Aktiviti Dakwah

Bacaan Yasin, Sambutan Hari Lahir SUA Meriahkan Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 5 FEBRUARI 2024 – Seramai lebih 50 pegawai dan kakitangan Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan memulakan Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan dengan bacaan surah Yasin dan doa selamat bertempat di Surau PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, pada pagi Isnin.

Ia turut dihadiri kakitangan Institut Dakwah Antarabangsa Islam PERKIM (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Majlis bacaan Surah Yasin dan doa selamat tersebut telah dipimpin oleh Pembantu Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI) PERKIM Kebangsaan, Tuan Haji Ishak Othman.

Ia disusuli dengan tazkirah ringkas disampaikan oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim.

Katanya, kini umat Islam berada di dalam bulan Rejab di mana tidak lama lagi kita bakal bertemu lagi dengan bulan Ramadan.

Seperti bulan Ramadan, Rejab juga merupakan salah satu bulan yang tergolong dalam bulan-bulan haram dalam Islam sambil membacakan doa Bulan Rejab iaitu: “Ya Allah, berkatkanlah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”

Datuk Nordin menganjurkan warganya untuk menggandakan amalan seperti berzikir, beristighfar, bersedekah, berselawat, membaca al-Quran, berdoa dan berpuasa sunat.

Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan kemudian diacarakan oleh Pegawai UDPI, Muhammad Farhan Tee Abdullah manakala Abdul Qawi Navine Abdullah selaku Penolong Pegawai Dakwah IDIP-KL memimpin bacaan doa.

Majlis diserikan lagi dengan ucapan amanat disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Dr Yusof Noor dalam amanatnya mengucapkan rasa syukur kerana dapat dipertemukan dengan warga PERKIM pada bulan kedua dalam kalender 2024.

Katanya, semalam beliau berkesempatan bersama dengan badan gabungan PERKIM iaitu Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) bagi menyambut majlis kebudayaan bersempena perjumpaan makan malam di mana penglibatan rakan-rakan non-Muslim turut juga diraikan.

Jelas beliau, untuk memajukan Islam, maka hendaklah kita dari semasa ke semasa berusaha untuk menyampaikan risalah Islam kepada yang belum Islam.

Tambahnya, tidak lama lagi kita akan memasuki 27 Rejab di mana pada tanggal tersebut Allah SWT memuliakan Nabi Muhammad SAW dengan memperjalankan Baginda dari Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis seterusnya dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.

Walaupun Israk Mikraj itu telah berlaku tapi di Malaysia ini ramai yang menjadikan peristiwa itu satu peristiwa yang mulia dengan membuat acara-acara yang tertentu.

PERKIM Kebangsaan juga tidak ketinggalan melaksanakan upacara bagi menzahirkan syiar Islam itu menerusi sempena hari besar Islam.

Peristiwa yang penuh keagungan itu, Allah SWT telah memuliakan Nabi Muhammad SAW di mana pastinya ada rahsia di sebalik hari yang mulia itu.

Jelas beliau, pada hari tersebut kita juga digalakkan berdoa, bersedekah dan membuat amal kebajikan.

Katanya, tahun ini adalah tahun cabaran ekoran daripada penyewa telah berpindah dari bangunan ini, namun demikian kita hendaklah berusaha dan berdoa agar dikurangkan bebanan akibat daripada pengurangan dan susutan pendapatan melalui sewaan Bangunan PERKIM.

Dr Yusof Noor turut memaklumkan bahawa Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad telah menandatangani surat-surat untuk di hantar pihak-pihak tertentu bagi penyewaan sambil berinfak di Bangunan PERKIM.

Ujar beliau, kita boleh meneruskan kegiatan PERKIM dari semasa ke semasa setakat yang termampu menerusi apa yang diperolehi.

Paling penting ialah usaha kita untuk kita bersama-sama memikirkan bagaimana untuk memajukan PERKIM dalam keadaan kini.

Disebabkan keadaan semasa, tahun ini sesuai dengan langkah PERKIM Kebangsaan melakukan kegiatan di mana tahun ini ialah tahun kita memberikan perhatian yang khusus kepada Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) Kota Bharu dan IDIPKL.

Tidak lupa juga badan-badan di bawah PERKIM yang perlu diberi penumpuan iaitu Taman Asuhan Putra Al-Haj (TASPUTRA) PERKIM, Asrama Darul Falah (ASDAF) PERKIM dan Tadika-tadika PERKIM yang perlu dikemaskinikan serta dimajukan sesuai dengan asas yang telah dilaksanakan oleh Pengasas PERKIM, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

PERKIM perlu ada perancangan bagi mengembangkan IDIP dengan menubuhkannya pada 14 buah negeri seperti mana yang dipersetujui sebahagian Ahli Majlis Kebangsaan.

Walaupun masih tiada peruntukan, tetapi perancangan perlu ada memastikan status PERKIM Kebangsaan terpelihara dan dapat dicapai sekali gus maju ke hadapan.

Di akhir ucapannya, Dr Yusof Noor turut mendoakan agar YABhg Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang merupakan bekas Yang Dipertua PERKIM pada 1989 hingga 2006, diberikan kesembuhan dan kesihatan yang terbaik.

Majlis berakhir dengan acara memotong pulut kuning oleh Dr Yusof Noor bagi meraikan sambutan hari kelahirannya ke 83 tahun manakala doa selamat dipimpin oleh Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Pengarah Unit Komunikasi dan Media PERKIM Kebangsaan, Firdaus Lokman Tah.


Haji Ishak memimpin bacaan Surah Yasin dan doa selamat.


Majlis perhimpunan bulanan dimulakan dengan bacaan Surah Yasin secara berjemaah.


Antara muslimat PERKIM Kebangsaan sedang membaca Surah Yasin.


Kepimpinan PERKIM bersama-sama membaca Surah Yasin.


Warga PERKIM menadah tangan ketika doa selamat dibacakan.


Datuk Nordin turut menyampaikan tazkirah ringkas mengenai Kelebihan Bulan Rejab.


Farhan Tee mempengerusi Majlis Perhimpunan Bulan Februari 2024 Bersama Warga PERKIM Kebangsaan.


Disusuli dengan doa pembuka majlis dipimpin oleh Abdul Qawi Navine.


Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan amanat kepada warganya.


Dr Yusof Noor berkata, tidak lama lagi kita akan memasuki 27 Rejab bersempena Israk Mikraj.


Ujar Dr Yusof Noor, tahun ini ialah tahun kita memberikan perhatian yang khusus kepada IDIP KB, IDIP KL, TASPUTRA, ASDAF dan Tadika PERKIM.


Setiausaha Agung Kehormat PERKIM memotong pulut kuning bersempena hari kelahirannya ke-83.


Dato’ Razali (dua dari kiri) memimpin bacaan doa kesyukuran bagi meraikan hari kelahiran Dr Yusof Noor.


Dr Yusof Noor bersama-sama kepimpinan PERKIM mengaminkan doa yang dibacakan.


Dr Yusof Noor bersama-sama kepimpinan PERKIM menjamu pulut kuning yang telah dipotong.

Related Articles

Back to top button