Aktiviti Dakwah

Buat Pertama Kali Surau PERKIM Laksana Solat Jumaat

Foto: MUHAMMAD FARHAN TEE ABDULLAH

7 OGOS – KUALA LUMPUR. Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor bersyukur kepada Allah SWT kerana pada hari ini para jemaah telah mendapat satu nikmat yang besar kerana julung kalinya PERKIM dapat melaksanakan Solat Fardhu Jumaat di Surau PERKIM di sini.


Tan Sri Yusof Noor berucap ketika menyampaikan ucaptamanya di dalam Surau PERKIM sebelum khutbah dan solat Jumaat diadakan.

Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Ustaz Muhammad Fitri Abdullah; Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YBhg Dr Ann Wan Seng; Pengarah Komunikasi PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Pembangunan dan Aset PERKIM, YBhg Dato’ Ahmad Mustafa; Pengurus Bahagian Pembangunan dan Pelaburan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), YBhg Ir Abd Karim Mohamed Ismail; Pengurus Bahagian Pembangunan Insan MAIWP, Encik Mohd Fauzi Abidin.

Seramai 200 jemaah di kalangan kakitangan agensi kerajaan dan swasta seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), PERKIM Wilayah, RISEAP, MAIWP Dagang dan pekerja di sekitar Bangunan PERKIM serta pelajar mualaf Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan telah mendaftar diri mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sebelum dibenarkan masuk ke dalam surau.

Menurut Tan Sri Yusof Noor lagi, ini merupakan satu kejayaan yang besar apabila kita dapat mengadakan Solat Jumaat yang dapat menyatukan pelbagai kaum dan sudah tentu Pengasas PERKIM, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bergembira jika mengetahui kejayaan PERKIM dapat mengadakan Solat Jumaat di Bangunan PERKIM.

Jelas Tan Sri lagi, kewujudan PERKIM dapat menyatukan pelbagai kaum di atas nama Islam. Tahun ini PERKIM mencapai usia 60 tahun penubuhannya dan beliau ingin merakamkan dalam peristiwa yang sangat penting pada hari ini iaitu menghargai jasa dan sumbangan Yang Dipertua PERKIM yang pertama iaitu YBhg Tan Sri S.O.K Ubaidillah.

Walaupun beliau bukan seorang yang berbangsa Melayu namun kehadiran Allahyarham memimpin PERKIM sebagai pemimpin yang pertama melambangkan Islam sebagai agama yang syumul tanpa mengira bangsa serta memandang kepada kesungguhan dan keikhlasan seseorang itu.

Tambah Tan Sri lagi, eloklah kita mengenang juga jasa Setiausaha Agung Kehormat PERKIM yang pertama berbangsa British Alla iaitu Allahyarham Tan Sri Haji Datuk Haji Dr. Abdul Mubin Sheppard kerana mereka merupakan tokoh-tokoh yang selayaknya dijadikan inspirasi kepada masyarakat majmuk di Malaysia ini bahawa PERKIM ini satu pertubuhan yang boleh memberikan gambaran yang lebih tepat bagaimana Islam ini bersifat menyeluruh dan bukan untuk satu kaum sahaja.

“Oleh itu, pada hari ini, apabila PERKIM telah mendapat kelulusan daripada MAIWP serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), maka tugas saya atas nama PERKIM perlulah saya menyatakan penghargaan dan terima kasih terutamanya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr Haji Zulkifli Mohamad AlBakri kerana telah memberi maklum balas yang segera apabila cadangan untuk mengadakan Solat Jumaat di Surau PERKIM sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikemukakan walaupun keizinan ini diberikan dengan bersyarat,” kata Tan Sri Yusof Noor.

Sambung beliau, besarlah harapan PERKIM untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat majmuk di Malaysia sebagai badan kebajikan dan kami berharap supaya solat Jumaat ini dapat diteruskan walaupun tempoh  PKPP berakhir.

Tan Sri Yusof Noor mengajak para jemaah bersyukur kepada Allah SWT di atas kemudahan yang diberikan untuk kita sama-sama mendirikan Solat Jumaat di surau ini dan beliau yakin bukan semua yang hadir terdiri dari kalangan warga PERKIM dan MAIWP sahaja bahkan jemaah di sekitar Bangunan PERKIM ini.

Beliau menyeru agar jemaah sekali dapat sama-sama membantu PERKIM dalam meneruskan usaha dakwah secara tidak langsung membantu usaha MAIWP lebih-lebih lagi di Wilayah Persekutuan dengan keadaan kehidupan yang agak mencabar.

Jelas Tan Sri lagi, khutbah Jumaat yang disampaikan dapat didengari di sekitar bangunan ini juga merupakan dakwah secara tidak langsung kepada golongan belum memeluk agama Islam.

