Haji Nusral Danir.

Ketibaan mereka disambut mesra oleh 𝐍𝐚𝐢𝐛 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐃𝐢𝐩𝐞𝐫𝐭𝐮𝐚 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐫 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐑𝐢𝐝𝐡𝐮𝐚𝐧 𝐓𝐞𝐞 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 serta 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐊𝐚𝐧𝐚𝐧 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐑𝐚𝐳𝐚𝐥𝐢 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐒𝐡𝐚𝐡𝐚𝐛𝐮𝐝𝐢𝐧 yang mengalu-alukan kedatangan tetamu istimewa itu.

Majlis dimulakan dengan taklimat pengislaman oleh Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong, dalam Bahasa Inggeris.

Beliau menekankan kepentingan niat sebagai asas penerimaan ibadah di sisi Allah.

Ustaz Sulaiman menjelaskan bahawa pemelukan Islam mestilah berasaskan keyakinan dan keikhlasan, bukan tekanan atau kepentingan tertentu seperti perkahwinan.

“Seseorang tidak boleh menjadi ‘Muslim di Malaysia sahaja’,” tegasnya, sambil menjelaskan bahawa seorang Muslim wajib berpegang teguh kepada Islam di mana jua berada.

Selesai mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Ustaz Sulaiman yang disaksikan bersama tetamu dan pihak PERKIM, Carlitos diberi penerangan mengenai langkah awal kehidupan sebagai Muslim termasuk mandi wajib dan menunaikan solat sunat syukur.

Ustaz Sulaiman turut menerangkan rukun iman, termasuk kepercayaan kepada Allah, malaikat, kitab-kitab, para nabi dan rasul, hari akhirat serta qada’ dan qadar.

Beliau turut menjelaskan perbezaan konsep malaikat dalam Islam dan budaya Barat, serta memaklumkan bahawa lebih 124,000 nabi dan rasul telah diutus sejak zaman Nabi Adam AS lagi.

Jelas beliau, seseorang hanya benar-benar Muslim apabila memiliki iman yang tertanam dalam hati, bukan sekadar mampu menyebut syahadah dengan fasih.

Menurut Ustaz Sulaiman, istilah “revert” sering digunakan bagi menggambarkan seseorang yang kembali kepada fitrah asal manusia, namun istilah “convert” atau “embrace Islam” juga tidak menjadi masalah.

Inti taklimat tersebut menegaskan bahawa Islam ialah cara hidup menyeluruh yang kekal dan mesti dipegang dengan penuh kesedaran.

Dato’ Razali turut memimpin bacaan doa kesyukuran selepas Carlitos mengikrarkan kalimah tayyibah.

Carlitos ketika ditemu bual berkata, keputusannya memeluk Islam terbit daripada desir hati yang semakin dekat kepada agama itu.

Kata Carlitos lagi, beliau telah mengamalkan gaya hidup sihat, tidak minum arak dan menghormati nilai di sebalik amalan puasa Ramadan.

Justeru, katanya pemelukan Islam bukanlah perubahan drastik, sebaliknya penegasan kepada prinsip hidup yang sudah sebati dengannya.

Beliau turut berkongsi bahawa hubungannya dengan teman wanita yang dikenalinya sejak hampir tiga tahun lalu di Malaysia turut menjadi salah satu faktor yang membuka ruang bagi beliau mendalami Islam, khususnya dalam persediaan membina rumah tangga mengikut tuntutan agama.

Carlitos berasal dari Sepanyol dan bertugas sebagai jurutera mekanikal minyak dan gas di ibu negara.

Beliau berpengalaman hampir 18 tahun dalam bidang pentauliahan dan pengurusan di beberapa negara seperti Sepanyol, Arab Saudi, Republik Dominica dan kini Malaysia sejak tiga setengah tahun lalu.

Beliau juga mengenang pengalaman bekerja di Arab Saudi selama tiga tahun, di mana perbincangan bersama rakan-rakan Muslim mengenai agama dan kehidupan telah memberi kesan mendalam sehingga menyemai minatnya terhadap Islam.

Selesai majlis pengislaman, Carlitos bersama saksinya, Haji Nusral dan Dr Ridhuan Tee melengkapkan maklumat peribadi dan menandatangani borang pengislaman.

Pada penghujung majlis, Dr Ridhuan Tee menyampaikan beg pengislaman mengandungi al-Quran, buku fardu ain, Iqra’, buku solat, sejadah dan bahan asas pembelajaran agama kepada Carlitos.

Sebelum bersurai, Dr Ridhuan Tee dan Dato’ Razali turut mengucapkan tahniah serta memeluk erat Carlitos sebagai tanda kasih dan sambutan seorang saudara seagama, simbolik kepada penerimaan keluarga besar Muslim terhadap beliau yang kini memulakan kehidupan baharu sebagai seorang Muslim.

Majlis diakhiri dengan sesi fotografi dan jamuan ringan, menandakan bermulanya perjalanan baharu Carlitos dalam mempelajari dan menghayati Islam dengan penuh keyakinan dan kesedaran.

 


Kepimpinan PERKIM menyambut mesra setibanya Carlitos bersama saksinya, Haji Nusral di Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan.

 


Sulaiman Ding mengikrarkan lafaz dua kalimah syahadah dalam Bahasa Arab diikuti Carlitos sepatah demi sepatah.

 


Ustaz Sulaiman menerangkan rukun iman, halal dan haram serta tanggungjawab seorang Muslim kepada Carlitos.

 


Carlitos melengkapkan butir-butir peribadi pada borang pengislaman.

 


Carlitos menurunkan cap jari pada borang pengislaman.

 


Haji Nusral melengkapkan butir-butir peribadi dan menandatangani pada borang pengislaman sebagai saksi pertama.


Dr Ridhuan Tee menandatangani sebagai saksi kedua pada borang pengislaman.

 


Dato’ Razali memimpin bacaan doa kesyukuran selepas pengislaman.

 


Dr Ridhuan Tee memeluk erat Carlitos sambil mengucapkan tahniah.

 


Carlitos dipeluk oleh Dato’ Razali sambil membisikkan ucapan tahniah dan selamat datang ke agama Islam.

 


Dr Ridhuan Tee menyampaikan beg pengislaman MAIS kepada Carlitos sambil mengambil gambar kenangan.

 


Dato’ Razali memimpin bacaan doa ketika menjamu Carlitos bersama teman-temannya jamuan ringan.

Related Articles

Back to top button