Terdahulu, Pengerusi Surau PERKIM merangkap Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa menyampaikan ucapan aluan.

Kata Datuk Hasbullah, kebenaran mendirikan solat di Surau PERKIM ini adalah bersyarat tertakluk kepada syarat seperti mana SOP yang telah ditetapkan oleh pihak JAWI dan kerajaan. Pegawai-pegawai JAWI yang bersama di surau pada hari ini akan memantau perjalanan solat Jumaat yang akan diadakan pada hari ini buat julung-julung kalinya.

Ia berikutan pengurangan had kapasiti jemaah yang boleh masuk ke surau-surau dan masjid-masjid disebabkan pematuhan kepada SOP yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.

Surau PERKIM beroperasi pada setiap waktu solat kecuali waktu Subuh dan solat akan dipimpin oleh Ustaz Haji Ahmad Muhammad. Beliau juga mahir menyampaikan ceramah agama, taklim, bacaan selawat dan ratib pada hari-hari tertentu setengah jam sebelum solat dimulakan.

Surau PERKIM juga aktif dalam mengadakan program seperti MaalHijrah, Maulidur Rasul, forum perdana dan solat tarawih di bulan Ramadhan.

Jemaah di Surau PERKIM kebiasaannya akan menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahman PWTC, Surau Balai Islam Pekeliling, Masjid Pakistan Chow Kit dan Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul kerana Surau PERKIM masih belum diberi kelulusan untuk dilaksanakan solat Jumaat kecuali sepanjang tempoh PKPP ini sahaja.

200 jemaah yang bersolat Jumaat pada hari ini telah menghadirkan diri pada awal waktu dengan memakai pelitup muka, membawa sejadah, mengambil wudhuk di pejabat, mendaftar diri dengan menulis nama, nombor telefon atau mengimbas Kod QR My Sejahtera, mengimbas suhu badan serta mengamalkan penjarakan sosial satu meter.

Sebelum itu, Bendahari Surau PERKIM merangkap Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM (UPPP), YBhg Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah telah mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan terjemahan Surah Ali Imran, ayat 103.

Imam Khas dari Masjid Amru Ibn Al As, Bandar Baru Sentul iaitu YBhg Ustaz Muhammad Jailani Ahmad serta Bilal yang bertugas ialah YBhg Ustaz Shahrul Fadli Yaakob, iaitu Bilal dari Masjid Amru Ibn Al As.

Ustaz Muhammad Jailani selaku khatib bertugas membicarakan khutbah bertajuk “Hulurkan Sumbangan Tingkatkan Pengimarahan”.

Khatib berpesan bahawa harta yang kita miliki sama ada banyak atau sedikit bukan milik kita sepenuhnya kerana ada hak orang lain di dalamnya. Oleh itu gunakanlah ia ke jalan yang diredhai Allah SWT seperti bersedekah,berwakaf, membantu orang-orang yang memerlukan, anak-anak yatim serta menyumbang ke tabung-tabung masjid atau surau.

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 245 yang bermaksud: ”Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipat gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan”.

Setelah selesai solat Jumaat, kepimpinan PERKIM bersama tetamu kehormat menjamu selera di Tingkat 4, Ibu Pejabat PERKIM.


Jemaah mendaftar nama di kaunter pendaftaran solat Jumaat selepas pengawal keselamatan membuat pemeriksaan suhu badan.


Jemaah Surau PERKIM duduk di saf-saf yang tidak bertanda pangkah untuk mengekalkan penjarakan sosial satu meter.


Pengerusi Surau PERKIM, Datuk Hasbullah menyampaikan ucapan aluan.


Datuk Hasbullah mengalu-alukan kehadiran jemaah ke Surau PERKIM.


Jemaah yang terdiri dari pegawai kerajaan dan swasta serta mualaf bersama-sama beriktikaf di Surau PERKIM.


Jemaah beriktikaf di Surau PERKIM bagi menantikan Solat Jumaat.


Tan Sri Yusof Noor selaku Setiausaha Agung Kehormat PERKIM berasa gembira dan bersyukur kerana pertama kali diadakan bacaan Khutbah dan Solat Jumaat di Surau PERKIM.


Tan Sri dalam ucaptamanya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), JAWI dan MAIWP.


Imam Khas dari Masjid Amru Ibn Al As, Bandar Baru Sentul iaitu YBhg Ustaz Muhammad Jailani Ahmad menyampaikan khutbah di Surau PERKIM.


Para jemaah solat Jumaat mendengar khatib menyampaikan khutbah bertajuk “Hulurkan Sumbangan Tingkatkan Pengimarahan”.


Jemaah menadah tangan sewaktu doa antara dua khutbah.


Jemaah mengaminkan doa ketika khatib membacakan doa.

 

Related Articles

Back to top button